4 Sebab Tokenisasi Aset Semakin Popular

Tokenisasi aset? Apa tu?

Teknologi blockchain yang semakin lama semakin menjadi norma dalam masa kini telah membawa banyak perubahan. Bukan hanya dalam memperkenalkan matawang kripto kepada dunia, tetapi juga sebagai penambahbaikan dalam sistem atau infrastruktur tradisional. Malah, teknologi blockchain juga sering dikaitkan dengan Revolusi Industri ke-4.

Antara elemen paling penting dalam revolusi industri baru ini adalah pendigitalan ataupun dalam bahasa mat sallehdigitization atau digitalization. Seperti yang kita sudah lihat dengan matawang kripto yang merupakan bentuk digital matawang, pemindahan banyak kedai brick-and-mortar atau kedai fizikal ke dalam Internet kerana di situlah segmen pasaran baru untuk mengembangkan skala perniagaan.

Dalam dunia blockchain, matawang kripto adalah tahap pertama perkembangan teknologi itu. Daripada situ, potensi teknologi itu dalam sistem sedia ada diterokai dan ianya diimplementasi ke pelbagai sektor selain daripada kewangan. Kini, dunia matawang kripto telah menarik minat pelabur institusi sementara banyak kerajaan seluruh dunia sudah mula mengkaji potensi teknologi blockchain dalam infrastruktur pentadbiran dan perkhidmatan awam.

Dan tokenisasi aset adalah sesuatu yang boleh mengembangkan penggunaan meluas teknologi blockchain di dunia mainstream. Sepertimana matawang kripto seperti Bitcoin telah mengubah lanskap kewangan dengan signifikan, tokenisasi aset boleh menjadikan pelaburan dalam aset dunia sebenar lebih mudah dan efisyen.

Apa itu Tokenisasi Aset?

Seperti yang kita tahu, antara utiliti sesetengah token adalah ia melambangkan hak pemegang di dalam platform blockchain, sama ada undian, penyertaan dalam projek ataupun sebagainya. Protokol desentralisasi dalam blockchain membolehkan semua jenis pelabur, biasa mahupun institusi untuk membeli token dan mendapatkan bahagian dalam aset itu.

Jadi, tokenisasi aset membolehkan pertukaran hak kepada aset dengan nilai ekonomi kepada token digital. Contohnya, fractional ownership atau pemilikan bahagian dalam hasil seni atau hartanah. Dengan tokenisasi aset, token digital yang diberikan kepada pemilik boleh disimpan dan diuruskan dalam rangkaian blockchain. Katakanlah nilai aset itu adalah $250,000. 1 token = $25 boleh melambangkan 0.01% daripada nilai aset itu dan itulah peratusan bahagian anda dalam aset itu.

Token ini boleh dijual beli, dan semakin banyak pelabur yang masuk ke dalam pasaran semakin tinggi nilai aset itu. Dan pada masa sama nilai token itu juga akan meningkat, dan pemilik token boleh menjualnya dengan harga yang lebih tinggi dan mendapat pulangan daripadanya.

4 Sebab Tokenisasi Aset Semakin Popular
1. Akses

Seperti yang kita tahu, teknologi blockchain telah membuang halangan kepada akses. Pelabur dari serata dunia tidak kira besar atau kecil boleh mendapat akses 24/7 kepada aset yang telah ditokenisasi. Selain daripada itu juga, pelabur dari Switzerland dengan mudah boleh melabur dalam hartanah di negara seberang seperti Hong Kong, tanpa perlu meninggalkan negara mereka dan mendapat kebaikan daripada ciri-ciri blockchain seperti keselamatan, kepantasan dan kemudahan transaksi.

2. Kecairan

Satu lagi kelebihan token digital adalah ia boleh dibahagikan kepada pecahan yang lebih kecil, contohnya 0.0000001. Dan kelebihan ini yang membolehkan fractional ownership  ke atas aset yang selalunya tidak boleh atau sukar dicairkan seperti hasil seni dan hartanah. Disebabkan itu juga tokenisasi aset boleh meningkatkan kecairan melalui perdagangan dalam pasaran sekondari yang memberi akses kepada jumlah pelabur yang lebih besar.

3. Ketelusan

Teknlogi blockchain telah membawa kepada ketelusan bukan sahaja dalam proses transaksi tetapi juga dalam perlambangan hak dan tanggungjawab undang-undang yang berkait secara langsung kepada token itu. Dan yang paling penting adalah ia menggambarkan secara jelas rekod pemilikan yang tidak boleh diubah sebaik sahaja ia direkod.

Ciri-ciri ini telah membolehkan pelabur mengenal pasti dengan siapa mereka berurusan, apa yang tertera dalam kontrak perjanjian, hak setiap pihak dan juga siapa yang pernah memiliki token itu sebelum ini.

4. Risiko yang lebih rendah

Dalam membuat keputusan tentang pelaburan, risiko dan pulangan adalah dua elemen yang paling penting buat pelabur. Tokenisasi aset membawa lebih banyak pilihan kepada pelabur dan cirinya yang boleh dibahagikan kepada pecahan kecil membolehkan pelabur mengurangkan risiko pelaburan dalam portfolio mereka dengan memiliki sebahagian daripada beberapa aset.

Daripada hanya melabur ribuan dollar dalam pelaburan besar, ataupun mengikat wang untuk tempoh yang lama sebelum boleh menjana keuntungan, tokenisasi aset membolehkan pelabur melabur $50 dalam sebahagian daripada satu hasil seni atau hartanah dan dengan mudah menjual token itu mengikut pilihan pelabur.

Kesimpulan

Tetapi seperti teknologi blockchain, ekonomi token juga mempunyai beberapa halangan yang perlu diatasi sebelum boleh digunakan secara meluas di dunia mainstream. Antaranya adalah penambahbaikan kepada keselamatan infrastruktur, dan juga rangka kerja undang-undang untuk pengawalseliaan yang lebih efisyen.

Buat masa ini, perkembangan dalam aplikasi teknologi blockchain lebih pantas daripada pengawalseliaan, dan kerajaan seluruh dunia perlu bertindak pantas untuk ketinggalan dalam industri ini.