Pertempuran antara BTC dan BCH – BTG pun Ingin Mencelah?
9 November yang lalu, komuniti Bitcoin digegarkan dengan berita penangguhan (atau pembatalan) hard fork Segwit2x yang telah direncana sejak awal tahun ini lagi. Hard fork itu yang pada awalnya disokong majoriti dalam komuniti akhirnya ditangguhkan oleh penganjur Segwit2x kerana tidak mencapai konsensus yang diperlukan.
Buat yang masih lagi baru dengan isu ini, SegWit2x adalah cadangan untuk menambah baik rangkaian Bitcoin yang telah dipersetujui dalam mesyuarat antara golongan developers, miners dan pengguna. Seawal bulan September yang lalu, SegWit2x dianggap sebagai penyelesaian kepada isu scalability yang sedang dihadapi Bitcoin.
Segwit2x sebenarnya adalah kompromi kepada cadangan sebelumnya, iaitu SegWit, yang telah memecah belah komuniti Bitcoin kepada dua puak dengan ideologi berbeza. Satu puak ingin menambah saiz blok Bitcoin daripada 1MB kepada 2MB dan satu lagi puak ingin menyelesaikan masalah kesesakan dalam rangkaian Bitcoin dengan cara menggunakan rangkaian kedua untuk mengetepikan maklumat dalam blok Bitcoin, menjadikan saiz setiap transaksi lebih kecil.
Hasil daripada perbalahan ini, cadangan SegWit2x diutarakan untuk memuaskan hati kedua-dua puak. Namun begitu, terdapat juga mereka yang menentang SegWit2x, dan pada 1 Ogos yang lalu, Bitcoin Cash telah dicipta melalui hard fork rangkaian Bitcoin.