Taproot: Inovasi yang Bakal Mengubah Masa Depan Bitcoin?
Antara kelemahan besar yang terdapat pada transaksi yang melibatkan Bitcoin adalah sesiapa sahaja boleh menjejak dan menyelidik transaksi tersebut hanya menggunakan web explorer. Isu ini disebabkan oleh kelamahan pada sistem skrip Bitcoin yang menggunakan pay to script hash (P2SH).
Bitcoin sebenarnya mempunyai keupayaan untuk menjadi sebuah kontrak pintar, meskipun tidaklah secanggih atau efisien seperti Ethereum. Dalam Bitcoin, sistem skripnya boleh digunakan untuk menyifatkan beberapa keadaan spesifik yang membolehkan sesuatu transaksi berjalan, seperti transaksi multi-signature. Malah, transaksi Bitcoin boleh diprogramkan untuk menerima beberapa jenis keadaan pencetus, dengan hanya salah satu daripadanya diperlukan untuk melaksanakan sesesuatu transaksi itu. Dengan P2SH, semua maklumat tentang sesuatu transaksi dapat dilihat oleh sesiapa sahaja dan ini menjejaskan privasi yang ditawarkan Bitcoin.
Solusi kepada masalah ini telah dicadangkan oleh Gregory Maxwell – seorang pembangun Bitcoin terkenal dan bekas CTO Blockstream – pada Januari 2018 dengan kod yang dinamakan sebagai Taproot. Kod ini akan menjadikan setiap transaksi Bitcoin tampak sama sahaja pada orang luar.
Namun ideanya ini seakan-akan semakin menghilang apabila komuniti Bitcoin lebih berminat dengan projek-projek lain serta harga Bitcoin yang merudum ketika itu. Meskipun begitu, cakap-cakap tentang Taproot masih kedengaran dalam kalangan pembangun Bitcoin. Seorang ahli matematik dan pembangun Bitcoin, Andrew Poelstra, berjaya menghasilkan mathematical security proof pada April 2018 bagi menyokong idea Taproot manakala Anthony Towns, jurutera Xapo dan penyumbang Bitcoin Core, pada Julai 2018 telah mengutarakan idea yang menjadikan Taproot semakin menarik untuk digunapakai secara menyeluruh.
Akhirnya pada Mei 2019, kod Taproot telah dikongsi dan didedahkan kepada umum untuk diteliti dan dipertimbangkan. Taproot adalah Bitcoin Improvement Proposals (BIP) terpenting setakat ini yang pernah dicadangkan melihatkan kepada keupayaanya dalam mengubah Bitcoin lantas menjadikan Bitcoin sebagai game changer.
Sekiranya Taproot berjaya dilaksanakan, ia merupakan suatu kemenangan besar buat Bitcoin, yang akan meningkatkan aspek privasinya di samping meningkatkan kapasitinya untuk berfungsi seperti kontrak pintar. Ia juga akan meningkatkan kepantasan transaksi dan mengurangkan fi transaksi. Taproot ialah suatu inovasi yang akan menjadikan Bitcoin sebagai matawang kripto yang tiada tandingnya.