Default – Above Header Ads

Perbandingan Bitcoin Hari Ini dengan Emas Zaman Dahulu

 

Siapa yang dah tengok video ni? Video ni bukanlah dokumentari sejarah asal usul Bitcoin, tapi satu sketsa yang membuat perbandingan antara Bitcoin pada zaman ini dan emas pada zaman dahulu.

Memang kelakar. Tapi itulah realiti yang berlaku ketika penemuan emas dahulu. Ramai yang tidak percaya potensi emas sebagai matawang dan hanya menjadikannya barang hiasan. Pada zaman 3100 BC kerajaan Mesir Purba mengeluarkan ratio nilai emas kepada perak: satu keping emas bersamaan dengan dua setengah keping perak. Ini adalah rekod pertama menunjukkan nilai perak lebih rendah daripada emas.

Namun begitu, walaupun orang Mesir Purba merasa tertarik dengan kecantikan dan keunikan emas, ia masih tidak digunakan sebagai alat dalam sistem barter mereka. Emas kekal sebagai barang hiasan dan barang kemas yang menandakan kekayaan orang-orang Mesir Purba.

Penggunaan emas sebagai matawang berlaku pada 700 BC, hampir 2500 tahun kemudian, apabila wang syiling dicipta daripada emas. Ketika itu, 63% emas dan 27% perak digabungkan, dan kombinasi itu dinamakan ‘electrum’. ‘Electrum’ ini digunakan oleh saudagar dari kerajaan Lydia di Laut Mediterranean. Penggunaan emas oleh Lydia telah menjadikan kerajaan itu antara yang terkaya pada zaman pemerintahan Croesus of Mermnadae, raja terakhir kerajaan Lydia. Dan sehingga kini dalam budaya Barat, golongan yang sangat kaya digelar ‘kaya seperti Croesus’.

Bayangkan, 2500 tahun sebelum emas mula digunakan sebagai medium pertukaran walaupun emas sudah lama wujud. Antara faktor utama ia mengambil masa yang lama adalah penerimaan penduduk zaman itu yang sudah biasa dengan sistem barter. Seperti dalam video, penjual adalah antara yang paling sukar untuk menerima medium baru untuk barangan yang dijual. Ini adalah kerana ia boleh menjadi satu liabiliti buat mereka, terutama jika hanya mereka yang menerimanya sebagai pembayaran. Bagi pemilik emas pula, mereka lebih suka untuk menyimpan emas daripada menggunakannya kerana mereka menganggap nilainya akan meningkat.

Nampak tak perbandingan selari antara emas zaman dahulu dan Bitcoin zaman ini? Boleh dikatakan penerimaan terhadap Bitcoin lebih cepat kerana generasi zaman ini berfikiran lebih terbuka dan keyakinan yang semakin berkurang terhadap kuasa kerajaan. Tetapi sesuatu yang penting untuk dipertimbangkan adalah permulaan emas sebagai matawang disebabkan pemerintah zaman itu yang memerintahkan penggunaannya. Apabila keluar satu standard untuk emas dan perak seperti di Amerika Syarikat yang menetapkan harga kedua-duanya, barulah emas mula digunakan sebagai matawang di negara itu.

Default – Inside Post Ads

Satu lagi persamaan emas fizikal dan Bitcoin adalah pergerakan harga kedua-duanya adalah disebabkan permintaan, dan tidak dipengaruhi oleh polisi kewangan kerajaan. Jadi, persoalannya di sini adakah perkara yang sama perlu dilakukan untuk objektif asal Bitcoin untuk menjadi medium pembayaran dipenuhi? Tetapi sistem Bitcoin lebih kompleks daripada emas kerana emas boleh dikuasai satu pihak, namun Bitcoin dikuasai oleh semua dalam rangkaian.

Baru-baru ini ramai individu popular dalam dunia matawang kripto yang menyatakan bahawa Bitcoin bakal menggantikan emas, atau ianya adalah Emas 2.0. Antaranya adalah kembar Winklevoss yang memiliki bursa pertukaran kripto besar Gemini, Mike Novogratz iaitu CEO firma pelaburan Galaxy Digital, Grayscale Investments dan ramai lagi. Mengapa mereka begitu percaya Bitcoin mampu menggantikan emas?

Menurut Mike Novogratz, Bitcoin mampu menggantikan emas sebagai tempat penyimpanan nilai, walaupun dia berkata ianya akan mengambil masa yang lama. Tetapi hari ini kita sudah melihat ramai pemegang Bitcoin menyimpannya kerana mereka yakin nilai Bitcoin akan meningkat. Begitu juga dengan kembar Winklevoss dan Grayscale Investments yang mengeluarkan iklan untuk menggantikan pelaburan emas dengan Bitcoin.

Firma pelaburan itu juga mengeluarkan carta di bawah untuk membuat perbandingan antara Bitcoin dan emas, menunjukkan Bitcoin lebih banyak kelebihan daripada emas.

Ini menunjukkan Bitcoin memang sudah sampai ke dunia mainstream. Walaupun begitu, masih ramai lagi yang skeptik dengan potensi Bitcoin memandangkan pasaran matawang kripto masih belum stabil sepenuhnya. Buat masa ini, pasaran matawang kripto masih dipenuhi dengan pelabur yang ingin mengaut untung daripada naik turu harga matawang kripto yang dramatik, dan seperti komen ramai skeptik, potensi Bitcoin untuk menggantikan emas mungkin mengambil masa yang sangat sangat lama.

Bitcoin mungkin dicipta untuk menjadi medium pembayaran, tetapi melihat kepada apa yang sedang berlaku kini, Bitcoin masih lagi di tahap emas sebelum penggunaannya sebagai matawang. Ia sudah dibuktikan sebagai tempat penyimpanan nilai yang baik, dengan syarat pelabur sanggup mengambil risiko harga Bitcoin yang tidak stabil. Selagi pasaran matawang kripto tidak stabil, mungkin Bitcoin memerlukan berpuluh tahun lagi sebelum menjadi matawang.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.