Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Matawang Kripto dan Gelembung Pasaran (Market Bubble)

Kalau kita perhati pergerakan di dalam pasaran matawang kripto, kita akan dapati ianya sangat tidak menentu (volatile) dan harga matawang kripto berubah-ubah dengan kadar yang sangat cepat. Kita sudah bercakap tentang pembetulan pasaran (market correction), tetapi adakah ini menandakan sesuatu yang lebih besar, seperti gelembung pasaran (market bubble)?

Apa itu market bubble?

Menurut Investopedia, ianya adalah “kenaikan harga ekuiti yang mendadak, selalunya lebih daripada yang dijangkakan dan di dalam sektor-sektor tertentu sahaja, di ikuti dengan penurunan harga yang drastik apabila berlaku penjualan dalam skala yang besar”. Gelembung pasaran mempunyai banyak nama – gelembung ekonomi, belon aset, mania dalam spekulasi dan lain-lain lagi. Tetapi semuanya datang dari konsep yang sama.

Harga sesuatu aset (atau komoditi) yang naik secara mendadak kerana minat dan penerimaan orang ramai. Dan sampai satu tahap, seperti belon atau gelembung, ia akan pecah dan orang ramai mula menjual secara panik menyebabkan harga turun secara mendadak.

Gelembung ekonomi pertama dalam rekod

Dinamakan Tulip Mania, ia adalah gelembung ekonomi yang berlaku di Belanda. Abad ke-17 di Belanda merupakan zaman kegemilangan negara itu di mana sektor perdagangan, ketenteraan, sains dan kesenian merupakan yang terbaik di dunia, dan zaman itu dinobat sebagai Dutch Golden Age di negara itu. Dalam abad itu, seorang pelukis Flemish (salah satu dialek Belanda) bernama Jan Brueghel the Elder mula mencipta lukisan subjek tidak bernyawa (inanimate) atau still life paintings menggambarkan sejambak bunga di dalam pasu kaca.

Sumber: http://www.janbrueghel.net/object/flowers-in-a-glass-vase-madride

Di dalam gambar lukisan di atas, terdapat beberapa kuntum bunga berlainan seperti bunga narcissi dan kekwa kelihatan. Dan di bahagian teratas, terdapat dua kuntum bunga yang kelopak mereka menguncup tidak seperti yang lain. Kuntuman bunga itu adalah bunga tulip yang akan memulakan gelembung pasaran tulip di Belanda.

Tulip bud atau tunas tulip menjadi kegilaan ramai

Ketika itu, tulip yang berasal dari rantau Asia Tengah dianggap sebagai sesuatu yang eksotik di Eropah Barat kerana warna bunga yang sangat pekat tidak seperti bunga lain, dan mula menarik minat ramai ahli botani. Dalam masa yang sama Jan Brueghel melukis tulip, seorang ahli botani bernama Carolus Clusius mula menyedari tunas tulip (tulip bud) yang baru dan tak pernah dilihat menjadi bunga tulip yang mempunyai pelbagai warna dikelopak mula bertambah dalam koleksi tulip yang ditanam.

Apabila hybrid tulip ini bertambah dengan banyak, permintaan yang bermula dari rangkaian ahli botani telah menular kepada orang ramai yang tertarik dengan kecantikan bunga tulip tersebut. Permintaan yang mendadak menyebabkan harga tunas tulip naik dengan begitu cepat sekali. Menjelang tahun 1630, berita tentang kenaikan harga tunas tulip di Belanda telah menarik pelabur dan spekulator untuk menyertai pasaran tulip itu.

Apa yang menarik tentang pasaran tulip itu adalah orang ramai tidak berjual beli bunga tulip itu sendiri, tetapi buluh tulip (tulip bulb) atau benih bunga tulip yang tidak banyak bekalannya. Keadaan ini sama seperti pasaran futures yang ada sekarang. Tambahan lagi, tulip mula digunakan sebagai kaedah pembayaran, sehinggakan beberapa hartanah dibeli dengan hanya beberapa benih tulip pada tahun 1633.

Kejatuhan pasaran tulip

Pada tahun 1636-37, Tulip Mania telah tiba di saat kemuncak gelembung itu. Orang ramai berjual beli benih tulip di mana-mana sahaja, sehinggakan satu benih tulip boleh bertukar tangan lebih 10 kali dalam masa sehari sahaja. Tetapi pada bulan Februari 1937, pasaran tulip mula jatuh. Peristiwa yang memulakan kejatuhan ini adalah apabila buat pertama kalinya, pembeli tidak hadir ke jualan lelong tunas tulip yang diadakan di Haarlem, sebuah bandar di Belanda.

Pada masa yang sama, harga tunas tulip yang terlalu tinggi menyebabkan ramai spekulator tidak mampu untuk membeli tunas tulip dan mereka mula meninggalkan pasaran tulip untuk mencari pasaran yang lebih baik. Berikutan peristiwa itu, harga tunas tulip mula jatuh dengan mendadak dan akhirnya nilainya jatuh menjadi satu perspuluh daripada harga asalnya.

Dotcom bubble dan house market bubble

Dua lagi contoh gelembung pasaran boleh dilihat dalam pasaran perumahan dan juga pasaran Internet (1997-2001). Asasnya juga sama seperti Tulip Mania, di mana harga stok syarikat Internet atau harga rumah mula naik secara mendadak. Dan apabila sesuatu peristiwa berlaku menyebabkan orang ramai mula sangsi tentang pasaran tersebut dan pelabur besar mula menarik diri, pasaran tersebut akan mengalami kejatuhan dalam masa yang singkat.

Sumber: https://flatworldbusiness.wordpress.com/

Namun begitu, kejatuhan pasaran tidak bermakna pasaran tersebut terus hilang dari mata dunia. Selepas peristiwa Tulip Mania, bunga tulip masih lagi kekal sebagai bunga yang diminati ramai. Masih ada lagi syarikat-syarikat yang ditubuhkan sewaktu dotcom bubble yang bertahan sehingga kini, seperti Amazon, EBay dan Google. Dan permintaan dalam pasaran perumahan masih lagi berkekalan, sejajar dengan peningkatan populasi dunia.

Adakah Bitcoin dan matawang kripto lain dalam suatu gelembung pasaran?

Sifat-sifat perkembangan matawang kripto banyak menyamai gelembung pasaran yang telah diceritakan tadi. Terutamanya harga yang naik dengan cepat dan mendadak, lebih daripada jangkaan orang ramai. Ditambah dengan ICO yang memperkenalkan banyak matawang kripto setiap hari, kenaikan harga di pasaran matawang kripto boleh dikaitkan dengan peningkatan pelabur-pelabur baru yang ingin mengaut keuntungan dalam pasaran ini.

Risiko jualan panik jika harga turun sangat tinggi, dan kita boleh lihat perkara ini berlaku berulang kali dalam pasaran ini. Pada masa yang sama, pemulihan pantas pasaran ini juga menyebabkan sukar untuk kita merumuskan sama ada ianya suatu gelembung atau tidak. Setiap peristiwa besar yang berlaku akan menyebabkan harga matawang kripto berubah sekelip mata. Kecurian dan hacking berlaku? Pelabur yang bimbang kehilangan matawang krypto akan cepat-cepat menjual dan harga akan jatuh. Penambahbaikan projek dan produk baru dilancarkan? Perhatian daripada pihak media dan orang ramai akan menarik pelabur baru dan harga akan naik.

Hujah daripada mereka yang pro-matawang kripto adalah industri ini masih lagi di peringkat awal (baru berusia 5 tahun) dan teknologi Blockchain itu sendiri akan melalui banyak evolusi. Jadi tidak hairanlah jika harga naik turun secara mendadak, kerana orang ramai masih lagi mempelajari benda baru setiap hari. Mungkin suatu hari nanti, industri ini akan menjadi gelembung pasaran, tetapi keberangkalian itu berlaku masih lagi jauh di masa hadapan. Apa pendapat anda?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.