Adakah Anda Mempunyai Telefon Pintar berdasarkan Blockchain?
Teknologi Blockchain sudah meliputi hampir semua aspek dalam kehidupan kita. Daripada aplikasi pembayaran kepada instrumen pelaburan kepada elemen perubahan infrastruktur dan macam-macam lagi. Benarlah kata seorang penyokong teknologi ini dahulu, tidak lama lagi, teknologi Blockchain akan menjadi sesuatu norma dalam era digital ini.
Inovasi terbaru teknologi Blockchain adalah telefon pintar yang mengaplikasikan teknologi ini.
Usaha untuk implementasi teknologi Blockchain ke dalam smartphone telah dijalankan sejak tahun yang lalu. Tetapi seperti biasa hype ini menjadi lebih popular apabila pemain besar dalam industri telefon pintar, Samsung mengumumkan pelancaran Galaxy S10 yang dimasukkan dengan sistem penyimpanan selamat untuk private key matawang kripto.
Namun begitu, ia bukanlah telefon pintar berdasarkan blockchain yang pertama dilancarkan. Beberapa bulan sebelumnya, syarikat elektronik Taiwan, HTC, telah melancarkan Exodus 1; Sirin Labs telah mencipta Finney menggunakan dana sebanyak $157 juta daripada ICO; dan Electroneum yang melancarkan telefon pintar Android yang boleh melombong matawang kripto.
Apa kelebihan telefon pintar berdasarkan Blockchain ini?
Antara halangan terbesar penggunaan meluas teknologi Blockchain, matawang kripto, DApp dan sebagainya adalah ianya terlalu sukar untuk difahami dan digunakan, terutama bagi mereka yang bukan tech savvy. Istilah-istilah berkaitan teknologi ini dan aplikasinya kadang kala terlalu teknikal dan tidak mesra pengguna, menjadikan ramai yang mengelak daripada menggunakannya.
Jadi, inovasi baru ini adalah sesuatu yang berpotensi menarik lebih ramai orang untuk mula menggunakan sesuatu yang dibina berdasarkan teknologi Blockchain. Pengalaman pengguna yang lebih baik, bermula dengan pengurusan private key untuk penyimpanan matawang kripto dan juga perkenalan kepada perlombongan matawang kripto boleh menjadi titik perubahan kepada penggunaan teknologi Blockchain.
Boleh dikatakan telefon pintar berdasarkan Blockchain umpama pintu gerbang kepada web desentralisasi, atau “Web 3.0” yang menjadi mercu tanda teknologi Blockchain. Dalam versi masa hadapan Internet ini, teknologi blockchain akan menyokong perkembangan aplikasi desentralisasi (DApps) yang sama seperti aplikasi mobile yang digunakan hari ini. Apa yang berbeza adalah mereka akan dijalankan di atas rangkaian peer-to-peer yang terbuka, dan bukannya private server syarikat teknologi besar yang mengawal industri ini.
“It’s about the internet, where it’s going, and what’s wrong with it right now,” Phil Chen, decentralized chief officer at HTC.
Ciri-ciri telefon pintar berdasarkan Blockchain
Setiap telefon pintar berdasarkan Blockchain yang dilancarkan mempunyai ciri-ciri dan fungsi yang berbeza dan antaranya adalah:
Exodus oleh HTC ($699)
- boleh menyimpan matawang kripto secara offline
- boleh dijalankan sebagai nod komputer dalam rangkaian Blockchain seperti Bitcoin dan Ethereum
- membolehkan pemilik bermain CryptoKitties, suatu permainan DApp
- mempunyai sistem social key recovery, di mana pengguna boleh memilih beberapa orang dalam contact mereka untuk menerima sebahagian daripada private key mereka yang boleh didapati jika peranti itu hilang atau tidak boleh diakses.
Finney oleh Sirin Labs ($999)
- direka bentuk untuk menyokong aplikasi berdasarkan Blockchain seperti crypto wallet, akses selamat kepada platform pertukaran, komunikasi yang dienkripsi, dan ekosistem berkongsi untuk pembayaran dan aplikasi
- datang dengan token Sirin, SRN yang boleh digunakan sebagai pembayaran
- dipasang dengan suis toggle yang akan serta merta menutup semua komunikasi yang tidak dienkripsi, memastikan penyimpanan digital dalaman tidak boleh diakses, dan berfungsi sebagai cold wallet untuk matawang digital
- OS: Sirin; CPU: Qualcomm Snapdragon 845; Penyimpanan: 128GB
M1 oleh Electroneum ($80)
- direka bentuk untuk penduduk di negara sedang membangun
- mempunyai cloud mining membolehkan pengguna melombong secara langsung menggunakan telefon pintar mereka
- OS: Android 8.1 Go Edition; CPU: Quad Core 1.3Hz; Penyimpanan: 8GB
Galaxy S10 oleh Samsung ($900++)
- mempunyai Samsung Blockchain Wallet yang menyokong Ether dan token ERC20
- mempunyai DApp termasuk platform permainan Enjin, komuniti kecantikan Cosmee, platform koleksi kripto CryptoKitties dan servis pembayaran CoinDuck
- penyimpanan private key, Blockchain Keystore yang mempunyai tiga fungsi: pembayaran kepada peniaga, tandatangan digital dan pemindahan dan penyimpanan matawang kripto
Patutkah anda membeli telefon pintar berdasarkan Blockchain?
Bergantung. Jika anda pengguna baru kripto, ingin mencubanya dan tidak kisah untuk membelanjakan wang yang banyak, telefon pintar Blockchain ini sesuai untuk anda. Jika anda peminat tegar Samsung dan jenis suka bertukar telefon seperti menukar pakaian setiap hari, anda sudah tentu akan membeli Galaxy S10 ini.
Telefon pintar Blockchain adalah perkenalan yang baik yang berpotensi menambah baik pengalaman pengguna melangkaui platform pertukaran dan pelaburan kripto kerana ia membawa ke hadapan fungsi utama matawang kripto iaitu sebagai kaedah pembayaran dan juga memperkenalkan aplikasi lain berdasarkan teknologi Blockchain.
Dari perspektif pengeluar telefon pintar ini, ia adalah permulaan untuk menarik lebih ramai pengguna ke dalam dunia blockchain dan kripto. Dan dengan peningkatan permintaan, lebih banyak aplikasi desentralisasi akan dicipta dan ekosistem blockchain akan berkembang dengan lebih pesat. Walaupun infrastruktur asas web desentralisasi masih lagi di tahap permulaan, ramai yang menganggap ianya suatu kepastian, di mana berpuluh-puluh tahun akan datang infrastruktur Internet masa kini akan digantikan dengan teknologi yang masih belum matang lagi.