Default – Above Header Ads

Lapan Bandar Anda Boleh Gunakan Bitcoin Sebagai Pembayaran

Keberjayaan atau nilai yang yang ada pada sesuatu matawang kripto itu terletak pada penerimaan massa dan ‘kebolehgunaannya’ dalam pelbagai transaksi kewangan. Dalam hal ini, belum ada lagi matawang kripto atau aset digital yang boleh menandingi kehebatan Bitcoin.

Kini anda boleh membeli produk jenama-jenama besar seperti Whole Food yang dimiliki Amazon, Microsoft, Nordstrom, Starbucks dan lain-lain lagi dengan menggunakan Bitcoin; membuktikan bahawa Bitcoin telah berjaya melepasi halangan utama yang banyak sekali menjadi ancaman kepada kebanyakan matawang kripto.

Kepada para peminat dan pemilik Bitcoin, ini sudah pastinya berita baik untuk anda kerana lebih banyak peruncit dan perniagaan yang mahu menerima Bitcoin sebagai kaedah pembayaran, lebih kukuh dan tinggilah nilai Bitcoin di masa hadapan.

Anda juga pasti gembira untuk mengetahui, semakin banyak bandar di dunia ini yang semakin mesra dengan Bitcoin dan menyediakan banyak kemudahan agar Bitcoin dapat digunapakai secara lebih meluas. Sekiranya anda merancang untuk pergi bercuti, maka ini adalah lapan bandar yang wajib anda lawati:

San Francisco, Amerika Syarikat
Lucu sekiranya San Francisco tidak termasuk dalam senarai ini, memandangkan ia menempatkan Silicon Valley yang terkenal itu. Di bandar ini, terdapat lebih 60 buat mesin ATM Bitcoin di samping 177 perniagaan yang menerima Bitcoin, terutamanya restoran dan kedai makan. Coinbase, pembangun wallet Bitcoin yang paling popular itu juga berasal dari San Francisco.

Amsterdam, Belanda
Amsterdam kini tidak lagi terkenal dengan Red Light District nya dan bandar mesra ganja sahaja, tetapi turut dikenali sebagai sebuah bandar yang mesra Bitcoin. Terdapat lebih 74 perniagaan yang menerima Bitcoin dan jumlah ATM Bitcoin juga semakin bertambah. Anda juga boleh berkunjung ke ‘Kedutaan Bitcoin’ di bandar ini yang diwujudkan untuk mempromosikan Bitcoin ke seluruh dunia. Amsterdam juga adalah tempat kelahiran beberapa start-up peneraju Bitcoin seperti Bitpay dan Bitfury.

Ljubljana, Slovenia
Mungkin tiada sesiapa yang menyangka sebuah bandar kecil di Eropah timur ini akan termasuk dalam senarai. Tetapi jangan terkejut, bandar dengan populasi hanya 272,000 orang ini boleh berbangga dengan 51 perniagaan yang menerima Bitcoin dan 5 buah mesin ATM Bitcoin. Sebuah kompleks beli-belah mesra Bitcoin yang pertama di dunia – Bitcoin City – juga telah dibuka di Ljubljana, di mana semua perniagaan di dalamnya bersedia untuk menerima Bitcoin.

Vancouver, Canada
Vancouver merupakan bandar pertama di dunia yang memasang mesin ATM Bitcoin. Kini, terdapat hampir 48 mesin ATM Bitcoin di samping 86 perniagaan yang sudi menerima Bitcoin. Vancouver juga mempunyai komuniti Bitcoin yang sangat kuat dan ini dibuktikan apabila bandar ini menjadi yang pertama meluluskan undang-undang untuk mengawal selia matawang maya. 

Zurich, Switzerland
Zurich membuktikan statusnya sebagai salah satu pusat kewangan dunia apabila turut menjadi bandar yang mesra Bitcoin. Di Zurich, anda boleh menemukan 64 perniagaan yang menerima Bitcoin dan lapan mesin ATM Bitcoin. Sebuah kota kecil di Zurich, Zug, adalah sebuah destinasi popular untuk para peminat kripto sehingga digelar Crypto Valley. Ethereum Foundation juga telah memilih Zug untuk menempatkan ibu pajabatnya.

London, England
Sekiranya anda seorang peminat Bitcoin tegar, kota metropolitan London adalah destinasi yang tidak boleh anda lepaskan. Dengan lebih 8.8 juta penduduk, London menyediakan 74 mesin ATM Bitcoin dengan 88 perniagaan yang sudi menerima Bitcoin. Selain itu, London Bitcoin Meetup Group juga adalah yang terbesar di dunia seumpamnya dengan lebih 2,300 ahli. 

Buenos Aires, Argentina
Satu-satunya bandar Amerika Selatan yang tersenarai, Buenos Aires mempunyai 130-150 perniagaan yang bersedia menerima Bitcoin, suatu jumlah yang cukup mengkagumkan. Hal ini mungkin disebabkan keadaan ekonomi Argentina yang kurang memberangsangkan dengan nilai matawangnya yang jatuh merudum, menyebabkan orang ramai beralih arah kepada Bitcoin.

New York, Amerika Syarikat
Penyenaraian bandar Big Apple ini bukan sesuatu yang menghairankan apabila ia mempunyai lebih 122 perniagaan yang menerima Bitcoin dan 117 mesin ATM Bitcoin. Sekiranya anda berpeluang untuk ke sana, jangan hanya sibuk mahu melihat Statue of Liberty atau tapak World Trade Centre, tetapi singgahlah juga di restoran-restoran di sana yang menerima Bitcoin.

Semua bandar-bandar yang tersenarai terletak di negara Barat; tiadakah bandar di Asia yang mesra Bitcoin? Meskipun secara umumnya, negara-negara di Asia ini tidaklah sekehadapan seperti negara-negara Barat dalam mengadaptasikan kripto dalam transaksi harian, tetapi masih ada beberapa bandar yang berbaloi untuk disebut di sini.


Hong Kong
Walaupun secara teknikalnya Hong Kong tertakluk di bawah China, namun Hong Kong mempunyai banyak perbezaan dengan negara komunis itu; sikap terhadap Bitcoin adalah salah satu daripadanya. Banyak perniagaan yang menerima Bitcoin sebagai kaedah pembayaran. Konferens berkaitan matawang kripto yang berprofil tinggi seperti Blockchain Global Summit juga seringkali dianjurkan di negara bekas jajahan British ini.

Singapura
Singapura dianggap mesra kripto terutamanya apabila Monetary Authority of Singapore (MAS) mengeluarkan garis panduan yang jelas tentang ICO dan perdagangan kripto. Walaupun secara teknikalnya Bitcoin tidak boleh digunakan untuk urusan jual beli di kota metropolitan ini, menurut Coinmap, ada lebih 40 jenis perniagaan di Singapura yang menerima Bitcoin.

Kuala Lumpur
Tidak kena rasanya sekiranya Kuala Lumpur tidak disenaraikan. Walaupun diakui yang Malaysia amnya dan Kuala Lumpur khususnya masih jauh ketinggalan berbanding bandar-bandar besar lain dalam mengadaptasikan Bitcoin, komuniti Bitcoin agak aktif dan terdapat sekurang-kurangnya 15 perniagaan yang menerima Bitcoin, antaranya Ifmal.com. Anda mesti ingat pernah suatu ketika, tular gambar seorang makcik penjual nasi kerabu yang menerima Bitcoin kan? Kini dengan bangganya anda boleh bertanyakan kepada rakan-rakan anda dari negara lain, “Kau ada??”

Demikianlah lapan (+3) bandar-bandar di seluruh dunia yang menerima Bitcoin sebagai kaedah pembayaran. Tidak diragui lagi, senarai ini akan bertambah panjang seiring dengan penerimaan masyarakat dunia terhadap matawang kripto, terutamanya Bitcoin.

Di masa hadapan, anda tidak perlu lagi pening-pening kepala tentang kadar pertukaran wang asing atau kebarangkalian wang fiat anda dicuri ketika melancong. Anda hanya perlukan sebuah telefon pintar atau cold wallet dan nikmati percutian anda dengan tenang kerana selebihnya, serahkan sahaja kepada kemajuan teknologi terkini! 

Ditulis oleh:
Adam Effendy Mustapha

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.