Cukai ke Atas Bitcoin di Negara-negara Luar
Dalam artikel sebelum ini, penulis bercerita tentang beberapa sebab atau faktor kerajaan takut kepada matawang kripto. Faktor paling utama adalah kesukaran untuk mengawal selia pergerakan matawang kripto yang berkonsepkan desentralisasi. Bayangkan, selama ini bank pusat di bawah naungan kerajaan yang mengawal pengeluaran dan pergerakan wang fiat, dan apabila wujud matawang kripto bermula dengan Bitcoin, kuasa itu diserahkan kepada satu rangkaian yang melibatkan satu dunia.
Namun begitu, banyak negara yang sudah memulakan satu aspek daripada pengawal seliaan (walaupun tiada lagi rangka undang-undang yang menyeluruh), iaitu mengenakan cukai ke atas jual beli atau pemilikan Bitcoin. Secara amnya, percukaian matawang kripto masih lagi sesuatu yang tidak jelas, dan merupakan work-in-progress, sama juga dengan perundangan yang ingin ditetapkan. Walaupun Bitcoin masih lagi tidak mendapat status legal tender di hampir semua negara, badan penguatkuasa terutama bidang percukaian sudahpun menganggap transaksi yang melibatkan matawang kripto perlu diambil kira di bawah polisi fiskal negara.
Jadi, dalam artikel kali ini penulis akan memperkenalkan beberapa negara yang mengenakan cukai ke atas Bitcoin. Setiap negara mengenakan jenis cukai yang berbeza bergantung kepada bagaimana mereka mengklasifikasikan Bitcoin. Terdapat tiga jenis cukai yang boleh dikenakan atas Bitcoin:
- Cukai pendapatan dikenakan ke atas semua individu atau entiti yang bukan korporat, yang menerima Bitcoin atau matawang kripto lain sebagai pendapatan.
- Cukai syarikat dikenakan ke atas semua entiti korporat yang melibatkan Bitcoin dalam operasi
- Cukai keuntungan modal dikenakan ke atas pelabur atau spekulator yang melabur dalam Bitcoin dan matawang kripto dengan tujuan memperoleh keuntungan, sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.
Mari kita ulangkaji semula definisi istilah-istilah yang digunakan dalam percukaian:
- Aset kapital: Apa sahaja yang dimiliki pembayar cukai, seperti rumah, kereta, hartanah, saham, bon, Bitcoin dan matawang kripto
- Dasar: Harga yang dibayar untuk memperoleh Bitcoin atau matawang kripto (termasuk fi)
- Keuntungan/kerugian modal yang direalisasi: Untung/rugi yang dibuat daripada jualan Bitcoin setelah ditolak dengan dasar.
- Keuntungan/kerugian modal yang belum direalisasi: Untung/rugi yang dibuat daripada jualan tetapi hanya atas kertas dan tidak ditukar dengan matawang fiat. Cukai tidak perlu dibayar sehingga ianya ditukar dalam bentuk matawang fiat.
- Keuntungan jangka masa pendek: Keuntungan ke atas Bitcoin atau pelaburan lain yang dipegang selama satu tahun atau kurang daripadanya, sebelum ditukar kepada matawang fiat
- Keuntungan jangka masa panjang: Keuntungan ke atas Bitcoin atau pelaburan lain yang dipegang lebih daripada setahun, sebelum ditukar kepada matawang fiat
Amerika Syarikat
Lembaga cukai di Amerika Syarikat, the U.S. Internal Revenue Service (IRS), mengklasifikasikan Bitcoin sebagai aset dan komoditi, untuk tujuan percukaian. Ini bermakna transaksi yang melibatkan Bitcoin akan tertakluk di bawah percukaian aset dan perlu dilaporkan ke IRS.
Pembayar cukai di Amerika Syarikat yang menerima Bitcoin sebagai bayaran untuk barang dan perkhidmatan perlu mengisytiharkan nilai Bitcoin yang diterima dalam borang pulangan cukai tahunan mereka dan akan dikenakan cukai pendapatan atau syarikat.Dan keuntungan daripada aktiviti mining Bitcoin juga perlu memasukkan nilai Bitcoin yang diperoleh dalam pendapatan tahunan mereka.
Jika Bitcoin adalah aset kapital, seperti saham, bon, dan aset pelaburan lain, setiap keuntungan atau sebaliknya, perlu diisytiharkan sama ada sebagai keuntungan jangka masa pendek atau panjang. Selain daripada itu, gaji yang diperoleh dalam Bitcoin, bayaran Bitcoin untuk sewa, premium insurans, dalam urusan jual beli dan apa sahaja transaksi perlu di isytiharkan. Secara amnya, pembayar cukai perlu membayar cukai ke atas semua transaksi Bitcoin yang melibatkan pertukaran kepada matawang fiat atau barangan dan perkhidmatan.
Baru-baru ini IRS telah membuat pindaan dalam akta percukaian untuk merangkumi semua jenis transaksi matawang kripto, termasuk pertukaran kripto ke kripto yang tidak dikenakan cukai sebelum ini.
United Kingdom
Kerajaan British telah menarik balik cukai VAT ke atas Bitcoin pada tahun 2014 dan HM Treasury menganggap Bitcoin dan matawang kripto lain sebagai aset, dan bukannya matawang, sama seperti Amerika Syarikat. Oleh itu, transaksi Bitcoin akan dikenakan cukai pendapatan atau cukai keuntungan modal bergantung kepada keadaan tertentu.
Aktiviti mining yang menjadi sebahagian daripada operasi sesebuah syarikat pula akan tertakluk di bawah cukai syarikat. Apa yang menarik di United Kingdom adalah setiap individu mendapat elaun ke atas keuntungan modal sebanyak £11,300 setiap tahun yang tidak akan dikenakan cukai.
Jerman
Seperti United Kingdom, negara Jerman tidak mengenakan cukai VAT ke atas transaksi Bitcoin. Penjual matawang kripto mendapat elaun keuntungan modal sebanyak €800. Selepas nilai ini, penjual akan dikenakan kadar tetap 25 peratus ke atas jumlah keuntungan yang diperoleh.
Namun begitu, bagi pemilik matawang kripto yang hanya HODL simpanan mereka tanpa menjualnya lebih daripada setahun tidak akan dikenakan cukai. Syarikat yang membuat operasi mining juga dikenakan cukai syarikat.
Jepun
Negara Jepun adalah satu-satunya negara yang mengiktiraf Bitcoin sebagai legal tender atau kaedah bayaran yang sah di sisi undang-undang. Penjualan Bitcoin di negara itu dikecualikan daripada cukai dan Bitcoin diklasifikasikan sebagai aset yang boleh digunakan untuk pembayaran atau dipindahkan secara digital.
Di Jepun, keuntungan yang diperoleh daripada penjualan Bitcoin tertakluk di bawah cukai pendapatan (5%-45%), cukai syarikat (30.86%) atau cukai keuntungan modal (22.1%-41.1%).
Australia
Di Australia, transaksi yang melibatkan Bitcoin dan matawang kripto tertakluk di bawah kontraak barter. Penguatkuasa cukai di Austalia tidak menganggap Bitcoin sebagai matawang atau matawang asing, tetapi sebagai aset untuk tujuan keuntungan modal. Syarikat yang menerima bayaran dalam bentuk Bitcoin perlu mengisytiharkannya sebagai pendapatan biasa.
Transaksi Bitcoin untuk tujuan peribadi tidak akan dikenakan cukai di bawah keadaan tertentu, iaitu: (1) jika Bitcoin digunakan sebagai bayaran untuk barangan dan perkhidmatan yang besifat peribadi, dan (2) nilai transaksi adalah di bawah AUD 10,000.
Aktiviti mining Bitcoin dan pertukaran matawang kripto untuk tujuan perniagaan dianggap sebagai jual beli saham dan akan dikenakan cukai keuntungan modal.
Malaysia
Baru-baru ini seperti yang dilaporkan di sini, LHDN mengatakan bahawa transaksi Bitcoin dan matawang kripto tertakluk di bawah akta percukaian dan akan dikenakan cukai pendapatan. Dan seperti di negara-negara lain, implementasinya adalah sama, di mana pembayar cukai perlu mengisyhtiharkan keuntungan yang diperolehi dan pihak berkuasa akan memeriksa dokumen-dokumen (termasuk dalam cloud servers) dan rekod perakaunan yang berkaitan.
Ini bermakna mana-mana syarikat yang berurusan dengan Bitcoin perlu melapor kepada LHDN sepertimana yang berlaku dalam kes Luno, platform pertukaran yang aktif di Malaysia. Pada masa yang sama, individu-individu yang memiliki Bitcoin juga tidak terkecuali kerana pihak berkuasa juga meminta Luno menyerahkan maklumat berkaitan pengguna kepada mereka.
Walaupun peraturan mengenai cukai Bitcoin masih lagi samar-samar di Malaysia, tidak dapat dinafikan bahawa itu adalah langkah pertama yang akan diambil oleh kerajaan Malaysia dalam usaha mengawal selia transaksi Bitcoin.
Negara-negara yang tiada cukai Bitcoin
Untuk pengetahuan anda, setakat ini sudah ada 4 negara di mana cukai Bitcoin tidak dikenakan jika ia diklasifikasikan dalam transaksi tertentu:
Singapura : Di sini, Bitcoin tidak dianggap matawang mahupun aset atau komoditi. Syarikat yang terlibat dalam penjualan matawang kripto dikenakan cukai syarikat tetapi bagi individu, cukai pendapatan/keuntungan modal tidak akan dikenakan jika anda HODL simpanan anda.
Denmark : Negara ini mungkin satu-satunya negara yang tidak mengenakan apa-apa cukai ke atas transaksi Bitcoin tidak kira sama ada individu atau syarikat.
Slovenia : Sama seperti Singapura, individu tidak akan dikenakan cukai keuntungan modal ke atas Bitcoin. Tetapi syarikat atau individu yang menerima Bitcoin sebagai gaji akan dikenakan cukai pendapatan.
Belarus : Bermula daripada 1 Januari 2018 untuk tempoh masa 5 tahun sehingga 1 Januari 2023, negara itu akan mengecualikan cukai ke atas jualan, aktiviti mining dan keuntungan modal matawang kripto. Negara itu juga telah legalize ICO dan transaksi dalam bentuk matawang kripto di negara itu pada Disember 2017.
Kesimpulan
Banyak lagi negara-negara lain yang mengenakan cukai yang sama ke atas Bitcoin dan kebanyakannya mengklasifikasikan Bitcoin sebagai aset untuk tujuan percukaian. Perundangan ini mungkin akan kekal sehinggalah Bitcoin atau matawang kripto diterima sebagai legal tender di masa hadapan.