Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Emas atau Bitcoin – Yang Mana Yang akan Kekal dalam Jangka Masa Panjang?

Kalau lihat berita masa kini, dengan dunia dilanda wabak COVID19, banyak negara yang menghadapi krisis ekonomi. Kadar pengangguran yang tinggi, perniagaan yang gulung tikar bertambah setiap hari, harga barangan yang semakin mahal dan macam-macam lagi simptom masalah kewangan disebabkan COVID-19.

Dalam pada masa yang sama, semakin ramai yang mula menyimpan wang dengan cara mengurangkan perbelanjaan mahupun mencari peluang pelaburan baru. Bak kata mat salleh, ini adalah masa untuk “amass wealth” kerana kita tidak tahu bila wabak ini akan berakhir dan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

Antara pelaburan yang semakin popular sudah tentunya matawang kripto. Kemudahan untuk membeli, pasaran yang berlangsung tanpa henti 24 jam sehari 7 hari seminggu, permulaan yang minima, ciri-ciri inilah yang banyak menarik minat pelabur institusi dan juga pelabur harian.

Pada masa yang sama, kejatuhan nilai matawang negara-negara termasuklah Amerika Syarikat sendiri menyebabkan ramai yang mula mencari aset safe haven selain USD. Bagi mereka yang tidak peka atau tidak percaya dengan pasaran kripto, komoditi seperti emas menjadi pilihan mereka. Dan baru-baru ini kita dapat melihat harga emas buat pertama kali melonjak melebihi $2,000 sejak kejatuhan teruk pada bulan Mac 2020.

Jadi antara emas atau matawang kripto, yang mana satu menjadi pilihan anda?


Bayangkan anda memiliki RM100,000. Anda mempunyai hanya dua pilihan, sama ada membeli emas atau Bitcoin – tidak boleh membeli kedua-duanya – dan aset yang anda beli akan disimpan tanpa boleh diakses selama 50 tahun.

Anda akan memilih yang mana satu?

Sekarang ini ramai yang suka membuat perbandingan harga Bitcoin dan emas. Awal tahun 2017 yang lalu, harga 1 BTC telah mengatasi harga emas (1 oz atau 28.3495 gm) di pasaran. Dan kini anda sudah boleh membeli lebih 162 gm emas dengan harga 1 BTC.

Sumber: coindesk.com

Harga Bitcoin yang semakin meningkat menyebabkan ramai yang beranggapan bahawa ia adalah suatu pelaburan yang lebih menguntungkan daripada emas. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa emas mempunyai rekod yang sangat bagus, memandangkan ia telah wujud berkurun lama dan dianggap sebagai barangan berharga dalam mana-mana tamadun.

Jadi, dalam post ini penulis ingin membuat beberapa perbandingan antara Bitcoin dan emas untuk melihat sama ada Bitcoin berpotensi mengatasi emas, ataupun sebaliknya.

1 Persamaan

Kedua-duanya adalah sumber terhad

Emas adalah antara elemen yang paling sukar dijumpai (rare) dalam dunia, dan jika keseluruhan jumlah emas yang pernah dilombong (186,000 ton) dicairkan, ia hanya akan memenuhi satu kolam renang bersaiz olimpik.

Sumber: giphy.com

Itu adalah bukti betapa sukarnya untuk melombong emas, bukan sahaja dari segi pencariannya, tetapi juga dari segi kos yang terlibat. Tahun lepas, penganalisa daripada Goldman Sachs, Eugene King menjangka kita hanya ada 20 tahun sahaja sebelum habis melombong emas. Ini bermakna, menjelang tahun 2035, serpihan emas yang terakhir akan dilombong dari bumi. Walaupun ia tidak bermakna sumber emas telah habis, pencarian emas akan datang dengan kos yang lebih tinggi. Ini adalah antara faktor utama yang merangsang peningkatan harga emas di pasaran.

Dalam kes Bitcoin, jumlah pengeluaran Bitcoin terhad kepada 21 juta dan 99 peratus daripada jumlah itu dijangka akan dijana melalui aktiviti mining pada tahun 2032. Implikasi   jumlah terhad Bitcoin sama seperti emas, dan semakin hari kita dapat lihat harga Bitcoin semakin meningkat.

Inflation vs Deflation

Konsep inflation atau inflasi berkait rapat dengan bekalan yang tidak terhad, seperti matawang fiat. Inflasi menyebabkan harga barangan naik dan kuasa pembelian pada matawang menurun. Contohnya, pada kadar inflasi sebanyak 3 peratus, roti canai yang berharga RM1 pada hari ini akan berharga RM1.05 pada tahun hadapan. Apabila barangan atau perkhidmatan memerlukan lebih banyak wang untuk dibeli, nilai sesuatu matawang itu akan jatuh.

Deflation atau deflasi adalah apabila keadaan sebaliknya berlaku. Dalam kes Bitcoin dan emas, bekalan yang terhad menyebabkan perbelanjaan menggunakan kedua-duanya berkurangan, dan pada masa yang sama meningkatkan harga mereka. Walaupun begitu, mengatakan emas bersifat deflasi tidak begitu tepat. Ini adalah kerana berbanding dengan Bitcoin yang mempunyai had pengeluaran yang sudah ditetapkan secara jelas, jumlah sebenar emas tidak diketahui dan menurut statistik, bekalan emas di dunia sebenarnya sudah bertambah sebanyak 1-2 peratus dalam tempoh seratus tahun yang lalu.

Nilai yang simbolik

Kedua-dua emas dan Bitcoin telah menjadi sesuatu yang simbolik yang menandakan kekayaan seseorang, walaupun identiti pemilik emas lebih diketahui daripada Bitcoin. Dalam tamadun awal, emas dianggap bernilai kerana ia tidak mudah rosak seperti perak dan gangsa dan ia juga tidak mudah larut (dissolve). Tambahan lagi, warna emas lebih cantik dan menarik untuk dijadikan barang perhiasan. Ia menjadi sesuatu yang orang ramai ingin miliki, dan sentimen inilah yang memberi nilai kepada emas sehingga kini.

Bagi Bitcoin pula, nilainya wujud kerana ciri-cirinya yang bebas dari kawalan bank dan kerajaan. Penggunaannya dilihat sebagai simbol kebebasan orang ramai, malah proses transaksi Bitcoin lebih efektif daripada menggunakan perkhidmatan institusi kewangan.

2 Perbezaan

Fungsi

Boleh dikatakan kelebihan utama Bitcoin berbanding emas adalah dari segi fungsi. Bitcoin dicipta untuk menggantikan matawang fiat, dan reka bentuk serta infrastruktur Bitcoin memastikan sistem transaksi Bitcoin adalah efektif. Emas pula tidak begitu efektif sebagai matawang kerana isu pengangkutannya memandangkan ia adalah sesuatu yang fizikal. Fungsi emas adalah pelbagai, termasuk sebagai barangan hiasan, perlengkapan pesawat ruang angkasa, komponen dalam peralatan elektrik, dalam rawatan gigi dan macam-macam lagi.

Namun begitu, fungsi utama kedua-duanya adalah sebagai pelaburan yang bernilai bagi orang ramai. dan faktor utama yang menetapkan nilai mereka adalah persepsi. Selain daripada emas, banyak lagi logam lain yang lebih sukar dijumpai dan juga boleh digunakan  dengan lebih meluas daripada emas. Namun begitu, emas tetap dianggap bernilai. Sama juga dengan Bitcoin. Walaupun ia adalah matawang kripto pertama, ia bukanlah yang terbaik dan banyak lagi matawang kripto yang mempunyai fungsi yang lebih banyak dan lebih efektif daripada Bitcoin. Namun begitu kedua-duanya masih dianggap paling bernilai dalam kumpulan masing-masing.

Kepercayaan

Kelebihan utama emas adalah masa. Emas telah wujud dalam beberapa tamadun dan digunakan sebagai matawang dalam tamadun-tamadun tersebut. Ini adalah sesuatu yang sangat penting kerana emas telah berjaya menubuhkan kepercayaan dan kebergantungan orang ramai, sama seperti matawang fiat di masa kini. Dengan rekod lebih 1000 tahun, tidak hairan jika emas masih lagi relevan beratus tahun akan datang. Kepercayaan orang ramai terhadap nilai emas tidak dipengaruhi oleh tindakan kerajaan, sentimen orang ramai mahupun infrastruktur internet, memberikan ia sesuatu nilai yang berkekalan sepanjang zaman.

Sebaliknya, Bitcoin dicipta daripada teknologi yang boleh berkembang. Perkembangan teknologi atau penemuan teknologi yang baru boleh menyebabkan Bitcoin ketinggalan zaman seperti apa yang berlaku di era dotcom dahulu. Tindakan kerajaan yang menentang atau menghalang Bitcoin boleh menyebabkan nilainya jatuh mendadak. Sokongan (atau tentangan) daripada orang-orang yang berpengaruh juga boleh menyebabkan harga Bitcoin berubah.

Namun begitu, kewujudan Bitcoin dan teknologi Blockchain masih lagi baru. Sama seperti sebuah syarikat baru, ia mengambil masa untuk mendapat kepercayaan ramai, bergantung kepada potensi dan prestasi dari tahun ke tahun. Kadar penerimaan Bitcoin semakin meningkat, dan Bitcoin juga mempunyai potensi untuk digunakan dalam jangka masa panjang.

3 Kesimpulan

Melihat kepada perbandingan di atas, sebenarnya agak sukar untuk menentukan mana yang lebih bernilai dan akan kekal lama. Kedua-duanya mempunyai potensi yang berbeza, tidak kiralah dari segi kegunaan atau nilai yang ditentukan orang ramai. Lebih tepat untuk mengatakan bahawa Bitcoin mempunyai potensi untuk menjadi emas versi digital, bukan sesuatu yang lebih baik daripada emas.

Apa yang pasti strategi yang lebih baik adalah dengan melabur dalam kedua-dua Bitcoin dan emas. Tidak perlu membuat perbandingan antara emas dan Bitcoin kerana kedua-duanya adalah pelaburan yang menguntungkan. Setuju?

 

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads