Default – Above Header Ads

Bitcoin: Matawang, Komoditi, Sekuriti atau Identiti Baru? Satu Perbincangan Minda Syariah (Bahagian II)

Di bahagian kedua ini, mari kita lihat peranan dan tingkahlaku (behaviour) matawang dalam kehidupan dunia ini sejak berabad tahun dahulu, apabila manusia pertama diturunkan di atas muka bumi ini. Mungkin di awal fasa kehidupan manusia, manusia tidak lagi mengenali matawang. Barang ditukar dengan barang. Sebilah pisau ditukar dengan segenggam bijirin jagung. Itulah tahap kebijaksanaan manusia di era tersebut. Tidak ada alat pertukaran dan tiada ada mekanisma mengukur nilai dan sukatan.

Kemudian manusia mula berjinak dengan mekanisma wang atau alat pertukaran. Manusia tidak perlu lagi menukar sebilah pisau dengan segenggam bijirin jagung. Namun, agak sukar untuk mengetahui bilakah era ini bermula dan apakah bentuk matawang pada permulaaan masa tersebut.

Dalam surah al-Kahfi, disebutkan tentang wang ‘coin’ iaitu wariq apabila salah seorang dari beberapa orang pemuda (selepas bangun dari tidur lama mereka) ditugaskan untuk pergi ke bandar untuk membeli makanan untuk mengisi perut yang kelaparan menggunakan matawang duit syiling. Jadi, matawang dalam konteks alat pertukaran kepada barang dan perkhidmatan sudahpun berlaku di zaman itu.

Dalam pembacaan umum kita, matawang masyarakat manusia di zaman dahulu mungkin berasal dari logam emas, perak atau logam-logam lain (yang pastinya mempunyai nilai komersil) atau dari bahan-bahan lain yang mungkin tidak ada nilai intrinsiknya seperti kulit kerang, bulu ayam, gading gajah, kulit haiwan, tulang haiwan (atau tulang manusia) dan seumpamanya. Jelas bahawa asas kepada matawang bukanlah nilai pendasarnya tetapi kemampuannya untuk bertindak menjadi alat pertukaran (medium of exchange).

Buku teks kewangan moden menyebut dua lagi anasir atau rukun utama untuk sesuatu mawatang iaitu ‘store of value’ dan ‘unit of measurement’. Bagi saya, vertikal yang paling penting adalah kebolehan sesuatu perkara itu dijadikan alat pertukaran apabila kita membeli barang atau perkhidmatan walaupun mungkin ia tidak berupaya menjadi alat pengukur nilai dan sukatan.

Apabila Imam Malik mengisyaratkan bahawa matawang boleh dijadikan daripada kulit binatang, ia sekaligus memberi makna bahawa matawang tak semestinya mempunyai nilai intrinsik dan juga, ianya tidak semestinya boleh menjadi alat pengukur nilai dan sukatan.

Dalam era tertentu, mawatang dicetak daripada emas dan perak (dikenali dalam tradisi Islam sebagai dinar dan dirham). Ini agak “luarbiasa” kerana matawang ini juga, dalam masa yang sama, adalah suatu komoditi yang laku dan ada harga dalam pasaran. Sekiranya tanda atau cop tertentu di atas matawang itu telah dinyahkan, pemilik bahan logam ini masih boleh menjualnya di pasaran dengan mudah. Ini kelebihan mawatang yang dibuat daripada logam emas dan perak. Ia ada dua peranan dan tingkahlaku.

Default – Inside Post Ads

Mungkin kekurangan dalan konteks ini ialah sesebuah negara itu perlu mempunyai rezab emas atau perak yang besar untuk mengeluarkan unit matawang berdasarkan bahan logam yang tersimpan secara fizikal. Kalau kita memerlukan matawang yang beredar dalam sesebuah negara (money in circulation) misalnya berjumlah atau bernilai 100 bilion dolar Amerika, pastinya kita mesti mempunyai rezab emas yang sebanyak itu. Ini berbeza dengan peranan dan tingkahlaku matawang fiat. Walaupun ia tidak sempurna, ia boleh berperanan sebagai alat pertukaran yang efektif (tanpa ada keperluan kepada aset sandaran), tetapi semuanya dilakukan melalui rangkaian institusi kewangan.

Pada tahun 2009, Bitcoin iaitu wang digital pertama telah dilahirkan ke dunia ini. Ia berlaku selepas dunia baru sahaja mula melangkah untuk meninggalkan sejarah krisis kewangan global yang paling besar sejak tahun 1930an. Motif pertama adalah untuk tidak menjadikan matawang ini terdedah dengan aktiviti kewangan yang berbentuk ‘weapon of mass destruction’.

Dalam krisis kewangan 2008-2010, kegagalan kewangan adalah sifat rakus manusia, sikap tidak objektif setengah pihak dalam menilai risiko kewangan dan paling utama, transaksi derivatif yang hanya berjual beli angka dan nombor.

Namun, pengasas teori matawang digital percaya kepada elemen baru iaitu ‘decentralised’ atauppun matawang bukan lagi dikuasai oleh institusi perbankan tetapi diurus dan dikawal selia oleh orang perseorangan sesama mereka. Ini adalah respon beliau (atau mereka) kepada krisis kewangan global. Beliau (atau mereka) telah mencipta satu formula metamatik yang cukup canggih untuk dilombong oleh pihak yang melombong matawang digital. Formula metamatik ini dibentuk melalui teknologi kriptografi, teknologi hash-chain dan block-chaining.

Ini adalah gabungan yang pertama dalam dunia ini yang menjadikan kod matawang digital ini sukar ditembusi dan dirosakkan. Matawang digital juga telah diperkukuhkan dengan ‘distributed ledgers’ atau ‘buku lejar atau akaun yang ada di merata tempat’ untuk tujuan penjagaan kod ini tidak ditipu dan dipinda. Adalah sukar untuk kita meminda kod yang ada dalam setiap lejar matawang digital yang terdapat di merata tempat kerana secara logiknya, seseorang itu perlu meminda setiap lajer tersebut untuk hanya meminda (atau hack) mana-mana kod tertentu.

Adakah matawang digital ini atau lebih tepat matawang kripto satu matawang yang sah dari sudut pandang Syariah? Jawapan saya, ya. Ia memenuhi semua syarat matawang (melainkan syarat ia mesti ada pengiktirafan negara tertentu atau “legal tender” kepada mereka yang melihat aspek ini penting dalampenentuan hukum Syariah).

Pandangan yang mengatakan bahawa aspek naik turun nilai sesetengah matawang kripto yang ‘luarbiasa’ seperti Bitcoin adalah tidak layak kepada sesuatu sifat matawang. Matawang, pada pandangan mereka, sepatutnya stabil dan tidak berubah-ubah secara mendadak.

Ini adalah pandangan yang kurang wajar kerana dalam sejarah matawang biasa, terdapat matawang yang telah turun nilai atau naik nilainya di luar jangkaan. Tetapi, semua itu tidak menukarkan tabiat matawang itu kepada matawang yang tidak sah (dan tidak patuh Syariah). Ini adalah hanya aspek pasaran dan ‘kepercayaan’ orang kepada kekuatan sesuatu matawang. Matawang Amerika sebagai matawang terkuat di dunia pun pernah mengalami keadaan ini.

Kalau sekiranya Bitcoin tidak dapat diterima sebagai matawang kepada dunia ini, paling kurang ia boleh menjadi matawang yang sah kepada mereka yang ingin mempercayai kepada nilai Bitcoin ini. Lantas, ia boleh menjadi matawang kepada sekumpulan tertentu. Aspek risiko ‘penyucian wang haram’ yang tidak dapat dikawal kalau dibenarkan Bitcoin adalah satu hujah lapuk.

Wang kertas pun terdedah kepada aktiviti tidak sihat sebelum penguatkuasaan polisi “know your customer (KYC)” dan “anti-money laundering (AMLA)” dan sehinggalah sekarang. Melihat ke belakang, adakah wang kertas pada masa di mana tiada pengawasan ke atas sumber pendapatan yang tidak sah, bukan satu matawang yang sah? Ini tidak mungkin. Kita dan minda sebenarnya lebih cekap daripada teknologi digital untuk mengawal selia urus niaga kewangan yang meragukan. Kalau hendak seribu jalan, kalau tak nak seribu dalih.

Ini adalah salah satu aspek perbincangan. Perbincangan menjadi lebih mencabar kerana matawang digital, walaupun dinamakan dengan label matawang, boleh juga dianggap sebagai barang dan komoditi yang bebas dari elemen wang dan juga elemen riba. Apakah alasan dan justifikasi Syariah kepada pertimbangan ini? Ikuti rencana seterusnya di bahagian III.

Datuk Dr Mohd Daud Bakar

Pandangan dalam artikel ini tidak semestinya mengambarkan pandangan mana-mana institusi dan organisasi yang mungkin penulis terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.