Default – Above Header Ads

Adakah sudah Terlambat untuk Membeli Bitcoin?

Kemaskini (10/7/2018): Artikel ini pertama kali diterbitkan pada 9 Januari 2018. Jika anda baca artikel ini ketika itu, harga Bitcoin adalah USD$15,000. Macam tidak boleh percaya bukan, memandangkan harga Bitcoin kini lebih daripada separuh daripada nilai itu. Beberapa hari yang lalu Bitcoin naik hampir USD$7,000 tetapi hari ini ia turun kembali ke sekitar USD$6,400. Itulah hakikat pasaran matawang kripto yang tidak boleh dinafikan lagi.

Namun begitu, sebagaimana Bitcoin boleh jatuh dengan teruk begitu juga ia boleh naik secara mendadak. Tidak mustahil kitaran naik turun ini menunjukkan kitaran organik Bitcoin dan matawang kripto, di mana ia tidak dipengaruhi oleh berita-berita yang sensasi yang sentiasa ada tetapi pada jumlah permintaan peminat matawang kripto semata-mata. Sudah banyak artikel-artikel yang diterbitkan sebelum ini tentang faktor naik turun harga matawang kripto yang anda boleh baca.

Apa yang ingin disampaikan dalam artikel ini adalah peluang kepada mereka yang masih belum lagi memiliki Bitcoin. Bagi mereka yang sudah kaji selidik pasaran matawang kripto, dan betul-betul ingin memiliki Bitcoin, masa terbaik adalah sewaktu harga Bitcoin sedang jatuh sebelum ia naik semula. Kerana daripada apa yang dilihat selama ini, kedua-duanya boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja.

Apa kata anda baca artikel ini jika anda termasuk dalam golongan yang disebut di atas tadi.

Bitcoin ingin mencapai bintang di angkasa

Menurut coinmarketcap.com, harga Bitcoin kini (9 Januari 2018) sudah mencecah lebih USD$15,000 (RM63,000) dan jumlah modal pasaran matawang kripto kini adalah USD$256 bilion. Walaupun Bitcoin sedang mengalami penurunan harga, Bitcoin sudah pernah mencapai RM90,000 bulan yang lalu (Disember 2017) dan dijangka akan mencecah RM300,000 tahun ini, mungkin lebih.

Sesiapa yang membeli Bitcoin awal tahun ini dengan harga dalam lingkungan RM4,000, pelaburannya sudah mencapai keuntungan lebih RM60,000. Cuba berfikir sejenak, pelaburan apa sahaja yang membawa pulangan lebih RM60,000 dalam masa setahun sahaja? Sudah pasti siapa yang membeli Bitcoin semasa harganya masih bawah USD$100, dan menyimpannya sudah bergelar jutawan kini ataupun sudah billion-wan? Pernah dengar tentang kembar Winklevoss yang menuduh Mark Zuckerberg mencuri idea mereka untuk Facebook? Ya, mereka sudah pun bergelar billionaire hasil daripada pelaburan Bitcoin mereka sejak 2013 lagi.

Apa yang pasti, ramalan daripada golongan pro-Bitcoin bahawa Bitcoin akan mencecah USD$10,000 menjelang akhir tahun ini, sudah pun menjadi kenyataan dan sewaktu artikel ini dikeluarkan November dahulu, penulis menjangka awal tahun 2018 harga Bitcoin akan mencecah USD$15,000. Nampaknya jangkaan penulis tepat. Agak-agaknya berapa harga Bitcoin bulan depan?

Ingat tak kenyataan daripada Wences Cesares, salah seorang pengarah PayPal dan CEO Xapo (syarikat Bitcoin wallet) yang menjangka Bitcoin akan mencecah USD$1,000,000 dalam masa 5-10 tahun. Kenyataan itu dibuat pertengahan tahun yang lalu, dan dalam masa 6 bulan sahaja harga Bitcoin sudah naik tiga kali ganda. Jika harga Bitcoin naik dua kali ganda setiap 6 bulan, jangkaan Wences akan menjadi kenyataan dalam masa 4 tahun sahaja.

Adakah sudah terlambat bagi pelabur baru?

Persoalannya kini, buat pelabur yang baru sahaja mengenali atau aware dengan Bitcoin, adakah sudah terlambat untuk membeli Bitcoin? Soalan ini penulis selalu dapat sejak kebelakangan ini. Jawapan paling mudah penulis boleh beri. Selagi Bitcoin belum habis (jumlah Bitcoin adalah 21 juta), dan selagi anda yakin harga Bitcoin akan naik lebih tinggi, anda masih belum terlambat untuk melabur dalam Bitcoin. Bak kata rakan penulis, ia bukannya tentang berapa tinggi nilai semasa Bitcoin, tetapi berapa tinggi peratus kenaikan harga Bitcoin.

Lihat sejarah harga Bitcoin dari dulu hingga kini.

Antara kelebihan Bitcoin adalah kebolehan untuk membuat pembayaran mikro. Maksudnya di sini adalah tidak seperti matawang fiat yang mempunyai denomasi paling kecil 0.01, matawang kripto boleh dipecahkan menjadi unit yang lebih kecil. Unit terkecil Bitcoin adalah 1 satoshi iaitu bersamaan 0.00000001. Jadi jika anda ingin membeli dengan hanya RM1,000 sahaja, anda akan mendapat lebih kurang 0.02 BTC.

Ataupun anda pelabur baru tetapi seorang businessman yang kaya-raya dan tidak mahu hanya melabur dengan membeli Bitcoin. Anda boleh pilih untuk melabur dalam peralatan mining Bitcoin. Dalam masa dua bulan anda boleh mendapat pulangan modal pelaburan anda dan terus mengaut keuntungan bukan hanya dalam nilai Bitcoin yang bertambah tetapi juga jumlah Bitcoin yang bertambah.

Jika selama ini anda hanya membaca artikel-artikel di coin.my tetapi masih tidak memiliki Bitcoin (mungkin kerana kurang yakin), tiada masa yang lebih baik untuk membeli daripada sekarang. Sampai suatu tahap (apabila Bitcoin sudah bernilai berjuta-juta), anda mungkin akan menyesal kerana tidak membeli dari awal lagi. Namun begitu, pastikan anda betul-betul faham risiko-risiko nya, kerana semua pelaburan pasti ada risiko.

Altcoin juga berbaloi untuk dilabur

Satu dunia sudah tertumpu kepada Bitcoin. Mereka yang pro-Bitcoin sudah menjerit kegembiraan melihat harga Bitcoin kini, dan mereka yang berada di pagar sebelah sana sedang menggigit jari, mungkin kerana menyesal mungkin juga menanti pasaran Bitcoin jatuh.

Tetapi, Bitcoin bukanlah satu-satunya matawang kripto yang wujud. Kini sudah terdapat hampir 2,000 matawang kripto dan memandangkan teknologi Blockchain masih lagi baru, tidak menghairankan jika menjelang pertengahan tahun 2018, jumlah matawang kripto boleh mencecah hampir 5,000. Dan matawang kripto lain juga banyak yang mempunyai trajektori positif, dan harganya meningkat dengan banyak dari harga asal. Contohnya seperti Ether yang sudah mencecah lebih USD$1,000 berbanding harganya pada bulan November yang lalu, yang masih lagi belum mencecah USD$500 ketika itu.

Bitcoin mungkin mendominasi pasaran matawang kripto, tetapi tidak boleh dinafikan matawang kripto lain juga banyak yang mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh. Jika anda rasa Bitcoin bukan untuk anda, anda mempunyai pilihan yang sangat banyak. Apa yang penting adalah anda membuat pilihan yang betul.

Seperti era dotcom, era matawang kripto pasti akan berakhir dengan perkembangan teknologi yang sentiasa berlaku. Buat masa ini, teknologi Blockchain adalah teknologi terkini, jadi masuklah ke dalam dunia matawang kripto sebelum terlambat.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.