Menjawab Lebai Lariba
Apabila ana ditunjukkan “screen shot” ini, ana hanya tersengih dan merasakan penulisnya bukanlah ahli fiqh, bahkan bukanlah penuntut ilmu dalam bidang agama. Apabila ana bertanya milik siapakan kenyataan ini, teman ana menjawab,
“Ustaz Lariba”.
Siapakah “Ustaz Lariba” ini? Kesimpulan yang beliau buat adalah terlalu dangkal dan tidak matang. Seolah-olah tidak memiliki asas ilmu usul fiqh. Maka ana pun melakukan sedikit carian tentang beliau dan mendengar serba sedikit kuliah beliau tentang fiqh muamalat dan bitcoin. Telahan ana ternyata benar, beliau bukanlah dari aliran fiqh. Tidak hairanlah kesimpulan tidak patuh syariah yang beliau buat sangat dangkal. Belum lagi diuji penguasaan Bahasa Arab beliau untuk memahami ilmu fiqh dan usul fiqh.
Lebih mengejutkan, dalam sebuah kuliah, beliau menceritakan seoalah-olah telah berlaku dialog diantara beliau dengan pejuang bitcoin. Di sana beliau tidak tahu di mana datangnya jumlah 21 juta bitcoin. Wahai “so called” ustaz, kata Allah di dalam al-Quran,
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
“maka bertanyalah kepada ahli zikir jika kamu tidak mengetahui.”
Ahli zikir disini bermaksud ahli ilmu dalam sesuatu bidang, maka lebai “Lariba” patut bertanya dahulu pakar-pakar teknologi blockchain sebelum menyebarkan kesesatan maklumat kepada umat. Rasanya dengan hanya melakukan sedikit carian google sahaja jawapan tentang 21 juta boleh ditemui.
Kedangkalan 1 : Bitcoin tidak menepati sifat matawang sebenar.
Sebelum ana menjawab kedangkalan pertama ini, elok para pembaca mengkhadam artikel pertama ana terlebih dahulu. (klik sini) Rasanya para aktivis kripto tidak akan bersetuju bitcoin dijadikan matawang bahkan sifatnya juga tidak menepati syarat menjadi matawang rasmi. Tetapi, dengan menggunakan teknologi blockchain yang dikawal selia, ia boleh dijadikan matawang rasmi mana-mana negara atau institusi.
Apakah sifat matawang menurut Islam?
Para pembaca boleh rujuk artikel tentang bank dan wang kertas di sini.
Sebenarnya, Islam tidak meletakkan apa-apa syarat atau apa-apa bahan untuk dijadikan matawang atau sandarannya secara “clear cut”. Ajaran Islam itu sangat luas apabila ia melibatkan urusan muamalat. Secara ringkas sifat matawang menurut Islam adalah sesuatu yang bersifat “high integrity”, diterima umum, mudarat lebih ringan atau masalah lebih besar.
Atas dasar sifat “high integrity” dan diterima umum, emas (dinar) dan perak (dirham) dijadikan matawang yang dipilih dunia Islam. Tidak ketinggalan, fulus (gangsa/timah/logam lain) diiktiraf digunakan sebagai ganti kepada dinar dan dirham untuk jualan barangan yang kecil nilainya. Selain itu, pertukaran secara barter juga terus berlangsung. Ini jelas membuktikan, Islam sangat luas mengenai urusan traksaksi jual beli.
Dalam fiqh Islam, terdapat perbezaan pendapat mengenai kedudukan adakah wang kertas itu nuqud atau fulus. Jika dirujuk pandangan-pandangan awal, wang kertas juga dianggap sebagai sehelai kertas yang gharar kerana telah dan boleh dimanipulasi oleh bank-bank pemodal yang dikawal oleh kapitalis Yahudi. Pada hari ini, pandangan kontemporari mengqiyaskan wang kertas sebagai nuqud seperti dinar dan dirham yang diterima oleh dunia Islam secara majoriti kerana wang kertas telah menjadi arus perdana dan diterima umum. Jangan buat-buat lupa, wang kertas masih dikritik terhadap nilai sandarannya bukan?
Jika dibandingkan sifat wang logam dan wang kertas dengan sifat “wang blockchain”, integriti yang dimiliki oleh “wang blockchain” jauh mengatasi 2 jenis wang tersebut. Islam itu agama yang menjadikan integriti dalam penyelesaian apa-apa isu dan masalah. Maka, ana simpulkan, sistem dan wang blockchain menepati maqasid syariah!
Kedangkalan 2 : Risiko keselamatan
Adakah wang kertas tidak boleh dicuri? Adakah emas atau perak tidak boleh dirompak? Sepanjang sejarah kehidupan manusia, berapa bank telah dirompak? Berapa rumah telah disamun? Berapa bag telah diragut? Adakah sistem wang di bank tidak boleh dihack? Rujuk artikel tentang keselamatan bitcoin di sini dan di sini.
Risiko keselamatan tidak menjadikan sesuatu perkara itu haram atau gharar dengan begitu pantas. Ohya, Lebai Lariba bukanlah graduan fiqh. Maka pandangan ini hanya perlu dijawab dengan menggunakan logik mudah orang awam saja.
Jika wang itu disimpan di dalam wallet blockchain, peragut yang meragut bag tidak akan dapat apa-apa daripada usaha meragut. Jika wang kertas, emas dan perak, berpartilah peragut pada malam kejayaan mereka. Sedang dunia bergerak ke dunia digital dan “decentralised” yang penuh integriti, amat malang masih ada lebai yang mahu menjadi penunggang wang kertas.
Kedangkalan 3 : Aktiviti Jenayah Dalam Urusan Bitcoin
Sebelum wujudnya bitcoin, adakah aktiviti jenayah tidak wujud atau kurang? Sebelum wujudnya zaman wang kertas, adakah aktiviti jenayah tidak wujud atau kurang? Ketika zaman Nabi, adakah jenayah tidak berlaku?
Jika penjenayah menggunakan bitcoin untuk lakukan jenayah, adakah salah bitcoin? Sebelum wujudnya bitcoin, penjenayah menggunakan wang kertas, emas dan permata, maka semua bahan itu juga bersalah?
Begitu juga mereka melakukan jenayah atas nama agama, adakah agama disalahkan? Mereka yang menggunakan title “ustaz”, adakah seluruh ustaz disalahkan?
Maka berpadalah kita melihat kesalahan diri sendiri yang tiada ilmu, sebelum membakulkan sebuah teknologi yang hebat ini.
Bak kata pepatah arab,
ومن نسي زلة نفسه إستعظم زلة غيره
“Sesiapa yang tak nampak kesilapannya, maka dia akan membesarkan kesilapan orang lain.”
Mungkin Lebai Lariba tidak tahu tentang kes Silk Road. Bagaimana mereka boleh tertangkap? Ini semua perlukan ilmu. Tiada makhluk yang sempurna selain Allah! Sudah pasti transaksi bitcoin dan jaringannya tidaklah sempurna dan boleh diselidiki, asalkan punya ilmu dan kemahiran tentang teknologi blockchain.
Kedangkalan 4 : Dasar kerajaan dan antarabangsa yang tidak menerima Bitcoin
Ini dakwaan yang curang lagi khianat. Betapa banyak kerajaan negara-negara lain telah menerima bitcoin. (Rujuk sini dan sini )Kerajaan Malaysia melalui Bank Negara juga sedang menjalankan kajian untuk mengawal selia. Maksudnya, dasar kerajaan telah menerima keberadaan bitcoin sebagai teknologi masa kini.
Jika sekali pun, dasar kerajaan atau dunia mengharamkan bitcoin, tetapi jika menurut syariat ia tidak haram, dasar tersebut tidak menjadi dalil untuk berhukum. Janganlah kita jadi golongan yang bermudah-mudahan dalam mengharamkan apa yang tidak haram dalam perkara muamalat.
قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَاماً وَحَلاَلاً قُلْ آللّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللّهِ تَفْتَرُونَ، وَمَا ظَنُّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللّهِ الْكَذِبَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَـكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لاَ يَشْكُرُونَ
“Katakanlah: ‘Terangkanlah kepadaku tentang rezeki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sebahagiannya) halal.’ Katakanlah: ‘Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan (kedustaan) terhadap Allah?’ Apakah dugaan golongan yang mengada-adakan pembohongan terhadap Allah pada hari kiamat? Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia (yang dilimpahkan) atas manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.” (Yunus : 59-60)
وَلاَ تَقُولُواْ لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَـذَا حَلاَلٌ وَهَـذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُواْ عَلَى اللّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللّهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُونَ
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta, ‘Ini halal dan ini haram,’ untuk mengada-adakan pembohongan terhadap Allah. Sesungguhnya golongan yang mengada-adakan pembohongan terhadap Allah tidaklah beruntung.” (An-Nahl : 116)
Kedangkalan 5 : Wujud Skim Cepat Kaya Dalam Pelaburan Bitcoin
Jawapan sepatutnya kepada kedangkalan ini adalah diulang semula jawapan kepada kedangkalan 4. “Pelaburan Bitcoin” adalah sebuah medium. Boleh jadi betul, boleh jadi tipu. Jadi, masyarakat patut diberikan pencerahan dan ilmu, bukan menghukum bitcoin.
Sebagai contoh, internet adalah medium yang boleh jadi baik, boleh jadi tidak baik. Internet boleh digunakan untuk menonton video porno, menyebar fitnah dan membeli dadah. Adakah internet salah disebabkan wujudnya medium-medium yang negatif ini?
Kaedah kesimpulan dan qiyas mungkar Lebai Lariba ini menjelaskan betapa lemah dan jahilnya beliau dalam ilmu fiqh dan usul. Baru-baru ini wujud skim pelaburan menggunakan kucing, adakah kucing juga perlu dihukum?
Kesimpulan
Segala pandangan dan fatwa Lebai Lariba boleh diabaikan dan tidak perlu dibawa ke mana-mana, jika boleh dibuang ke dalam tong sampah, buanglah tanpa ragu-ragu. Kerisauan beliau tentang isu “bubble” dan “crash” tidak menjadi hujah untuk mengharamkan atau memakruhkan bitcoin dan traksaksinya.
Hartanah, komoditi makanan, minyak dan gas, timah dan besi, dan lain-lain juga pernah dan boleh mengalama “bubble” dan “crash”. Setiap pelaburan pasti ada risikonya. Setiap perkara tiada yang kekal melainkan Allah.
Cuma ana tertanya-tanya, kenapa Lebai Lariba mahu menggunakan gelaran “ustaz” sedangkan beliau bukanlah seorang ustaz yang benar. Mungkin dengan jenama “ustaz” boleh dijual dan mendapatkan kepercayaan masyarakat.
Wallahu’alam.
ps : Dengar cerita Dr. Daud Bakar mengumumkan bitcoin adalah harus bahkan bersetuju dengan teknologi blockchain dijadikan matawang. Nanti ana akan ulas. Dr. Zaharudin juga dengarnya sudah bertaubat dari pandangan lama, kini dia juga telah mengharuskan bitcoin. Alhamdulillah.