Default – Above Header Ads

Adakah Blockchain Penawar bagi Isu Teknologi Sedia Ada?

Teknologi Blockchain adalah antara “buzzword” yang besar untuk tahun 2018. Malah, sejak pertengahan 2017 lagi, teknologi ini sudah dikaitkan dengan peralihan daripada sistem legasi kepada sesuatu yang lebih maju, seperti teknologi AI, quantum computing dan sebagainya. Banyak syarikat teknologi melancarkan projek-projek berasaskan Blockchain untuk “disrupt” industri yang sedia ada, kononnya membawa kelebihan dari segi kecekapan, lejar yang boleh diaudit, keselamatan dan macam-macam lagi.

Disebabkan populariti teknologi Blockchain yang semakin hari semakin meningkat, syarikat atau perniagaan besar terutama yang memonopoli pasaran dunia juga ingin implementasi Blockchain dalam sistem mereka. Teknologi Blockchain adalah umpama penawar, atau panacea kepada masalah kecekapan dan kos perbelanjaan tinggi dalam industri. Hakikatnya, banyak syarikat yang mengambil keputusan untuk menyertai perlumbaan ini tanpa betul-betul memahami apa itu Blockchain.

 

Komik di atas menggambarkan keadaan industri masa kini yang berkejar-kejar untuk menggunakan teknologi Blockchain tanpa mempertimbangkan keperluan teknologi tersebut dalam operasi mereka. Teknologi Blockchain dikatakan sebagai revolusi yang akan mengubah dunia, sepertimana Internet telah mengubah cara manusia berinteraksi dan berhubung. Adakah ini bermakna teknologi Blockchain yang membawa kita sistem desentralisasi ini akan menjadikan sistem sedia ada obsolete, atau tidak relevan lagi?

Hujah yang menyokong teknologi Blockchain

  1. Teknologi Blockchain mencipta satu sistem trustless, di mana pengguna tidak perlu bergantung kepada kepercayaan terhadap pihak ketiga atau sesama sendiri untuk menjalankan transaksi.
  2. Teknologi Blockchain adalah satu sistem desentralisasi yang tidak mempunyai kawalan pusat, menjadikan ia lebih sukar untuk gagal melalui single point of failure.
  3. Lejar Blockchain adalah rekod tetap yang tidak boleh diubah, membawa ketelusan kepada aktiviti transaksi yang dijalankan.

Kesemua di atas adalah hujah-hujah yang selalu diutarakan oleh mereka yang pro-Blockchain. Semua kelebihan yang disebutkan adalah betul, dan jika kita bandingkan teknologi Blockchain dengan sistem yang sedia ada (kawalan pusat, birokrasi, pihak ketiga untuk pengesahan, dan sebagainya) secara objektif, sudah tentu kita akan menganggap teknologi Blockchain lebih maju dan bagus.

Bitcoin Exchange CEX.IO

Isunya adalah setiap operasi syarikat mempunyai keperluan yang berbeza-beza dan tidak semua jenis aktiviti ekonomi akan bertambah baik melalui implementasi teknologi Blockchain. Secara asasnya, teknologi Blockchain adalah sistem lejar yang disiarkan secara terbuka, di mana setiap transaksi yang berlaku akan direkod dan boleh disahkan oleh peserta dalam rangkaian. Jadi, logiknya adalah syarikat-syarikat yang menggunakan sistem rekod, transaksi atau kontrak akan mempunyai kelebihan jika mereka menggunakan teknologi Blockchain.

Industri di mana Teknologi Blockchain membawa kelebihan

  • Kewangan – tidak dinafikan sejak kewujudan Bitcoin, industri yang paling pantas meneroka kegunaan teknologi Blockchain adalah kewangan. Namun begitu, cabaran utama teknologi Blockchain adalah skalabiliti dari segi jumlah transaksi dan masa. Ripple dikenali sebagai pencabar utama SWIFT untuk penghantaran cross-border dan kini mempunyai lebih 100 bank sebagai klien, tetapi kini semakin banyak bank yang sedang meneroka potensi implementasi teknologi Blockchain dalam infrastruktur sendiri.
  • Pengurusan data – teknologi Blockchain mempunyai potensi untuk membawa banyak pembaharuan dan penambahbaikan dalam sektor ini. Sistem berdasarkan Blockchain boleh memastikan data boleh disimpan secara tetap dan sukar untuk dimanipulasi pihak lain. Pada masa yang sama, Blockchain juga membolehkan data dikongsi secara selamat di dalam rangkaian yang boleh dihadkan kepada pihak-pihak tertentu. Tidak kira agensi kerajaan mahupun industri seperti seni, music, penulisan dan sebagainya, boleh dikatakan teknologi Blockchain membawa kelebihan yang sangat besar.
  • Insurans – penciptaan smart contract adalah satu langkah yang besar dalam memastikan apa-apa kontrak boleh dikuatkuasakan tanpa risiko kesalahan manusia. Dan industri insurans adalah salah satu industri yang boleh ditambah baik melalui teknologi ini. Namun begitu, perkembangan smart contract yang masih di peringkat awal juga menimbulkan pelbagai isu seperti: had ke atas kod kontrak yang boleh dikuatkuasakan, kos implementasi, keperluan syarikat insurans yang kompleks dan jumlah organisasi berkaitan yang perlu dipertimbangkan.

Adakah teknologi Blockchain untuk semua?

Banyak lagi contoh-contoh industri lain yang boleh ditambah baik melalui teknologi Blockchain, seperti pendaftaran rekod, supply chain, program loyalty, rangkaian perniagaan dan hartanah. Seperti yang telah disebut di atas, teknologi Blockchain sesuai untuk diimplementasi oleh syarikat-syarikat yang berkaitan dengan aktiviti transaksi, penggunaan rekod, atau operasi digital (e-commerce). Hakikatnya, tidak semua industri atau model perniagaan yang memerlukan teknologi Blockchain. Atau teknologi Blockchain tidak akan membawa perubahan besar dan kelebihan kepada syarikat tersebut.

Tambahan lagi, kemungkinan besar kos implementasi teknologi Blockchain akan melangkaui pulangan pada masa akan datang. Syarikat-syarikat dalam industri yang disenaraikan di atas juga perlu menjalankan penilaian risiko sebelum komited untuk menggunakan teknologi Blockchain. Bak kata pepatah Inggeris, “why fix something that is working?” Jika teknologi Blockchain hanya mendatangkan kelebihan yang sedikit, mengapa tidak menambah baik sistem yang sedia ada?

Kesimpulan

Ramai berkata, “dengan teknologi Blockchain kita tidak lagi memerlukan bank, kad kredit, pengantara atau pihak ketiga untuk menjalankan transaksi”. Hakikatnya, mereka yang bercakap tentang kelebihan Blockchain di sini sana lebih banyak daripada mereka yang menyelidiki teknologi tersebut untuk menjadikannya lebih mudah untuk diimplementasi oleh sesiapa sahaja. Lebih ramai yang menjual hype teknologi Blockchain melalui matawang kripto daripada membincangkan kegunaan praktikal teknologi ini.

Sama seperti teknologi lain, Blockchain juga boleh menjadi kelebihan atau membawa kemudaratan kepada sesuatu sistem atau model perniagaan. Ianya bergantung kepada bagaimana dan sejauh mana ia diimplementasi. Sememangnya Blockchain adalah idea revolusi yang hebat, dan hari ini sudah banyak aplikasi berdasarkan teknologi Blockchain yang sudah berjaya di dunia sebenar. Sejauh mana teknologi Blockchain boleh menjadi penyelesaian untuk model perniagaan, itulah persoalan besar teknologi ini.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.