Default – Above Header Ads

Bolehkah teknologi Blockchain wujud tanpa Matawang Kripto?

Apabila kita bercakap tentang teknologi Blockchain, secara otomatik kita pasti akan terfikir tentang matawang kripto. Kedua-duanya telah wujud seiringan sejak Bitcoin diperkenalkan. Satu salah faham yang sering timbul, lebih-lebih dalam kalangan mereka yang anti-matawang kripto adalah bahawa teknologi Blockchain adalah satu revolusi baru dalam perkongsian data dan ianya adalah satu teknologi yang transformatif, manakala matawang kripto ini hanya hype semata-mata dan tidak lama lagi gelembung pasaran matawang kripto akan pecah.

Hakikatnya, kedua-dua teknologi Blockchain dan matawang kripto tidak dapat dipisahkan. Ya, secara teknikal memang Blockchain boleh wujud tanpa matawang kripto. Contoh terbaik adalah projek Hyperledger  yang ditubuhkan Linux Foundation, Corda oleh R3CEV, dan rangkaian Gem Health yang merupakan private blockchain. Peserta perlu mendapatkan jemputan dan pengesahan daripada ahli lain untuk memasuki private blockchain dan akses yang diberikan mungkin terhad mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Mengapa matawang kripto?

Dalam kes private blockchain, matawang kripto tidak diperlukan kerana proses pengesahan akan dilakukan oleh peserta yang sudah disahkan dalam rangkaian, yang juga akan memastikan keseluruhan sistem berjalan dengan lancar kerana itulah matlamat mereka. Berbeza dengan public blockchain. Token atau coin – daripada Bitcoin, Ether, Monero, Dash dan seterusnya – adalah satu keperluan dan juga cara untuk  menyertai protokol public blockchain. Ia adalah satu bentuk insentif kepada orang ramai untuk menyumbang masa dan tenaga kepada rangkaian Blockchain dan mengemaskini lejar.

Sejak kebelakangan ini, kita selalu mendengar pertikaian tentang sama ada matawang kripto adalah matawang atau tidak. Perkataan “matawang” dalam matawang kripto adalah satu misnomer, atau penggunaan yang kurang tepat. Dalam lebih kurang 1500 matawang kripto di pasaran, tiada satu pun yang berfungsi sebagai matawang. (Baru-baru ini kerajaan Venezuela mengumumkan matawang kripto negara itu, “Petro” yang bersandarkan sumber minyak negara itu. Terlalu awal untuk membuat konklusi tentang Petro). Malah, Bitcoin yang dinobatkan sebagai matawang pada asalnya kini lebih digunakan sebagai penyimpanan nilai, dan bukannya matawang.

Matawang kripto adalah aset digital yang berkait rapat dengan nilai suatu protokol Blockchain. Ia umpama perwakilan kepada Blockchain yang digunakan, dan faktor terbesar yang mempengaruhi permintaan dan bekalan sesuatu matawang kripto adalah potensi Blockchain matawang kripto itu. Pelaburan dalam matawang kripto sepatutnya bukan sekadar melihat harga naik turun di pasaran kerana itu adalah pandangan jangka masa pendek yang berisiko tinggi.

Network effects dan keperluan matawang kripto

Default – Inside Post Ads
Sumber: https://www.cbinsights.com/research/team-blog/data-network-effects/

Pernahkah anda mendengar istilah network effects? Mari kita lihat kes-kes seperti Facebook atau Airbnb. Kedua-duanya melalui perkembangan dengan kadar yang cepat disebabkan oleh network effects. Semakin popular aplikasi atau laman web itu dalam kalangan pengguna, semakin tinggi nilai syarikat itu. Dan semakin bertambah bilangan pengguna, semakin bagus produk yang dikeluarkan untuk meningkatkan permintaan. Begitulah kitarannya. Sama seperti Blockchain, di mana utilitinya dan nilainya bertambah apabila bilangan pengguna bertambah.

Dan untuk memastikan keseluruhan ekosistem itu kekal dalam keadaan yang lancar, matawang kripto diperlukan sebagai ganjaran dan insentif kepada miner. Pengguna akan melihat utiliti Blockchain yang efisien, kadar transaksi yang cepat dan murah dan akan mula melabur dalamnya. Dan dalam beberapa kes lain, token diperlukan untuk menggunakan platform Blockchain tersebut.

Contohnya Ethereum, di mana token Ether diperlukan sebagai gas fee. Atau token REP dalam platform Augur, suatu platform ramalan berdasarkan Blockchain. Pemilik REP menggunakan token mereka untuk meramal sesuatu peristiwa dan akan menerima ganjaran dalam bentuk REP jika ramalan mereka jatuh dalam majoriti atau akan kehilangan REP jika ramalan tidak menjadi benar. Platform Augur tidak boleh berfungsi tanpa REP, kerana penciptanya telah menggunakan REP sebagai insentif untuk menarik orang ramai membuat ramalan dan melaporkan peristiwa yang benar.

Berlainan pula dengan kes XRP atau Ripple. Dalam infrastruktur Ripple, tiada miner yang terlibat dalam Blockchain tersebut. Kesemua 100 bilion XRP telah wujud semasa ianya dilancarkan pada tahun 2012. Malah, Ripple menggunakan protokol konsensus tersendiri, yang dinamakan Ripple Protocol Consensus Algorithm (RPCA) yang mempunyai senarai nod yang dipercayai (terdiri daripada institusi dan bank) untuk mengesahkan transaksi. Ini bermakna Blockchain Ripple tidak memerlukan token untuk berfungsi, dan hampir semua peserta Blockchain (bank) menggunakan Ripple untuk bertukar IOU digital, di mana mereka melangsaikan hutang menggunakan matawang fiat.


Kesimpulannya, Blockchain boleh berfungsi tanpa matawang kripto. Tetapi seperti cog dalam roda, atau minyak pelincir dalam enjin, matawang kripto memastikan terdapat insentif untuk menyertai suatu rangkaian Blockchain. Apalah nilai sesuatu Blockchain tanpa pengguna, bukan?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.