Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Bagaimana untuk Terangkan tentang Blockchain dan Kripto kepada Layman

Tahun baru sudahpun masuk. Sepatutnya Blockchain dan matawang kripto sudah menjadi sesuatu yang biasa didengar oleh orang ramai. Memandangkan kebanyakan kerajaan akan mula menguatkuasakan undang-undang kripto melalui tahun 2019, berita tentang kripto sudah mula menembusi laman berita utama dan orang ramai nampaknya makin peka dengan isu tentang kripto.

Namun begitu, tidak ramai yang betul-betul memahami teknologi ini. Samalah seperti sewaktu Internet mula-mula diperkenalkan. Tapi tidak mengapa. Kali ini penulis ingin berkongsi dengan anda bagaimana untuk menerangkan tentang Blockchain dan kripto kepada layman.

Jadi sesiapa yang ingin berkongsi kehebatan kripto ini dengan rakan-rakan atau ada orang baru yang bertanya tentang kripto kepada mereka, boleh rujuk mereka kepada artikel ini ya.

Soalan pertama: Bitcoin tu apa?

Pasti anda pernah ditanya soalan ini kan? Biasanya orang akan tanya kerana melihat harganya yang lebih tinggi dari harga saham di pasaran. Ataupun yang dengar tentang orang lain untung besar dalam “program” Bitcoin.

Bagaimana nak jawab? Yang ini mudah sahaja.

Bitcoin tu adalah matawang digital. Macam matawang fiat, tetapi ia tiada bentuk fizikal dan hanya wujud dalam dunia digital. Fungsi Bitcoin asalnya sama macam matawang fiat, untuk membeli barangan atau perkhidmatan. Tetapi sekarang Bitcoin boleh didagang di pasaran macam saham. Beza dia wang tunai, kad kredit/debit dan saham dikawal pihak ketiga (bank,syarikat kad kredit, broker saham), tetapi Bitcoin dikawal sepenuhnya oleh kita sendiri.

EXMO affiliate program

Dekat sini mesti dah ada yang garu kepala. Seterusnya, mereka akan bertanya,

Bagaimana Bitcoin berfungsi?

Di sini anda kena terangkan tentang teknologi Blockchain pula. Cara yang mudah adalah dengan menerangkan melalui analogi.

Bayangkan terdapat satu dinding besar yang dipenuhi peti gelas (alamat wallet) yang dikelilingi sekumpulan orang (nod-nod/pelombong). Dalam sebahagian peti-peti tersebut ada sejumlah syiling. Sesiapa sahaja boleh melihat berapa banyak jumlah syiling dalam kotak-kotak itu.

Semua orang melihat seorang individu menggunakan kunci (kata kunci wallet) untuk membuka peti tersebut, mengambil syiling dalam peti itu dan memasukkannya ke dalam peti lain. Seorang kerani yang menjaga peti-peti itu akan menulis transaksi ini dalam satu buku lejar.

“Syiling berpindah dari peti nombor 8 ke peti nombor 15.”

Masa berlalu dan semakin ramai yang datang menggunakan kunci mereka untuk membuka peti dan memindahkan syiling dari peti itu ke satu peti yang lain. Pada masa yang sama kerani tadi akan merekod semua transaksi yang berlaku.

Selepas 10 minit, kerani tadi akan menutup buku lejarnya, meletakkan satu nombor siri yang merujuk buku lejar sebelumnya (hash), dan mengalu-alukan sesiapa yang melihat tadi untuk menyelesaikan satu masalah matematik. Beberapa orang dengan kalkulator (pelombong) cuba menyelesaikannya, dan siapa yang paling cepat akan meletakkan buku lejar itu tadi ke dalam satu rak yang mempunyai buku-buku lejar lain (blockchain). Pemenang itu mendapat ganjaran dalam bentuk syiling baru.

Kitaran ini berulang setiap 10 minit selagi masih ada orang yang melihat peti-peti itu.

Boleh faham? Sudah tentu banyak lagi cara lain untuk menerangkan Blockchain dan kripto secara mudah mengikut tahap kefahaman seseorang. Dan di atas hanya salah satu daripadanya. Dan daripada analogi tadi, anda boleh terangkan kelebihan Blockchain lebih lanjut.

Mengapa sekumpulan orang perlu melihat peti-peti gelas tadi?

Sebelum wujudnya Blockchain, terdapat pihak ketiga yang menjaga duit kita, seperti bank atau syarikat kad kredit. Mereka yang akan memproses bayaran kita, mengesahkan pemindahan wang ke akaun bank lain, dan memastikan transaksi yang dijalankan selesai dengan selamat.

Namun begitu, merekalah yang mengawal duit kita. Jika berlaku penyelewengan atau penutupan bank, kemungkinan besar simpanan kita akan terjejas. Maklumat peribadi kita juga dipegang oleh bank. Bagaimana jika ia dicuri? Bagaimana pula dengan aliran keluar masuk duit kita yang dipantau oleh bank?

Dalam Blockchain, sesiapa sahaja boleh melihat transaksi yang berlaku. Rangkaian dipantau oleh nod-nod yang juga pelombong yang akan mengesahkan transaksi. Mereka memastikan Bitcoin tidak dibelanjakan lebih dari sekali, dan mereka tidak mengetahui maklumat peribadi anda.

Inilah kelebihan Blockchain iaitu telus.

Mengapa Blockchain lebih selamat?

Ingat tak tentang rak yang menyimpan buku-buku lejar tadi? Setiap buku lejar yang baru akan bersambung dengan buku lejar sebelumnya melalui nombor siri, dan dalam kes Blockchain, ia adalah dalam bentuk hash. Disebabkan setiap blok merujuk blok-blok sebelumnya, jika seseorang cuba mengubah sesuatu dalam blok itu, contohnya alamat penerima satu transaksi, keseluruhan hash blok itu akan berubah.

Orang itu perlu mengubah setiap blok yang berhubung dengan blok tadi. Ia tidaklah mustahil, tetapi memakan masa yang sangat lama dan kos yang tinggi untuk menyelesaikan masalah matematik hash tadi. Itulah maksud immutability Blockchain.

Baca, baca dan baca.

Sudah tentu penerangan di atas hanya asas yang sedikit kepada Bitcoin dan Blockchain, tetapi ianya cukup sebagai pengenalan. Jika rakan atau ahli keluarga atau orang yang bertanya anda berminat ingin tahu lebih mendalam, boleh ajak dia membaca artikel-artikel coin.my. Semuanya ada di sini.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.