Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Apakah ‘End Goal’ Blockchain?

Sejak tahun 2017 lagi matawang kripto dan teknologi Blockchain sudah tiba ke persada dunia, tahun dimana kewujudannya diiktiraf. Teknologi Blockchain adalah hype masa kini, baik untuk developersprogrammers, pro-anarki, pelabur kecil-kecilan, pelabur institusi mahupun eksekutif-eksekutif besar syarikat. Keunikan teknologi ini terletak pada kapasitinya untuk diterima pakai oleh pelbagai golongan dengan motivasi dan visi yang berbeza.

Di dunia luar, majoriti pengguna matawang kripto lebih sibuk bertanya tentang status matawang kripto dalam pelaburan mereka. Soalan-soalan yang seringkali ditanya adalah, “bagaimana untuk membeli Bitcoin?” atau “adakah Bitcoin itu gelembung pasaran?”. Ini tidak menghairankan, memandangkan kebanyakan pengguna matawang kripto lebih mengambil berat tentang pulangan mereka.

Dan kini pelancaran projek kripto Facebook, Libra, sekali lagi menarik teknologi Blockchain ke bawah spotlight dunia. Namun begitu, komuniti kripto berbelah bagi dengan kemasukan Facebook  ke dalam dunia kripto. Adakah kemasukannya akan mengubah matlamat Blockchain? Apa ‘end goal’ Blockchain?

Teknologi Blockchain tidak seperti Internet

Satu persoalan yang sepatutnya timbul adalah sejauh mana teknologi Blockchain ini akan pergi, dan apakah ‘end goal’ Blockchain? Mustahil teknologi Blockchain hanya untuk menghidupkan pasaran matawang kripto semata-mata. Ramai orang berkata teknologi Blockchain akan mengubah segala-galanya di dunia: cara kita membuat transaksi, mengurus data, membuat kontrak dan macam-macam lagi.

Tetapi, bagaimana? Kebanyakan projek Blockchain masih lagi terpencil di alam maya dan terlalu sedikit use case dunia sebenar berkaitan teknologi Blockchain. Tambahan lagi, use cases yang ada adalah dalam sektor kewangan sahaja. Dari segi penggunaan, teknologi Blockchain masih lagi  tidak menyeluruh.

Cuba fikirkan. Jika dunia tiada internet, banyak urusan harian akan terbengkalai, dari keluar masuk emel, media sosial, kepada pembelian barangan online. Ini adalah kerana penggunaan Internet sudah menjadi suatu yang sebati dalam kehidupan harian kita, dan jika tiada internet walau satu jam pun, sudah tentu ramai yang akan mati kutu (walaupun sebenarnya kita boleh sahaja hidup sementara tanpa internet).

Bagaimana pula dengan teknologi Blockchain? Walaupun satu dekad sudah berlalu, ia masih belum boleh mencapai tahap penggunaan Internet. Ini mungkin kerana objektif penciptaan Internet adalah jelas; untuk menghubungkan manusia dalam satu rangkaian yang merintasi sempadan negara tetapi bagi teknologi Blockchain yang diperkenalkan melalui Bitcoin, objektifnya masih lagi tidak jelas sehingga kini.

Teknologi Blockchain sebagai wajah utama Web 3.0

Untuk kita lebih memahami ‘end goal‘ Blockchain, mari kita meneroka kepentingan teknologi Blokchchain dalam perkembangan Internet, khususnya Web 3.0. Jika kita kembali kepada permulaan Web 1.0, atau world wide web, ia hanyalah satu jumlah laman web yang statik yang menghidangkan maklumat dan tidak interaktif. Akses kepada Internet mengambil masa yang lama dan ianya sangat perlahan.

Web 2.0 telah mendatangkan akses Internet yang lebih laju dan juga kemunculan platform media sosial seperti Youtube, Facebook, Wikipedia dan sebagainya. Penyebaran maklumat menjadi lebih mudah dan pantas hanya dengan beberapa klik sahaja, dan media sosial telah menghubungkan mereka yang mempunyai hobi atau pemikiran yang sama ke dalam satu komuniti yang semakin hari semakin bertambah.

Walaupun Web 2.0 membawa lebih banyak peluang perniagaan dan kemudahan kepada pengguna, ianya datang dengan syarat: maklumat peribadi. Tanpa diketahui, pengguna telah mengorbankan privasi untuk mendapatkan kemudahan Internet: dari identiti, kepada tabiat dalam melayari Internet, dan data ini dijual kepada syarikat-syarikat lain. Tambahan lagi, Web 2.0 telah menghidupkan ekonomi di mana syarikat gergasi Facebook, Google dan sebagainya memonopoli Internet.

Disitulah terbitnya idea Web 3.0, di mana wujudnya satu rangkaian terbuka yang membolehkan keuntungan dikongsi bersama oleh keseluruhan rangkaian pengguna. Bermula dengan kemunculan Bitcoin, sebagai satu sistem pembayaran yang membuang keperluan pihak ketiga untuk menjalankan transaksi, kini terdapat beribu-ribu projek Blockchain yang mempunyai misi yang sama: mengembalikan privasi kepada pengguna dan juga kuasa ke atas maklumat peribadi pengguna.

‘End Goal’ Teknologi Blockchain

Jika kita lihat setiap projek Blockchain, ia mempunyai fungsi berbeza tetapi kebanyakannya berkisar kepada objektif yang sama:

  • menjadikan sistem yang berpusat lebih desentralisasi
  • membuang keperluan pihak ketiga dalam transaksi antara penghantar dan penerima
  • meningkatkan privasi pengguna
  • mengembalikan kuasa ke tangan komuniti (melalui aktiviti mining, pengundian dan sebagainya)

Namun begitu, ini tidak bermakna teknologi Blockchain hanya untuk syarikat-syarikat kecil atau startup yang ingin merevolusikan sistem legasi yang sedia ada. Malah, use cases yang berjaya adalah dalam syarikat-syarikat besar yang sudah lama wujud dalam industri masing-masing. Boleh dikatakan jika berlaku mainstream adoption terhadap Blockchain dan matawang kripto, ia adalah kerana kewujudan korporat yang lebih berkuasa daripada projek Blockchain yang kecil.

Syarikat-syarikat besar mempunyai banyak kelebihan dari segi kos, pekerja berkebolehan dan yang paling penting kepercayaan daripada pengguna. Jika kita bercakap tentang ‘end goal‘ teknologi Blockchain, ianya adalah apabila pengguna biasa yang tidak pernah tahu tentang teknologi Blockchain menggunakan aplikasi Blockchain atau matawang kripto dalam urusan harian mereka dengan selesa.

End goal‘ Blockchain adalah apabila anda membuka akaun bank pada hari ini, kerani bank tidak perlu menerangkan teknologi yang digunakan atau bagaimana transaksi anda di proses. Kerani yang sama tidak akan perlu memberitahu anda bahawa wang simpanan anda adalah sebenarnya matawang kripto yang dioperasikan oleh konsortium Blockchain antara bank. Anda sendiri tidak ingin mengambil tahu, kerana yang penting adalah wang simpanan anda.

Pada pendapat anda, siapakah yang mempunyai kapabiliti untuk membawa teknologi Blockchain di tahap awal ini ke tahap yang lebih matang? Syarikat besar yang sudah lama wujud atau pemain baru dalam dunia teknologi Blockchain?

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads