Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Dari Antivirus ke Kripto ke Penjara: Kisah Ringkas Kehidupan John McAfee

Kenal tak siapa John McAfee? Mesti kenal. Siapa yang pernah memiliki atau menggunakan PC Windows pasti akan menggunakan anti-virus software McAfee. Jika anda rajin membaca berita, sudah pasti anda akan membaca tentang berita kematian John McAfee di sebuah penjara di Sepanyol.

Apa yang menarik sangat tentang John McAfee ni? Dalam artikel ini, kita akan mengenali tentang siapa John McAfee dan mengapa nama beliau signifikan dalam dunia matawang kripto.

Pencipta anti-virus software terkenal dunia

Sebelum John McAfee menempa nama melalui produknya, beliau pernah bekerja sebagai programmer di Institute of Space Studies di NASA dan terlibat dalam program Apollo. Kemudian beliau memegang jawatan di beberapa syarikat teknologi seperti Univac, Xerox dan Computer Sciences Corporation.

Bermula pada tahun 1980-an, John McAfee mula terlibat dalam perkembangan software untuk memerangi virus. Pada tahun 1987, McAfee Associates telah ditubuhkan dan anti-virus software McAfee mula ditawarkan di pasaran. Lebih 30 tahun kemudian, syarikat McAfee telah bertukar milik beberapa kali dan hari ini, ia dimiliki oleh Intel. Sehingga hari ini, software itu masih terkenal sebagai antara program anti-virus terbaik dunia.

Menceburi dunia keusahawanan

Setelah John McAfee menjual ekuitinya di syarikat anti-virus McAfee, beliau mula terlibat sebagai usahawan. Antaranya beliau pernah menubuhkan Tribal Voice, yang mengeluarkan antara program permesejan serta-merta pertama dunia, PowWow.

Selain itu, beliau juga pernah menubuhkan sebuah syarikat, QuoromEx yang bertujuan untuk mengeluarkan antibiotik berdasarkan herba yang mampu menghalang bakteria daripada menjalankan quorum sensing

John McAfee juga terkenal dengan kritikannya terhadap program anti-virus yang diciptakannya sendiri. Semasa Intel membuat keputusan untuk menukar jenama program anti-virus itu di bawah nama Intel Security, John McAfee menyahut baik keputusan itu kerana dia menganggap program anti-virus yang diciptanya itu adalah yang paling teruk di dunia dan dia tidak ingin namanya dikaitkan dengan program itu.

Beliau juga pernah membuat parodi video di Youtube yang bertajuk, “How to Uninstall McAfee Antivirus” yang telah mendapat lebih 10 juta tontonan.

Legasi Kripto

Apabila dunia kripto mula berkembang di mata dunia, sekali lagi John McAfee menempa nama sebagai penyokong kuat matawang kripto. Pada tahun 2016, beliau dilantik sebagai CEO di MGT Capital Investments, sebuah syarikat pelaburan teknologi.

Awalnya fokus syarikat itu adalah pada social gaming, kemudian cybersecurity, dan akhirnya John McAfee mengetuai syarikat itu masuk ke dalam dunia mining Bitcoin dan matawang kripto lain. Menurut John McAfee, selain daripada untuk menjana pendapatan syarikat itu, ia juga adalah untuk terlibat secara lebih mendalam dalam blockchain, suatu elemen yang dianggap penting dalam cybersecurity.

Namun begitu, John McAfee bukan hanya terlibat dalam aktiviti mining, tetapi juga dalam kontroversi pelaburan scam. Pada bulan Mac baru-baru ini, John McAfee telah didakwa atas tuduhan konspirasi penipuan dan penggubahan wang haram di mana dia dan beberapa orang lain telah menjana lebih USD$13 juta dengan daripada pelabur yang ingin melabur dalam matawang kripto.

John McAfee pernah mengeluarkan beberapa ciapan tentang matawang kripto, SkyCoin, mengajak orang ramai melabur dalam matawang kripto itu. Malah dia juga membuat tattoo SkyCoin di badannya, menurut salah satu ciapannya di Twitter. Tidak lama selepas itu, John McAfee menyatakan dia tidak lagi akan mempromosikan SkyCoin tanpa memberi sebab.

Pada awal bulan Jun 2021 pula, John McAfee telah dituduh terlibat dalam skim pump-and-dump oleh CEO syarikat perkhidmatan kewangan Afrika Selatan Sygnia, Magda Wierzycka. John dituduh menaikkan harga Bitcoin melalui ciapan di akaun Twitter dan seterusnya syarikat Tesla berjaya mendapat keuntungan apabila menjual aset Bitcoin mereka di harga yang tinggi.

Pergelutan dengan pihak penguasa seluruh dunia

Kontroversi di dunia kripto bukanlah satu-satunya isu John McAfee dengan undang-undang. Malah, John McAfee sudah bergelut dengan penguasa US sejak tahun 2012 lagi. Pada tahun 2009, John McAfee berpindah (baca: melarikan diri) ke Belize kononnya untuk mencari herba untuk tujuan perubatan. Empat tahun kemudian, rumahnya diserbu Gang Suppression Unit  polis Belize untuk senjata api, dan juga bahan yang menyerupai dadah kokain atau methamphetamine.

Namun begitu, John McAfee dilepaskan tanpa dakwaan.

Tujuh bulan kemudian, John McAfee sekali lagi ditahan sebagai “person of interest” dalam siasatan kes bunuh jirannya, Gregory Faull. Kali ini, dia membawa diri ke Guatamela, tetapi berjaya ditahan kerana memasuki negara itu secara haram dan dia dihantar pulang ke Amerika Syarikat.

Pada tahun 2015, John McAfee dijumpai legally liable oleh seorang hakim di mahkamah di Florida. Di bawah hukuman ini, John McAfee telah diarahkan untuk membayar USD$25 juta kepada estet Gregory Faull sebagai tuntutan.

Menurut kenyataan John McAfee sendiri pada tahun 2019, dia sudah lapan tahun tidak membayar cukai pendapatan US kerana sebab-sebab ideologi. Pihak pendakwa raya menganggarkan John McAfee tidak membayar cukai sebanyak USD$4,214,105 sejak tahun 2014 lagi.

Dan pada bulan Julai 2019, John McAfee yang cuba melarikan diri dari penguasa US menggunakan kapal layar telah ditahan di perairan Dominican Republic berkaitan dakwaan memasuki negara itu dengan membawa senjata api. Sekali lagi dia dilepaskan tanpa dakwaan.

Akhirnya, pada bulan Oktober 2020, John McAfee ditahan oleh penguasa Sepanyol atas dakwaan lari cukai atas arahan Amerika Syarikat. Hampir setahun kemudian, pada 22 Jun 2021, kerajaan Sepanyol telah menerima permintaan ekstradisi Amerika Syarikat. Tidak lama selepas itu, John McAfee telah dijumpai mati kerana bunuh diri di dalam sel penjaranya.

Ini adalah ciapan terakhir di akaun Twitter John McAfee beberapa hari sebelum dia membunuh diri,

In a democracy, power is given not taken. But it is still power. Love, compassion, caring have no use for it. But it is fuel for greed, hostility,  jealousy… All power corrupts. Take care which powers you allow a democracy to wield.

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads