Default – Above Header Ads

Apa Itu CBDC dan Apa Impaknya?

Kita semua tahu kepentingan wang kertas dalam peredaran bagi sesebuah negara. Ia adalah sebahagian daripada peredaran matawang dan melambangkan hubungan antara pengguna terakhir dan bank pusat atau central bank.

Adakah anda tahu bahawa jumlah wang kertas dalam peredaran di dunia ini adalah 10 peratus daripada jumlah bekalan wang yang ada?

Gambar di atas adalah contoh wang dalam peredaran di Eurozone. M0 melambangkan wang kertas dan syiling dalam peredaran.

Pernah tengok carta di atas? Cuba skrol ke atas balik dan tengok “Global Money Supply”. Nampak tak sebenarnya bekalan wang seluruh dunia sangat sedikit, yang selebihnya adalah broad money, yang termasuk deposit, nota kredit, bon, sekuriti dan lain-lain. Itupun dah berjumlah $36.8 trilion. Kalau bandingkan dengan jumlah keseluruhan pasaran matawang kripto, memang bekalan matawang kripto tidak mencukupi untuk diedarkan di seluruh dunia.

Transformasi ke arah “Cashless Society”

Default – Inside Post Ads

Kewujudan Internet telah membawa kepada pendigitalan kehidupan. Bermula dengan komunikasi, IoT, dan kini kewangan pula. Anda sudah pasti pernah mendengar tentang negara-negara yang sedang menuju ke arah cashless society, bukan? Negara seperti China, India dan Afrika adalah antara negara-negara di mana majoriti rakyat menggunakan mobile payments melalui e-wallet mereka.

Dan kini inovasi mobile payments serta peningkatan populariti matawang kripto dan aset digital telah membuka idea untuk inovasi baru buat bank pusat.

Matawang Digital Bank Pusat (Central Bank Digital Currency)

CBDC tidaklah berbeza dengan matawang kripto, melainkan ianya dilancarkan oleh bank pusat. Banyak bank-bank pusat telah membuat kajian tentang pelancaran matawang digital mereka sendiri melihat kepada kejayaan Bitcoin dan matawang kripto lain dan juga penggunaan wang tunai yang semakin berkurangan.

Bagi bank pusat, terdapat potensi untuk matawang digital menggantikan atau digunakan bersama-sama matawang fiat. Menurut Bank of England, CBDC adalah wang elektronik yang:

1. Boleh diakses dengan lebih mudah dari simpanan;

2. Berpotensi mempunyai lebih banyak fungsi untuk transaksi harian daripada wang tunai;

3. Mempunyai struktur operasi yang berbeza daripada wang dari bank pusat yang lain, membolehkan ia digunakan untuk tujuan lain;

4. Boleh dikenakan faedah.

Boleh kita simpulkan di sini tujuan bank pusat mengeluarkan matawang digital sendiri adalah untuk meluaskan penggunaan matawang fiat dalam bentuk digital, pada masa sama mengawal penggunaannya. Jadi, apa impak jika CBDC ini dikeluarkan?

Akses kepada wang yang dianggap ‘legal tender’ lebih meluas

Buat masa ini, matawang kripto masih tidak dianggap legal tender di hampir keseluruhan negara seluruh dunia. Dan banyak penganalisa berpendapat ia tidak akan dapat menggantikan matawang fiat sepenuhnya, lebih-lebih lagi memandangkan bank pusat dan kerajaan sedang berusaha untuk menerokai potensi matawang fiat berbentuk digital.

CBDS berpotensi untuk meluaskan akses orang awam kepada legal tender yang diiktiraf kerajaan terutama kepada mereka yang tidak mempunyai bank atau menetap jauh di luar kawasan perbandaran.

Menambah baik kelancaran sistem pembayaran

Seperti yang kita tahu, transaksi menggunakan matawang kripto adalah sangat cepat memandangkan ianya tidak perlu melalui pengantara seperti bank. Dan jika transformasi digital ini diimplementasi oleh kerajaan melalui CBDC, transaksi beli-belah mahupun pembayaran antara bank boleh ditambah baik.

Anda tahu tentang Ripple, bukan? Ripple telah membuktikan bahawa transaksi merentasi sempadan antara bank tidak perlu mengambil masa yang lama. Jika bank pusat boleh implementasi sistem yang menyamai teknologi Ripple, perdagangan antarabangsa akan lebih efisyen dan lancar.

Isyarat peralihan ke masyarakat lebih digital

Walaupun sudah satu dekad matawang kripto wujud, namun begitu, penggunaannya sebenarnya tidak sampai 1%. Majoriti yang memegang matawang kripto tidak menggunakannya untuk transaksi harian, tetapi untuk pelaburan semata-mata. Malah, ramai yang berpendapat masih lama lagi sebelum matawang kripto akan mencapai penggunaan meluas atau betul-betul dapat menggantikan matawang fiat.

Jadi, keterbukaan bank pusat dalam menerokai potensi matawang digital bank pusat ini adalah isyarat yang besar menunjukkan peralihan ke masyarakat yang lebih digital. Ini adalah kerana majoriti masyarakat meletakkan kebergantungan dari segi nilai kewangan kepada kerajaan, bermakna jika kerajaan sendiri mengeluarkan matawang digital yang diiktiraf sebagai legal tender sudah tentu rakyat akan lebih mudah menerimanya untuk diguna pakai.

Matawang kripto lain menjadi tidak relevan?

Mungkin ramai akan merasakan CBDC akan menjadi pesaing kepada matawang kripto lain yang sedia ada. Dan jika ia direalisasikan, matawang kripto akan menjadi tidak relevan dan pasaran kripto akan jatuh. Adakah ini benar?

Kemungkinan besar tidak. Seperti yang penulis katakan di atas, majoriti menyimpan matawang kripto untuk tujuan pelaburan, dan selagi terdapat permintaan untuk pelaburan matawang kripto, selagi itu pasaran kripto akan berterusan. Untuk CBDC pula, tujuan utama adalah untuk menjadi legal tender yang melambangkan matawang fiat dalam bentuk digital. Mungkin matawang kripto yang tidak mempunyai utiliti selain daripada sebagai kaedah pembayaran akan terjejas, tetapi impak kepada keseluruhan pasaran matawang kripto tidaklah begitu signifikan.

Kesimpulan

Walaupun banyak kerajaan dan institusi kewangan bersetuju bahawa teknologi blockchain membawa potensi yang sangat besar untuk menambah baik infrastruktur sedia ada, namun begitu masih terdapat banyak isu-isu dan cabaran yang perlu di kaji. Ini adalah kerana sistem kewangan setiap negara sangat kompleks dan pembentukan polisi perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian dan keperluan setiap negara.

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.