Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

4 Isu Utama Yang Masih Perlu Diatasi Blockchain Untuk Kegunaan Arus Perdana

Blockchain mungkin salah satu kata kunci terbesar dalam kewangan dan teknologi hari ini, teknologi lain seperti 5G, Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI), Virtual Reality (VR) dan berbagai lagi teknologi yang bakal menjadi pemangkin dunia masa hadapan.  Penulis percaya blockchain adalah teknologi yang akan merevolusikan perkhidmatan kewangan, berdasarkan keupayaannya yang dapat berfungsi tanpa memerlukan kuasa berpusat dan juga menyimpan data dengan berintegriti dan kalis penggodaman.

Penulis juga percaya ia akan memberi manfaat kepada pelbagai industri merentasi industri kewangan dan teknologi, terutamanya industri yang dihalang oleh jejak rekod kertas dan teknologi warisan yang sudah lapuk – sama ada penjagaan kesihatan, hartanah atau undang-undang. Namun, untuk mendapat keyakinan pihak-pihak lain yang masih tidak mempercayai potensi blockchain, penulis percaya bahawa masih terdapat 4 isu utama yang perlu diatasi oleh teknologi blockchain untuk betul-betul menerima penggunaannya dalam arus perdana.

Peningkatan Prestasi

Blockchain adalah mirip dengan lejar akaun, namun dengan kelebihannya ia mampu merekodkan urus niaga merentasi rangkaian yang luas dan terdesentralisasi, bermakna ia tidak memerlukan sebarang kuasa pusat untuk mengawasinya. Penyokong teknologi ini mengatakan itu adalah satu kelebihan yang sangat besar ketika datang untuk menjejaki transaksi kewangan dan data lain.

Namun menurut kajian Deloitte, blockchain masih mempunyai masalah besar. “Blockchain boleh menjadi perlahan,” kata penyelidik di firma perudingan Deloitte. “Berbeza dengan beberapa sistem pemprosesan transaksi warisan yang dapat memproses puluhan ribu transaksi sesaat, blockchain Bitcoin dapat mengendalikan hanya tiga hingga tujuh transaksi sesaat; angka yang sama untuk blockchain Ethereum adalah serendah 15 transaksi sesaat. ” Mereka menambah: “Kerana prestasinya yang agak lemah, ramai pemerhati tidak menganggap teknologi blockchain menjadi berdaya saing untuk aplikasi berskala besar.”

Walau bagaimanapun, penyelidik Deloitte berkata kerja sedang dilakukan untuk mencipta model yang lebih efisien yang dapat mempercepatkan kelajuan transaksi. Firma dalam industri blockchain seperti Hyperledger, Stellar dan Ripple menggunakan mekanisme konsensus baru yang bertujuan mempercepatkan proses ini. Model-model baru ini dipanggil sistem “Proof-of-Stake (PoS)”, di mana pelombong cryptocurrency dikehendaki mempunyai pegangan dalam aset digital untuk menyertai rangkaian. “Evolusi mekanisme consensus ini dapat meningkatkan kelajuan blockchain dengan ketara – berita baik untuk aplikasi dalam pembiayaan perdagangan, kebolehkesanan rantai bekalan, pajakan automotif, insurans laut, penjagaan kesihatan dan insurans,” menurut laporan Deloitte.

Kebolehoperasian (Interoperability)
Default – Inside Post Ads

Dengan peningkatan jumlah peserta dalam industri yang semakin berkembang seperti blockchain, kini wujud kerisauan dengan rangkaian yang begitu banyak, yang mana masih tiada standard yang ada untuk membolehkan mereka berinteraksi antara satu sama lain.

Standard atau piawaian ini adalah apa yang dipanggil industry sebagai kebolehoperasian. Menurut kajian Deloitte, kekurangan kebolehoperasian “memberikan pemaju blockchain kebebasan sepenuhnya – namun ini dapat menyusahkan jabatan IT ketika mereka mengetahui bahawa platform blockchain itu tidak dapat berkomunikasi tanpa bantuan terjemahan.” Di laman web penyimpanan kod GitHub, terdapat lebih daripada 6,500 projek blockchain aktif menggunakan pelbagai platform dengan bahasa pengekodan yang berbeza, protokol, mekanisme konsensus dan langkah-langkah privasi. Ini menunjukkan bahawa blockchain masih tidak mempunyai satu lagi piawai yang betul-betul disetujui ramai.

“Standardisasi dapat membantu firma perusahaan bekerjasama dalam pembangunan aplikasi, mengesahkan bukti konsep, dan berkongsi penyelesaian blockchain serta memudahkan untuk diintegrasikan dengan sistem sedia ada,” menurut kajian Deloitte. “Situasi ini bertambah baik kerana semakin banyak peserta industri bekerja untuk membolehkan urus niaga merentasi blockchain, teknologi yang saling berhubung, dan penyeragaman standard.” Organisasi yang merangkumi beratus-ratus ahli yang menumpukan pada penciptaan versi standard blockchain dan menggalakkan kerjasama dapat mengatasi masalah kebolehoperasian ini.

Antara usaha yang dapat dipuji dalam masalah ini adalah Interferger, iaitu protokol komputer yang direka untuk membolehkan pembayaran antara rangkaian lejar teragih yang berlainan.

Mengurangkan Kerumitan Dan Kos

Salah satu kritikan yang paling sering diketengahkan kepada rangkaian blockchain Bitcoin adalah hakikat bahawa ia bergantung kepada kuasa pengkomputeran yang intensif – dan dengan itu banyak menggunakan tenaga elektrik untuk berfungsi. Pelombong menggunakan pelantar komputer yang besar dengan pelbagai komputer ‘serve’ untuk memastikan rangkaiannya terus berfungsi, dan semestinya proses ini tidak murah.

Menurut satu kajian yang dikeluarkan oleh Elite Fixtures, kos sebanyak $ 26,000 atau lebih diperlukan untuk melombong hanya satu Bitcoin di Korea Selatan, yang merupakan salah satu daripada pasaran terbesar di dunia untuk perdagangan cryptocurrency. Walaupun peniaga Bitcoin mendapat sejumlah Bitcoin untuk usaha perlombongan mereka, tag harga untuk mengesahkan urus niaga menjadi masalah besar bagi penggunaan teknologi blockchain secara meluas dalam aktiviti komersil.

Kerumitan dan kompleksiti pula adalah masalah lain yang perlu diberi perhatian, menurut kajian Deloitte. Beberapa firma, seperti Amazon, IBM dan Microsoft, sedang berusaha untuk mengurangkan kos dan kerumitan yang terlibat dalam mewujudkan rangkaian blockchain dengan menggunakan teknologi awan. Kerja mereka di lapangan difokuskan pada mewujudkan apa yang dikenali sebagai ‘blockchain-as-a-service’, di mana “templat” ditawarkan untuk memudahkan pemaju membina dan menjalankan rangkaian blockchain.

“Tawaran baru teknologi awan telah datang ke pasaran pada kadar yang pantas dan berpotensi untuk mengurangkan halangan dalam membangun dan mengendalikan rangkaian blockchain,” kata kajian itu. “Penyedia infrastruktur teknologi awan melancarkan templat blokchain yang bertujuan untuk mengautomasikan persediaan infrastruktur asas blockchain; vendor mendakwa ini boleh mengurangkan tempoh pembangunan aplikasi dari mengambil masa bulan kepada hari sahaja.”

Sokongan Undang-Undang Dan Pengawalseliaan

Memandangkan harga cryptocurrency bertambah tahun lalu, pengawal selia menjadi semakin tidak selesa dengan sifat spekulatif pasaran matawang kripto. Selain itu, fenomena kontroversi yang dikenali sebagai tawaran duit syiling awal (ICO) misalnya diharamkan di Korea Selatan dan China, dan Suruhanjaya Sekuriti Amerika Syarikat telah mendakwa Floyd Mayweather yang menjalankan ICO palsu.

Tetapi masih terdapat bidang lain blockchain di mana peraturannya masih tidak dapat dipastikan, seperti kontrak pintar – kontrak automatik yang dapat dijalankan di rangkaian blockchain seperti Ethereum. Kontrak sedemikian mengandungi satu set syarat di mana seorang pembeli dan penjual bersetuju. Apabila syarat-syarat tersebut dipenuhi, kontrak dikuatkuasakan secara automatik, sesuatu yang dikatakan oleh para pakar lebih efisien daripada kontrak yang berasaskan kertas.

Walau bagaimanapun, Deloitte menegaskan bahawa beberapa kemajuan sedang dibuat di bidang undang-undang dan pengawalseliaan, dengan 17 badan perundangan A.S. membatalkan atau meluluskan rang undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan teknologi blockchain. Dan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin berkata bahawa kumpulan kerja telah dibentuk untuk mengkaji teknologi blockchain dan matawang kripto.

“Terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan sebelum halangan peraturan dan pengawalselian utama untuk penggunaan blockchain dapat berjalan lancar,” menurut laporan Deloitte. “Namun momentum sedang terbina ke arah memudahkan penggunaan teknologi blockchain.”

Rumusan

Penulis sangat percaya bahawa penggunaan teknologi blockchain akan merevolusikan dunia kita, sama seperti impak kewujudan Internet. Namun, setiap teknologi yang akan berkembang pasti akan mempunyai isunya yang tersendiri, dan ini adalah peluang yang terbuka luas untuk kita menyelesaikannya. Jika 4 isu yang telah penulis nyatakan di atas dapat diselesaikan, pasti penggunaan blockchain dalam kehidupan seharian kita akan menjadi suatu kebiasaan, tanpa kita sendiri menyedarinya, sama seperti penggunaan Internet pada masa sekarang.

Rujukan Lanjut:

https://www2.deloitte.com/content/dam/insights/us/articles/4600_Blockchain-five-vectors/DI_Blockchain-five-vectors.pdf

https://www.cnbc.com/2018/10/01/five-crucial-challenges-for-blockchain-to-overcome-deloitte.html

https://www2.deloitte.com/us/en/insights/focus/signals-for-strategists/value-of-blockchain-applications-interoperability.html

https://www.cnbc.com/2018/02/15/the-cheapest-and-most-expensive-countries-to-mine-bitcoin.html

https://interledger.org/

Penulis: Krypto Kobra

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.