Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Bagaimana Manipulasi Pasaran Matawang Kripto Berlaku?

Antara ciri utama pasaran matawang kripto adalah ketidak stabilan harga matawang kripto yang boleh naik dan turun dalam masa beberapa jam sahaja. Pasaran matawang kripto boleh dikatakan masih lagi baru tetapi dalam masa beberapa tahun sahaja jumlah modal pasaran matawang kripto sudah hampir mencecah USD$800 bilion (Januari 2018) dan tidak sampai beberapa bulan, ianya sudah jatuh lebih 70 peratus kepada lebih kurang USD$215 bilion. Tahun 2019 pula, selepas lonjakan parabolik dalam pasaran kripto, modal pasaran keseluruhan matawang kripto telah mencecah $350 bilion sebelum jatuh kembali dan sewaktu penulisan, ianya adalah $330 bilion.

Perubahan mendadak ini boleh dikatakan berlaku kerana kemunculan pemain-pemain besar termasuk pelabur institusi dan juga whale yang mampu memanipulasi pasaran matawang kripto. Sebelum pasaran matawang kripto menjadi terkenal di seluruh dunia, pasaran ini hanya disertai oleh golongan miners dan juga pengguna yang menyokong anarki. Kebanyakan transaksi berlaku dalam jumlah yang sedikit dan pada masa itu harga matawang kripto naik secara perlahan-lahan.

Lama-kelamaan apabila semakin ramai mendengar tentang matawang kripto, maka masuklah golongan yang kaya-raya dan juga mereka yang menggunakan matawang kripto untuk aktiviti haram seperti ‘mencuci’ duit atau sindiket pengedaran dadah. Pasaran matawang kripto menjadi semakin besar dan nilai matawang kripto yang naik mendadak mula menarik perhatian pelabur-pelabur besar. Mereka inilah yang berada dibelakang pergerakan aset yang besar dalam bentuk matawang kripto ke arah yang sudah ditetapkan mengikut objektif mereka.

Kini terdapat pelbagai cara manipulasi pasaran berlaku, bukan hanya dengan menguasai jumlah besar matawang kripto sahaja. Apakah antara cara-cara itu?

Manipulasi psikologi peserta dalam pasaran

Ini adalah cara yang paling halus dalam strategi manipulasi. Sebahagian besar daripada apa yang berlaku dalam jual beli matawang kripto boleh dijelaskan melalui psikologi. Seperti dalam artikel sebelum ini, di mana penulis menerangkan tentang bias-bias psikologi dalam pasaran matawang kripto –     6 Bias Psikologi yang Mendorong Pasaran Matawang Kripto  .

Seperti yang kita tahu, penyebaran khabar angin sangat efektif dalam menyebabkan reaksi yang berterusan berlaku. Dalam konteks dunia matawang kripto yang bebas dan tiada kawal seliaan, begitu mudah untuk menyebarkan sesuatu berita yang boleh menyebabkan pemegang matawang kripto menjual simpanannya atau pelabur baru membeli matawang kripto yang banyak.

Inilah asas kepada kebanyakan pelaburan scam yang berlaku. Dengan hanya menjual idea atau potensi sesuatu matawang kripto, sudah boleh menarik beribu-ribu pelabur untuk membeli matawang kripto tersebut. Inilah yang dinamakan shilling. Pada masa yang sama, khabar angin negatif terhadap sesuatu matawang kripto pula boleh menyebabkan penjualan secara besar-besaran berlaku, walaupun sumber khabar angin tidak disahkan lagi. Gejala ini pula dinamakan FUD, atau fear, uncertainty and doubt.

Manipulasi harga dalam pasaran

Fenomena ini juga sudah menjadi satu yang biasa dalam pasaran matawang kripto, khususnya bagi matawang kripto kecil yang mungkin tidak begitu dikenali. Skim pump and dump adalah satu skim yang boleh menjadikan matawang kripto itu kelihatan menguntungkan dalam jangka masa pendek dan menarik perhatian pelabur-pelabur yang amatur untuk membeli matawang kripto tersebut. Mereka biasanya menggunakan buy order atau sell order untuk menjalankan skim ini dengan cara meletak satu order yang besar untuk mendorong orang lain menjual atau membeli matawang kripto pada harga yang diiginkan. Apabila harga pasaran mencecah harga yang diinginkan, mereka akan terus membatalkan order mereka.

Selain daripada itu, terdapat fenomena baru yang dipanggil whale tacticWhale dalam konteks matawang kripto adalah mereka yang menguasai jumlah matawang kripto yang besar dan signifikan. Mereka akan menggunakan kelebihan mereka ini untuk memanipulasi harga matawang kripto dalam pasaran.

Whale tactic yang biasa digunakan adalah rinse and repeat. Kaedah ini boleh menguntungkan golongan ini dengan banyak jika dibuat pada waktu yang betul. Dalam kaedah ini, pemilik yang mempunyai jumlah matawang kripto yang besar akan mula menjual simpanannya dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran, dan ini akan menyebabkan pengguna lain mula menjual matawang kripto mereka secara panik. Whale akan memerhati dan membeli semula matawang kripto yang dijual dengan harga baru yang sangat rendah. Mereka akan mengulangi proses yang sama dengan matawang kripto lain untuk menguasai matawang kripto itu.

Manipulasi dengan menggunakan bot

Bot adalah automated trader yang menjual atau membeli matawang kripto secara otomatik, biasanya dalam pasaran jangka masa pendek. Bot kini sudah menjadi sesuatu yang diguna pakai secara meluas dalam pasaran matawang kripto oleh mereka yang mempunyai kemahiran dalam programming yang ingin mengambil kesempatan dalam suatu pasaran yang penuh dengan pelabur yang tidak berpengalaman dan tidak dikawal selia.

Bot boleh memanipulasi pasaran matawang kripto dengan pelbagai cara. Antaranya adalah dengan menaikkan harga matawang kripto secara buatan (artificial). Sama seperti skim pump and dump, bot akan membuat pembelian matawang kripto untuk menaikkan (“pump”) harga matawang kripto tersebut, dan apabila pelabur baru mula membeli matawang kripto dengan harga buatan itu, bot secara otomatik akan menjual (“dump”) matawang kripto tersebut.

Bot juga boleh menyebabkan pasaran sesuatu matawang kripto jatuh seperti dalam kes matawang kripto Neo. Pada bulan November 2017, platform pertukaran matawang kripto mula menemui tanda-tanda beberapa bot jual beli di platform mereka secara serentak. Keadaan pasaran yang tidak stabil ketika itu ditambah pula dengan penjualan oleh bot secara serentak menyebabkan harga Neo jatuh daripada USD$34 ke USD$3.74 dalam masa beberapa saat sahaja. Dalam keadaan itu, sukar untuk mengelak daripada berlakunya kerugian sehingga terlambat.

Kesimpulan

Mungkin banyak lagi cara-cara pasaran matawang kripto boleh dimanipulasi. Ini adalah antara kesan negatif daripada pasaran bebas yang tidak dikawal selia. Salah satu prinsip ekonomi mungkin menunjukkan setiap individu akan sentiasa bertindak secara rasional dan mengikut akal logik, namun begitu apabila berdepan dengan manipulasi seperti ini di mana ada yang cuba mengambil kesempatan, kita boleh lihat ramai yang tersungkur kepada emosi.

Seperti biasa, jadilah pelabur yang bijak dan berfikiran rasional dalam membuat keputusan dalam pelaburan.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads