Default – Above Header Ads

Sejarah Harga Bitcoin Dulu Hingga Kini

Hampir 10 tahun sudah berlalu sejak Bitcoin yang pada awalnya hanya suatu idea di atas kertas dan kod di dalam komputer, menjadi matawang yang diguna pakai orang ramai. Bitcoin pada asalnya hanya bernilai kurang daripada USD$0.01 (2010) dan transaksi Bitcoin dianggap sebagai hobi peminat kriptografi. Bitcoin bernilai hampir USD$4,000 (Sept 2017) pada waktu penulisan dan kini hampir USD$9,000, xdan nilainya lebih 13 kali ganda daripada Ether, matawang kripto kedua terbesar selepas Bitcoin.

Wahai para pembaca sekalian, adakah anda seorang yang minat sejarah? Dalam post ini penulis akan bercerita tentang sejarah harga Bitcoin daripada awal penciptaannya sehingga kini.

Oktober 31, 2008 – USD$0.00

Whitepaper yang ditulis oleh Satoshi Nakamoto (masih tidak diketahui identiti sebenar sehingga kini) tentang suatu matawang elektronik yang boleh dihantar antara dua pihak secara langsung (peer-to-peer) tanpa pihak ketiga telah dikeluarkan.

Januari 3, 2009 – USD$0.00

Blok Genesis pertama dikenal pasti apabila transaksi pertama Bitcoin dibuat, dan ini telah memulakan rangkaian blok yang dinamakan Blockchain. Blok tersebut juga mempunyai input data rujukan kepada berita utama pada hari itu:

The Times 03/Jan/2009 Chancellor on brink of second bailout for banks.

Berita di atas adalah susulan krisis kewangan yang melibatkan hampir seluruh dunia pada tahun 2007-8, bermula dari kejatuhan pasaran perumahan di Amerika Syarikat dan menjadi semakin teruk dengan kejatuhan bank pelaburan besar Lehman Brothers.

Enam hari selepas blok Genesis itu, Satoshi Nakamoto telah mengeluarkan program dan juga kod berkaitan Bitcoin.

Oktober 5, 2009 – USD$0.0007-77 ↑

New Liberty Standard, seorang pengguna BitcoinTalk telah mengeluarkan jadual pertukaran Bitcoin dengan USD, dan nilai pertukaran pertama adalah USD$1 = 1,309.03 BTC di mana nilai USD dikekalkan sebagai 1. Kaedah pengiraan yang digunakan adalah membahagikan USD$1 dengan purata penggunaan elektrik untuk menjalankan komputer dengan CPU yang tinggi selama setahun (1331.5 kWh) didarab dengan purata kos elektrik di Amerika Syarikat pada tahun sebelumnya (USD$0.1136 per kWh). Jumlah ini kemudian dibahagikan dengan 12 untuk mendapatkan purata kos setiap bulan, dan akhirnya didarab dengan jumlah Bitcoin yang dijana melalui aktiviti mining selama 30 hari.

Anggaran harga 1 BTC pada waktu itu bersamaan lebih kurang USD$0.0007.

Oktober 15, 2009 – USD$0.0099 ↑   

New Liberty Standard membeli 5,050 BTC daripada Marrti Malmi atau lebih dikenali sebagai Sirius, pengasas Bitcoin Forum pada harga USD$5.02. Bayaran untuk transaksi tersebut dibuat melalui PayPal.

Februari 6, 2010 – USD$0.0067 ↑

Platform pertukaran Bitcoin pertama, Bitcoin Market ditubuhkan oleh dwdollar, seorang pengguna BitcoinTalk. Platform tersebut mula beroperasi pada 17 Mac 2010 dan dwdollar meletakkan harga pertukaran awal 500 Bitcoins pada kadar USD$.0067/BTC.

Mei 22, 2010 – USD$0.0025 ↑

Adakah anda tahu transaksi dunia sebenar Bitcoin adalah untuk membeli dua pizza di Florida untuk 10,000 BTC? Pada Mei 2010, bulan seorang pengguna BitcoinTalk telah menawarkan jumlah Bitcoin tersebut kepada sesiapa sahaja yang membelikannya pizza. Walaupun transaksi itu bukanlah secara langsung antara pembeli dan penjual, ia berjaya membuktikan Bitcoin mempunyai nilai dalam dunia sebenar.

Ia juga meletakkan harga yang jelas dan nyata untuk Bitcoin diambil dari harga 2 pizza tersebut (lebih kurang USD$25 pada waktu itu), menjadikan harga Bitcoin lebih kurang USD$0.0025.

Julai 7, 2010 – USD$0.08 ↑

Bitcoin versi 0.3 dikeluarkan dan diumumkan di slashdot.org pada 11 Julai, 2010. Slashdot.org adalah laman web terkenal yang menyajikan berita tentang perkembangan teknologi, dan pembacanya terdiri daripada orang ramai yang peka teknologi. Peminat Bitcoin bertambah dan permintaan orang ramai menyebabkan harga Bitcoin naik 10 kali ganda dalam masa 5 hari daripada USD$0.008 ke USD$0.08.

Julai 17, 2010 – USD$0.07 ↑

Platform pertukaran Mt. Gox ditubuhkan oleh Jed McCaleb, seorang programmer yang terkenal dengan program peer-to-peer, eDonkey. Pada waktu itu nilai 1 BTC bersamaan USD$0.07. Jed McCaleb menjual domain mtgox.com kepada seorang developer berbangsa Perancis, Mark Karpelès, yang menetap di Jepun ketika itu.

Selama beberapa tahun, Mt. Gox merupakan platform pertukaran terbesar dalam dunia Bitcoin. Mt. Gox akhirnya ditutup pada Februari 2014 akibat kehilangan 850,000 BTC pengguna bernilai lebih USD$450 juta ketika itu.

September 18, 2010 – USD$0.06-65 ↑

Di bawah perlesenan MIT, puddinpop (pengguna BitcoinTalk) mengeluarkan klien CUDA untuk mining Bitcoin yang menggunakan sistem Windows. Kod klien itu disumbangkan oleh jgarzik (pengguna BitcoinTalk), di bawah Bitcoin Store, pertukaran sebanyak 10,000 BTC pada harga USD$0.06-0.065 ketika itu.

November 10, 2010 – USD$0.50 ↑

Jumlah pasaran Bitcoin mencecah USD$1 juta. Jumlah ini dikira dengan mendarab jumlah Bitcoin yang diedarkan dengan jumlah pertukaran Bitcoin di Mt. Gox. Harga Bitcoin ketika itu telah mencecah USD$0.50 untuk 1 BTC.

February 9, 2011 – USD$1.00 ↑

Selepas hanya dua tahun di pasaran, nilai Bitcoin akhirnya mencapai persamaan dengan USD$1 di Mt. Gox. Berita tentang Bitcoin mula tersebar di Slashdot, Hacker News, Twitter dan juga media sosial lain, trafik yang meningkat secara mendadak di laman web Bitcoin.org menyebabkan ianya ditutup buat sementara waktu.

Mac 27, 2011 – USD$0.83 ↓

Pada 27 Mac 2011, Britcoin melancarkan platform pertukaran pertama untuk jual beli Bitcoin menggunakan British Pound Sterling (GBP). Beberapa hari kemudian, pada 31 Mac, Bitcoin Brazil membuka pekhidmatan pertukaran secara bersemuka Bitcoin kepada Brazilian Reals (BRL) dan U.S. Dollars. Pada 5 April pula, BitMarket.eu mula menawarkan perkhidmatan menukar Bitcoin kepada Euros (EUR) dan juga beberapa matawang lain.

Harga Bitcoin pada waktu itu adalah USD$0.83.

June 2, 2011 – USD$10.00 ↑

Harga Bitcoin mencapai USD$10 di Mt. Gox. Pada hari sebelumnya, suatu artikel telah dikeluarkan yang bertajuk, “The Underground Website Where You Can Buy Any Drug Imaginable”, memaparkan kisah tentang SilkRoad, laman web untuk membeli dadah menggunakan Bitcoin yang dibuka pada Januari 2011.

Artikel itu juga meletakkan link ke Mt. Gox yang menyebabkan permintaan meningkat. Seminggu selepas artikel itu dikeluarkan, harga Bitcoin mencecah USD$31 sebelum jatuh ke USD$10, hanya selepas 4 hari. Peristiwa ini dinamakan “Great Bubble of 2011”.

June 13, 2011 – USD$15.00 ↑

Seorang pengguna Bitcoin Forum, allinvain, mendakwa kehilangan lebih 25,000 BTC daripada walletnya. Harga 1 BTC ketika itu adalah USD$15.

June 19, 2011 – USD$17.51 > USD$0.01 ↓

Mt. Gox menghadapi serangan siber yang sangat teruk menyebabkan penipuan dalam jual beli Bitcoin berlaku. Sebanyak 4,019 BTC berjaya dicuri daripada 600 wallet dan maklumat peribadi pengguna seperti kata kunci dan alamat emel juga dicuri dalam kejadian tersebut.

Akaun admin Mt. Gox digodam dan melaluinya beribu-ribu pesanan untuk menjual ratusan ribu Bitcoin telah dikeluarkan, menyebabkan harga Bitcoin jatuh dari USD$17.51 ke USD$0.01. Susulan daripada itu, platform pertukaran Tradehill dan Britcoin juga telah memberhentikan operasi buat sementara waktu untuk pemeriksaan keselamatan.

Februari 22, 2013 – USD$31.91 ↑

Buat kali pertama sejak 2011, nilai Bitcoin mencecah USD$30. Seminggu selepas itu, nilai Bitcoin di Mt. Gox mengatasi harga tertinggi pada June 2011, iaitu USD$31.91.

Mac 21, 2013 – USD$74.90 ↑

Harga Bitcoin melompat lebih 70 peratus ke USD$74.90. Dan seminggu selepas itu, jumlah pasaran Bitcoin mencecah USD$1 bilion.

Sumber: https://www.dailydot.com/business/bitcoin-value-spike-bubble-cyrpus-spain/

April, 2013 – USD$266 USD$105 ↓

Harga Bitcoin mencecah USD$266 pada 10 April 2013, sebelum jatuh lebih USD$160 ke USD$105 sepuluh hari kemudian, apabila Bitcoin Central digodam.

Oktober 2, 2013 – USD$109.71 USD$128 ↑

Penutupan Mt. Gox menyebabkan harga Bitcoin jatuh dari USD$139 ke USD$109.71 dalam masa 3 jam sahaja, sebelum harga Bitcoin pulih ke USD$128.

Sumber: https://www.wired.com/2013/10/bitcoin-market-drops-600-million-on-silk-road-bust/

November 17, 2013 – USD$503.10 >> USD$1,242 ↑

Harga Bitcoin meningkat dua kali ganda di Mt. Gox, mencapai USD$503.10. Dan selepas persidangan senat di Amerika Syarikat membincangkan Silk Road dan cabaran serta pengawalan matawang digital pada 18 November 2013, harga Bitcoin melompat dua kali ganda lagi mencecah USD$1,242.

Disember 5, 2013 – USD$839.93 USD$458.54 ↓

Larangan kerajaan China terhadap institusi kewangan daripada menguruskan transaksi Bitcoin menyebabkan harga Bitcoin jatuh lebih 20 peratus menjadi USD$839.93. Menjelang pertengahan Disember 2013, harga Bitcoin terjejas teruk dan jatuh bawah daripada USD$500.

April 10, 2014 – USD$381.88 ↓

Sekatan dan tekanan daripada People’s Bank of China menyebabkan banyak bank mengeluarkan tarikh akhir kepada platform pertukaran di negara itu, menggesa mereka menutup operasi sebelum 15 April 2013. Berikutan itu, harga Bitcoin semakin menurun, mencerminkan jumlah perdagangan Bitcoin yang semakin berkurangan, sehingga ia jatuh ke USD$381.88.

Selama beberapa bulan selepas itu sehingga harga Bitcoin tiba-tiba melonjak pada tahun 2017, harga Bitcoin naik secara perlahan-lahan dan harganya agak stabil dalam lingkungan USD$500-800.

Januari 2, 2017 – USD$1,018.20 ↑

Akhirnya Bitcoin berjaya mencecah USD$1,000 buat pertama kali dalam 3 tahun. Berita tentang harga Bitcoin itu mula tersebar secara meluas, menarik lebih banyak pelabur ke dalam dunia Bitcoin.

Sumber: coinmarketcap.com

April 1, 2017 – USD$2,101.35 

Berita tentang kerajaan Jepun mengiktiraf Bitcoin sebagai kaedah pembayaran yang sah di negara itu menyebabkan permintaan Bitcoin di Jepun meningkat. Harga Bitcoin naik dan mencecah lebih USD$2,000 pada 21 Mei 2017, mencapai rekod baru dalam harga Bitcoin.

Sumber: coinmarketcap.com

Julai 16, 2017 – USD$1,897.17 ↓

Pertikaian dalam komuniti Bitcoin tentang isu scalability yang sudah berlarutan selama bertahun-tahun akhirnya hampir kepada penghujungnya. Berikutan berita tentang perpisahan atau hard fork Bitcoin yang akan dilaksanakan pada 1 Ogos 2017, pasaran Bitcoin dan juga matawang kripto terjejas dan harga Bitcoin jatuh ke USD$1,897.17 pada 16 Julai 2017.

Namun begitu, menjelang 1 Ogos 2017, harga Bitcoin pulih dan naik semula lebih USD$2,000.

September 1, 2017 – USD$5,013.91 ↑

Harga Bitcoin mencecah rekod USD$5,000! Dalam masa beberapa jam perdagangan, harga Bitcoin jatuh ke $4,887.36, menurut laman web CoinDesk.

Sumber: coindesk.com

September 15, 2017 – USD$3,945.00 

Peristiwa besar yang berlaku baru-baru ini adalah sekatan kerajaan China terhadap aktiviti Initial Coin Offering (ICO) di negara itu. Pada masa yang sama, kerajaan China juga mula menjalankan siasatan ke atas lebih 60 platform pertukaran di negara itu. Peristiwa ini telah menyebabkan harga Bitcoin jatuh daripada setinggi USD$5,000 ke hampir USD$3,000. Sehingga hari ini harga Bitcoin masih lagi di bawah USD$4,000, tetapi melihat kepada kadar kenaikan dan analisa graf Bitcoin, kita boleh meramalkan harga Bitcoin naik kembali secara organik jika tiada peristiwa besar berlaku di masa terdekat ini.

Oktober, 2017 – ± USD$5,500.00 

Harga Bitcoin kian pulih selepas berita larangan kerajaan China. Pada 24 Oktober 2017, satu lagi fork berlaku selepas Bitcoin Cash, iaitu Bitcoin Gold pada blok ke-491407. Tujuan fork Bitcoin Gold adalah untuk membuka peluang untuk mining menggunakan GPU, memandangkan mining Bitcoin kini memerlukan cip ASIC yang berharga beribu-ribu dollar. Harga Bitcoin jatuh sedikit sebelum pulih dan naik secara organik sehingga pertengahan November.

November 8, 2017 – USD$7,480.91 > USD$5,836.41 

Pengumuman tentang pembatalan atau penangguhan fork Segwit2X. Beberapa hari selepas itu, harga Bitcoin jatuh ke paras bawah USD$6,000, buat pertama kali selepas kenaikannya beberapa minggu yang lalu. Bitcoin kembali naik secara organik pada bulan November sehingga December 2017.

Disember 17, 2017 – USD$19,978.60 ↑

Harga tertinggi Bitcoin direkodkan di coinmarketcap.com, sebelum ia jatuh semula. Harga Bitcoin naik berikutan pengumuman syarikat pelaburan besar CBOE melancarkan Bitcoin Futures Contract di pasaran kewangan. Beberapa hari selepas itu, pasaran Bitcoin dan matawang kripto melalui pembetulan yang menyebabkan kehilangan hampir 20 peratus untuk setiap matawang kripto, sehingga harga Bitcoin mulai naik hingga ke USD$17,712.40 pada awal Januari.

Februari 2, 2018 – USD$8,646.19 ↓

Bitcoin telah kehilangan hampir 50 peratus daripada nilainya sejak awal Januari yang lalu. Begitu juga dengan matawang kripto yang lain. Pembetulan pasaran kali ini dilihat lebih teruk daripada pembetulan pada Disember yang lalu. Pelbagai perisitiwa yang berlaku yang menyumbang kepada kejatuhan yang berlaruatan ini.

Antaranya adalah tindakan kerajaan Korea Selatan memberhentikan operasi platform pertukaran negara itu, diikuti dengan kerajaan India, kes kecurian di platform pertukaran Coincheck dari Jepun (yang meyebabkan kehilangan lebih USD$500 juta) dan baru-baru ini penyiasatan penguatkuasa Amerika Syarikat (CFTC) ke atas matawang kripto Tether yang didakwa tidak mempunyai rizab US Dollar untuk setiap token Tether.

Dan seperti biasa, sentimen negatif ini menyebabkan ramai pemilik matawang kripto mula menjual simpanan mereka dalam keadaan panik kerana takut harga matawang kripto tidak akan pulih. Ia adalah contoh terbaik self-fulfilling prophecy.

Mac 9, 2018 – USD$8,801.62 ↓

Harga Bitcoin jatuh hampir USD$2,000 daripada hampir USD$11,700. Antara faktor utama kejatuhan harga Bitcoin adalah kerana penguatkuasaan yang semakin ketat terhadap matawang kripto. Minggu sebelumnya, kerajaan Jepun mengumumkan bahawa dua platform pertukaran matawang kripto telah digantung lesen. Pada masa yang sama, SEC (Securities and Exchange Commission) Amerika Syarikat telah mengarahkan semua platform pertukaran matawang kripto yang beroperasi di negara itu untuk mendaftar dengan SEC.

April 12, 2018 – USD$8,158.02 ↑

Sekitar minggu 12 April 2018, satu kertas kajian yang menunjukkan bahawa Bitcoin mematuhi peraturan Shariah telah dikeluarkan dan diterbitkan dalam beberapa media online. Sejurus itu, harga Bitcoin dilihat naik daripada bawah USD$7,000 ke lebih USD$8,000. Pada masa yang sama, berita tentang George Soros yang ingin mula berdagang dalam matawang kripto juga sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga Bitcoin.

May 9, 2018 – USD$9,935.95 ↑

Harga Bitcoin mencecah hampir USD$10,000. Ianya merupakan harga tertinggi yang pernah dicapai Bitcoin selepas ia mencapai harga tertinggi sepanjang masa, USD$19,000 pada bulan Disember 2017. Bulan April 2018 pula dikatakan adalah bulan terbaik untuk tahun 2018 dalam kenaikan harga Bitcoin apabila ia naik lebih 33 peratus daripada serendah USD$6,926.02.

Jun 23, 2018 – USD$6,006.60 ↓

Harga Bitcoin jatuh kembali dari setinggi USD$7,600 dan kehilangan hampir USD$2,000 daripada nilainya. Pada 20 Jun 2018, berita tentang penggodama platform pertukaran matawang kripto Korea Selatan, Bitthumb, yang menyebabkan kehilangan lebih USD$31 juta telah menyebabkan kejatuhan harga pasaran matawang kripto. Dua minggu sebelumnya, satu lagi platform pertukaran matawang kripto, Coinrail telah digodam dan dilaporkan matawang kripto bernilai USD$40 juta telah dicuri. Bitthumb telah mengumumkan bahawa ia akan membayar kembali penggunanya melalui simpanan mereka sendiri.

July 25, 2018 – USD$8,351.48 ↑

Sokongan daripada CEO baru Goldman Sachs, David Solomon yang bakal menggantikan Lloyd Blankfein pada bulan Oktober 2018 telah melonjakkan harga Bitcoin. Pada masa yang sama firma pengurusan hegde fund gergasi BlackRoad yang dilaporkan sudah menggerakkan taskforce untuk menyelidik Bitcoin dan Blockchain telah menambah keyakinan pelabur-pelabur besar yang ingin melihat hedge fund lain masuk ke dalam pelaburan kripto.

Nov 15, 2018 – USD$5,620.01↓

Harga Bitcoin jatuh secara mendadak dalam masa satu hari, dari USD$6345 ke USD$5620, diikuti matawang kripto lain dan dalam masa dua minggu pasaran modal matawang kripto kehilangan lebih USD$100 bilion. Kejatuhan Bitcoin hingga ke paras hampir USD$3,000 adalah kejatuhan paling teruk sejak September 2017.

Ramai yang menjangka harga Bitcoin akan jatuh sehingga bawah USD$3,000, dan walaupun harga Bitcoin naik kembali secara perlahan setelah jatuh ke USD$3,500, kita masih lagi dalam keadaan bearish market dan kejatuhan harga Bitcoin dan matawang kripto lain di pasaran masih lagi dalam jangkaan.

Dec 16, 2018 – USD$3,274.12↓

Dalam masa sebulan sahaja, Bitcoin kehilangan hampir 40% daripada nilainya. Malah, ia memecah rekod terendah untuk tahun 2018 di paras $3,200. Ramai menjangka pembetulan kepada harga Bitcoin sehingga ke paras sokongan di USD$5,300 tetapi nampaknya pasaran kripto menunjukkan ciri volatility seperti biasa, ditambah lagi dengan sentimen pedagang menyebabkan kejatuhan harga Bitcoin yang besar.

April 4, 2019 – USD$5,289.92 ↑

Harga Bitcoin mencecah rekod tertinggi dalam masa lima bulan. Ia adalah harga tertinggi untuk tahun 2019 selepas beberapa bulan terapung di paras USD$3,400-USD$4,000. Ada spekulasi dan artikel daripada Reuters mengatakan bahawa permintaan pembelian sebanyak 20,000 BTC bernilai lebih kurang USD$100 juta di tiga bursa pertukaran, Coinbase, Kraken dan Bitstamp yang telah menyebabkan kenaikan mendadak dari paras USD$4,000 hingga USD$5,000 dalam masa 50 minit.

Sumber: data.bitcoinity

May 14, 2019 – USD$8,083.05 ↑

Jun 27, 2019 – USD$13,793.51 ↑

Harga Bitcoin meningkat melebihi $13,000, pencapaian tertinggi dalam 18 bulan. Kenaikan ini dikatakan dipengaruhi oleh minat dari pemain institusi yang semakin meningkat dari hari ke hari ditambah lagi dengan pengumuman oleh Facebook tentang matawang kriptonya, Libra, yang membawa industri kripto ke mainstream.

Berita-berita yang mengandungi kenyataan positif dari ahli politik, pihak kerajaan dan tokoh-tokoh kewangan juga telah menyumbang kepada kenaikan yang menakjubkan ini. Sehinggakan banyak penganalisa yang berpendapat musim bearish telah berakhir dan bull run telah bermula.

Sep 30, 2019 – USD$7,876.92↓

Malangnya, trend positif matawang kripto tidak bertahan lama. Bitcoin bergelut untuk mengekalkan harga di atas tahap rintangan $8,000 tetapi akhirnya jatuh dengan mendadak pada bulan September. Harga Bitcoin pada 30 September 2019 adalah yang terendah sejak kenaikan pada bulan Jun yang lalu. Analisa menunjukkan tahap rintangan seterusnya adalah dalam lingkungan $6,000-$7,500.

Okt 26, 2019 – USD$9,728.11 ↑

Berita baik untuk peminat kripto. Bitcoin melepasi tahap sokongan di $9,000 untuk mencecah hampir $10,000. Bitcoin berjaya mendapatkan kembali hampir 7% daripada nilainya sejak penurunan dalam bulan September.

Nov 25, 2019 – USD$6,679.90↓

Kali ini nampaknya ramalan kebanyakkan peminat kripto bahawa harga Bitcoin akan meningkat semakin kita mendekati peristiwa “halving” kelihatan semakin sukar untuk dicapai. Harga Bitcoin telah jatuh dan berterusan jatuh sejak kenaikan mencecah hampir $10,000 pada bulan Oktober lalu.

Kejatuhan kali ini melihat Bitcoin kehilangan lebih 40% daripada nilainya pada bulan September. Namun begitu, beberapa penganalisa berpendapat trend Bitcoin masih belum bearish memandangkan tahap rintangan seterusnya adalah $6,300. Persoalannya adalah sama ada harga Bitcoin mampu naik kembali ke atas paras $7,000 sebelum atau selepas penurunan seterusnya.

 

Jan 19, 2020 – USD$9,154.75 ↑

Harga Bitcoin meningkat sebanyak 29% pada bulan Januari 2020, menjadikan bulan itu bulan terbaik dalam peningkatan harga Bitcoin berbanding bulan yang sama dalam tahun-tahun lain sejak tahun 2013. Menurut beberapa penganalisa trend kripto popular, musim bullish Bitcoin telah bermula pada tahun 2020.

Travis Kling daripada firma pengurusan aset kripto Ikigai mengeluarkan kenyataan di tweet beliau bahawa Bitcoin akan meningkat secara signifikan pada bulan Mei 2020, secara kebetulan sewaktu peristiwa halving Bitcoin yang akan datang.

Selain itu juga, kesan daripada dunia yang berdepan dengan epidemik coronavirus juga menyebabkan peningkatan dalam pembelian matawang kripto menurut beberapa penganalisa. Ini adalah kerana Bitcoin dianggap sebagai “safe-haven asset” memandangkan pasaran ekuiti global dilihat terkesan secara negatif.

Feb 09, 2020 – USD$10,056.60 ↑

Bitcoin berjaya mencecah USD $10,000 sejak kejatuhan dalam pasaran matawang kripto yang bermula daripada bulan September 2019. Antara faktor kenaikan harga Bitcoin adalah sentimen makroekonomi negatif yang berpanjangan.

Namun begitu, ramai penganalisa memberi amaran tentang ramalan kejatuhan dalam pasaran kripto yang tidak disangka.

Jika kita lihat gambar rajah di atas, pergerakan Bitcoin baru-baru ini mencerminkan keadaannya yang bearish pada tahun 2018. Adakah trend kali ini akan mengulangi sejarah lalu?

Mac 17, 2020 – USD$4,944.70

Seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19 yang menyebabkan banyak negara ditutup dan kes positif kian meningkat setiap hari. Bitcoin juga tidak lari daripada kesan pandemik ini.

Hampir $63 bilion hilang dari keseluruhan pasaran kripto dan keseluruhan modal pasaran kripto jatuh dari $223 bilion ke $161 bilion. Bitcoin pula jatuh dari harga lebih $10,000 bulan sebelumnya ke bawah $5,000 dan ia kehilangan 39 peratus daripada nilainya dalam masa hanya 24 jam sahaja.

Jun 02, 2020 – USD$10,268.58 ↑

Dalam bulan-bulan seterusnya, Bitcoin secara perlahan mulai naik kembali dan berjaya mencecah lebih $10,000 pada awal bulan Jun. Beberapa penganalisa berpendapat Bitcoin menjadi aset ‘safe haven’ memandangkan banyak nilai matawang negara seluruh dunia jatuh teruk disebabkan wabak COVID-19.

Dengan momentum Bitcoin yang semakin meningkat setiap hari, tidak mustahil ia akan melepasi paras rintangan seterusnya pada $12,000.

Ogos 02, 2020 – USD$12,123.46 ↑

Dan akhirnya Bitcoin berjaya melepasi $12,000. Tetapi hanya untuk seketika sahaja. Beberapa minit selepas ia mencecah lebih $12,000, harga Bitcoin menjunam jatuh ke $10,500 sebelum ia naik kembali ke paras $11,000. Adakah Bitcoin akan dapat meneruskan momentumnya untuk melepasi $12,000 dan kekal di atas paras rintangan itu?

November 24, 2020 – USD$19,484.21 ↑

Dalam masa tiga bulan sahaja, Bitcoin telah menambah nilai lebih $7,000. $7000! Dan kini ia semakin menghampiri nilai all time high, iaitu $19,978.60. Sikit je lagi. Dan memandangkan harga tertinggi yang dicapai oleh Bitcoin adalah pada tarikh 17 Disember 2017, adakah sejarah bakal berulang lagi? Penantian ini tentulah penantian yang amat mendebarkan.

Sama ada harga Bitcoin akan terus naik selepas ia mencecah ATH ataupun ia akan jatuh bergolek seperti apa yang berlaku dua tahun yang lalu. Adakah anda masih lagi HODL Bitcoin anda? Atau anda sudahpun menjualnya dan sedang menikmati keuntungan anda kini?

(Kemaskini 26/11/2020: Harga Bitcoin jatuh lebih $1,500 semasa penulisan. Ia kini berada di paras $17,900. Adakah ia akan berterusan jatuh atau kembali naik?)


Jika anda berminat untuk membaca tentang sejarah Bitcoin dengan lebih terperinci, anda boleh membacanya di laman web yang penulis gunakan sebagai rujukan di bawah:

  1. https://99bitcoins.com/price-chart-history/
  2. http://historyofbitcoin.org/
  3. https://en.wikipedia.org/wiki/History_of_bitcoin
  4. https://en.wikipedia.org/wiki/Mt._Gox

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads