Default – Above Header Ads

Bagaimana Blockchain Berfungsi Dalam Pengurusan Rantaian Bekalan

Menguruskan rantaian bekalan pada era digital dan globalisasi ini, terutamanya usaha untuk menghubungkan dan mengedarkan pelbagai jenis barangan adalah sangat kompleks. Bergantung kepada jenis produk, rantaian bekalan boleh menjangkau lebih daripada ratusan peringkat, pelbagai lokasi geografi (antarabangsa), pelbagai jenis invois dan pembayaran, mempunyai beberapa individu dan entiti yang terlibat, dan memakan tempoh masa selama berbulan-bulan.

Oleh kerana kerumitan dan kekurangan ketelusan pengurusan rantaian bekalan, teknologi blockchain dikatakan dapat mengubah wajah pengurusan rantaian bekalan dan industri logistik. Namun sebelum kita pergi lebih lanjut, perlu dahulu kita ketahui berkenaan definisi rantaian bekalan.

Apa Itu Pengurusan Rantaian Bekalan?

Secara ringkas, pengurusan rantaian bekalan (supply chain) merangkumi perancangan bersepadu serta pelaksanaan proses yang berbeza. Ini melibatkan aliran material, aliran maklumat serta aliran modal kewangan. Pengurusan aliran barang, perkhidmatan, dan maklumat yang melibatkan penyimpanan dan pergerakan bahan mentah, pembinaan produk serta barang yang sudah siap dari satu titik ke titik lain disebut sebagai pengurusan rantaian bekalan. Rantaian bekalan dalam pengurusan rantaian bekalan adalah rangkaian entiti individu, organisasi, perniagaan, serta teknologi yang bergabung dalam pembuatan produk atau perkhidmatan.

Pengurusan rantaian bekalan bermula dengan penghantaran bahan mentah dari pembekal kepada pengeluar dan berakhir dengan ketibaan produk kepada pengguna. Pelaksanaan pengurusan rantaian bekalan yang betul dapat menghasilkan keuntungan seperti peningkatan penjualan dan pendapatan, pengurangan penipuan dan pembiayaan overhed, dan semestinya penambahbaikan kualiti. Selain itu, ini juga akan mempercepat pengeluaran dan pengedaran produk.

Walaupun semua ini nampak mudah, namun ia sukar untuk dilaksanakan secara praktikal, walaupun untuk perniagaan kecil. Hubungan antara elemen-elemen yang berbeza dalam rantaian bekalan secara beransur-ansur menjadi lebih sukar dan tidak efisien apabila perniagaan berkembang. Untuk menyelesaikan ketidakcekapan dan menjimatkan wang syarikat, teknologi blockchain dapat digunakan untuk mengatasi masalah pengurusan rantaian bekalan.

Cabaran Pengurusan Rantaian Bekalan Dan Penyelesaiannya

Sebenarnya terdapat pelbagai kes dan masalah dalam pengurusan rantaian bekalan, namun di bawah adalah contoh cabaran utama untuk pengurusan rantaian bekalan yang dapat diselesaikan dengan teknologi blockchain.

1. Pengurusan Rekod

Syarikat besar dan organisasi mempunyai banyak elemen dalam rantaian bekalan mereka. Disebabkan ini, menjadi hampir mustahil untuk menjejaki setiap rekod walaupun untuk syarikat bertaraf antarabangsa. Kekurangan ketelusan membawa kepada masalah kos dan hubungan pelanggan yang akhirnya menyebabkan jenama sesuatu syarikat boleh dipandang rendah.

Di dalam pengurusan rantaian bekalan berasaskan blockchain, penyimpanan rekod menjadi mudah kerana maklumat produk dapat diakses melalui bantuan pelbagai jenis sensor dan tag RFID. Sejarah produk dari mana asalnya dan ke mana ia akan berakhir, serta lokasinya pada masa nyata kini boleh dikesan melalui teknologi blockchain. Selain itu, pengesanan rekod ini boleh digunakan untuk mengesan penipuan di mana-mana bahagian rantaian bekalan.

2. Pengurangan Kos

Penjejakan masa nyata produk dalam rantaian bekalan dengan bantuan blockchain mengurangkan kos keseluruhan item bergerak dalam rantaian bekalan. Menurut kaji selidik pekerja rantaian bekalan yang dijalankan oleh APQC dan Institut Rantaian Bekalan Digital (DSCI), lebih dari satu pertiga peserta kaji selidik tersebut menyebut penurunan kos sebagai manfaat paling utama tarikan terhadap penggunaan teknologi blockchain dalam pengurusan rantaian bekalan.

Apabila blockchain digunakan untuk mempercepatkan proses pentadbiran dalam rantaian bekalan, kos tambahan yang berlaku dalam sistem dapat dikurangkan, disamping sistem blockchain yang masih menjamin keselamatan transaksi. Penyingkiran orang tengah dan pengantara dalam rantaian bekalan melenyapkan risiko penipuan, peniruan produk dan menjimatkan wang.

3. Peningkatan Amanah Dan Integriti

Mempunyai kepercayaan dalam rangkaian bekalan yang kompleks dengan peserta yang banyak diperlukan untuk operasi yang lancar. Sebagai contoh, apabila pengilang berkongsi produknya dengan pembekal, dia harus percaya kepada mereka untuk mengikuti standard keselamatan kilang. Selain itu, dalam isu pematuhan peraturan dan standard, kepercayaan memainkan peranan penting. Sifat blockchain yang “kebal” dari pengubahsuaian dan penggodaman adalah sangat sempurna untuk digunakan dalam pengurusan rantaian bekalan kerana dapat mengelakkan penggubahan, gangguan dan penukaran produk dari produk mula dibina hinggalah produk sampai ke tangan pengguna.

Manfaat Utama Penggunaan Terknologi Blockchain Dalam Pengurusan Rantaian Bekalan

Faedah yang paling utama dalam penggunaan data blockchain ialah membolehkan data menjadi lebih mudah untuk diakses dan digunakan. Disebabkan ini, menjadi lebih mudah bagi syarikat untuk berkongsi maklumat dan data dengan pengeluar, pembekal, dan vendor. Ketelusan dalam blockchain membantu mengurangkan kelewatan dan pertikaian, disamping menghalang barang daripada tersangkut dalam rantaian bekalan. Memandangkan setiap produk dapat dikesan dalam masa nyata, peluang untuk kehilangan produk ketika bergerak dalam rantaian bekalan akan berkurang dengan drastik.

Ini akan mewujudkan manfaat lain seperti berikut:

  • Mengurangkan atau menghapuskan penipuan dan kesilapan
  • Meningkatkan kualiti pengurusan inventori
  • Mengurangkan kos kurier dan penghantaran
  • Mengurangkan kelewatan pendokumentasian
  • Dapat mengenalpasti isu dan masalah dengan pantas
  • Meningkatkan kepercayaan pengguna dan rakan kongsi

Contoh Penyelesaian Pengurusan Rantaian Bekalan Menggunakan Teknologi Blockchain

  1. Hasil kerjasama Hyperledger dari IBM dan Walmart, gergasi peruncitan A.S telah Berjaya melaksanakan pengurusan rantaian bekalan untuk makanan yang dijualnya demi meningkatkan keselamatan makanan.
  2. Pengurusan rantaian bekalan biji kopi telah dilaksanakan oleh syarikat permula teknologi blockchain Bext360.
  3. Pengurusan bekalan ubat-ubatan yang dilaksanakan oleh MediLedger.
  4. Pengurusan penghantaran barangan menggunakan teknologi blockchain TradeLens, hasil kerjasama IBM dan Maersk, iaitu syarikat pengurusan perkapalan kontena terbesar di dunia.

Rumusan

Sifat blockchain yang “kebal” dari penggodaman dan gangguan adalah teras kepada kesesuaian penggunaanya dalam pengurusan rantaian bekalan. Maka, potensi teknologi blockchain dalam penyelesaian pengurusan rantaian bekalan adalah sangat luas. Peluang yang terbuka luas ini dapat dimanfaatkan oleh pelbagai syarikat sedia ada, sama ada bersaiz kecil ataupun konglomerat gergasi bertaraf antarabangsa. Kesan penggunaan teknologi blockchain akan membina era baru revolusi pengurusan rantaian bekalan, dan akan memberi manfaat yang tidak terkira kepada bukan sahaja pengguna, malahan kepada semua umat manusia.

Rujukan Lanjut:

https://www.forbes.com/sites/bernardmarr/2018/03/23/how-blockchain-will-transform-the-supply-chain-and-logistics-industry/

https://www.logisticsbureau.com/how-blockchain-can-transform-the-supply-chain/

https://www.scmr.com/article/next_gen_supply_chain_blockchain_and_supply_chain_innovation

https://blockgeeks.com/guides/blockchain-and-supply-chain/

https://www.ibm.com/blockchain/industries/supply-chain

https://techcrunch.com/2018/09/24/walmart-is-betting-on-the-blockchain-to-improve-food-safety/

https://www.bext360.com/

https://www.mediledger.com/

https://www.tradelens.com/

Penulis : Krypto Kobra

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.