Default – Above Header Ads

Ideologi Politik dan Matawang Kripto

Bitcoin dicipta dengan ideologi Libertarianisme. Ideologi ini mempunyai banyak nama lain – anarcho-capitalism, libertarian anarchy, anarki pemasaran – tetapi teras ideologi ini adalah pembebasan daripada penguasaan satu kuasa pusat yang sudah tidak dipercayai. Kewujudan Bitcoin adalah reaksi kepada krisis kewangan yang berlaku kerana kecuaian pihak kerajaan dalam deregulasi industri perbankan.

Bila kita bercakap tentang dunia matawang kripto, kita mungkin tidak akan mengaitkannya dengan politik. Dalam dunia di mana perkataan ‘politik’ membawa konotasi yang negatif, contohnya penyelewengan kuasa oleh pentadbir, sukar untuk kita melihat tanda-tanda ‘politik’ dalam dunia matawang kripto. Asas kewujudan matawang kripto adalah pengembalian kuasa kepada orang ramai dan kebebasan untuk membuat transaksi sesama sendiri tanpa pengawal seliaan mana-mana pihak.

Tetapi adakah politik betul-betul tidak wujud dalam dunia matawang kripto? Infrastruktur Bitcoin dan teknologi Blockchain itu sendiri adalah satu sistem yang neutral. Namun begitu, sepertimana penciptaan Bitcoin adalah berdasarkan ideologi Libertarianisme, idea-idea politik dan metapolitik pasti akan menembusi dunia matawang kripto.

Pencipta Bitcoin, Satoshi Nakamoto, sebagai seorang Libertarian

Teras Bitcoin yang berdasarkan konsep Libertarianisme percaya bahawa masyarakat sendiri boleh mendorong tingkah laku individu dalam sebuah ekonomi yang bebas, bukannya kerajaan pusat atau monopoli oleh syarikat besar. Satoshi Nakamoto pernah mengeluarkan kenyataan tentang idea di sebalik Bitcoin, “Ianya sesuatu yang menarik pandangan Libertarianisme jika boleh dijelaskan dengan betul. Namun begitu, saya lebih senang berinteraksi dengan kod daripada perkataan”.

Kewujudan Bitcoin adalah sesuatu yang menyokong konsep Libertarianisme, lebih-lebih dalam keadaan kejatuhan bank dan krisis ekonomi. Walaupun Bitcoin tidak akan menjadi popular sehinggalah beberapa tahun selepas ia dicipta, Satoshi Nakamoto yang masih lagi tidak diketahui identitinya dianggap sebagai seorang yang berpengaruh dalam komuniti yang menyokong ideologi Libertarianisme. Malah, identiti Satoshi Nakamoto seringkali dikaitkan dengan Julian Assange, pencipta Wikileaks, Nick Szabo, Hal Finney dan beberapa lagi orang yang menyokong ideologi yang sama.

Apa itu libertarianisme? Ideologi berhaluan kanan atau kiri?

Perkataan Libertarianisme mempunyai kata akar “libertas” atau “liberty” dalam bahasa Inggeris yang membawa maksud kebebasan. Ideologi Libertarianisme ini adalah kombinasi falsafah politik yang mengangkat kebebasan sebagai prinsip paling penting dalam kehidupan manusia. Dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Cato Institute (sebuah institusi yang terkenal dengan ideologi berhaluan kanan), antara konsep-konsep penting Libertarianisme adalah kepentingan hak individu, campur tangan kerajaan yang terhad dan juga pasaran bebas.

Ideologi Libertarianisme ini dahulunya lebih popular dalam kalangan mereka yang menyokong politik berhaluan kanan, terutama di Amerika Syarikat. Ini adalah kerana pada tahun 1980-an kebanyakan parti yang mempunyai label haluan kanan yang ekstrem ingin memajukan agenda pasaran bebas dan juga neoliberalisme, atau prinsip ekonomi laissez-faire. Pada masa yang sama libertarianisme, atau pada waktu itu digelar liberalisme klasik yang ekstrem juga menyokong kuat hak individu serta autonomi dari kuasa kerajaan. Pengikut Libertarianisme menyokong kuat hak negatif (negative rights), undang-undang asasi (natural law), hak harta peribadi (private property rights) dan hak untuk pengagihan sumber semulajadi.

Namun begitu, konsep Libertarianisme juga boleh dikaitkan dengan ideologi haluan kiri. Left-libertarianisme ingin memansuhkan kapitalisme dan melihat hak harta peribadi sebagai halangan kepada kebebasan. Golongan ini percaya sumber alam ini adalah milik semua orang, tidak kira sama ada ia dimiliki secara peribadi ataupun tidak. Sosialis libertarianisme yang dianggap haluan kiri ekstrem menyokong kuat teori ekonomi sosialis, yang mengetengahkan konsep komunisme, kolektivisme, syndicalism (sebagai pengganti kapitalisme) dan mutualism (dibawa oleh ideologi anarki).

Jadi, adakah ideologi Libertarianisme disebalik penciptaan Bitcoin berhaluan kiri atau kanan?

Software sebagai ideologi haluan kanan yang ekstrem

Sebuah buku berjudul “The Politics of Bitcoin: Software as Right Wing Extremism” yang ditulis oleh David Golumbia telah diterbitkan pada tahun 2016. Buku ini menceritakan bagaimana idea di sebalik penciptaan Bitcoin dan teknologi Blockchain adalah berdasarkan ideologi yang disebarkan oleh penyokong politik haluan kanan seperti Milton Friedman, F.A. Hayek, Ludwig von Moses.

Satu petikan dalam buku tersebut berbunyi, “Doktrin cyberlibertarian tidak berkembang dalam vakum. Ia boleh dimasukkan, dan mungkin tidak akan menolak, ke dalam pemikiran haluan kanan dalam kebanyakan politik kontemporari. Ia menjadi jelas apabila kita melihat doktrin dan polisi  politik dan ekonomi yang dipanggil libertarianisme di Amerika Syarikat (diamalkan oleh institusi berhaluan kanan seperti Cato Institute, the Heartland Foundation, the Mises Institute, Tea Party dan tokoh politik seperti Ron Paul dan Rand Paul) dan juga satu lagi doktrin hampir serupa iaitu neoliberalisme. Kedua-dua doktrin atau dogma ini datang daripada pemikir tegar haluan kanan seperti Friedrich August von Hayek, Ludwig von Mises, Milton Friedman Rothbard dan juga pengikut mereka”.

Penulis buku ini turut menamakan tokoh seperti Elon Musk, Peter Thiel, Eric Raymond, Jimmy Wales, Eric Schmidt dan Travis Kalanick sebagai penyokong ideologi haluan kanan. Apa yang menarik adalah penulis buku ini mengaitkan tokoh-tokoh ini dengan ideologi haluan kanan yang menyokong dasar fasis atau nationalisme yang ekstrem, dan autokratik. Beliau juga mengatakan bahawa teras Bitcoin dan juga matawang kripto lain menyebelahi politik haluan kanan, dan tidak relevan bagi politik haluan kiri.

Anarcho-capitalism dalam dunia kripto

Ideologi anarcho-capitalism adalah sesuatu yang popular dalam kalangan peminat kripto. Ia adalah falsafah politik yang menyokong pemansuhan kuasa pusat untuk memberi jalan kepada pemilikan persendirian (self-ownership). Golongan ini percaya bahawa ketiadaan undang-undang yang ditetapkan oleh kuasa pusat akan melahirkan masyarakat yang mampu mengawal selia sesama sendiri (self-regulate) melalui tingkah laku pemain dalam pasaran bebas.

Dalm konteks dunia matawang kripto, penyokong anarcho-capitalism menginginkan satu ekosistem di mana tiada campur tangan kerajaan dan tiada kawal seliaan. Dan ini telah melahirkan satu lagi golongan yang dilabel sebagai crypto-anarchist. Jika anda membaca tentang sejarah sebelum kewujudan Bitcoin, anda pasti akan membaca tentang Cypherpunk dan Manifesto oleh Timothy C. May, seorang crypto-anarchist. Penulis juga pernah mengulas tentangnya di artikel ini: Manifesto Cypherpunk/Crypto Anarchist Dua Dekad Lalu dan Realiti Hari Ini.

Kesimpulan

Sepertimana yang kita dapat lihat, ideologi utama di sebalik dunia matawang kripto adalah Libertarianisme. Matawang kripto memansuhkan kawalan kerajaan (dalam ekonomi), dan membuatkan undang-undang sukar untuk ditetapkan oleh satu kuasa pusat. Ini bermakna seorang individu boleh membuat transaksi secara bebas – sama ada menyalahi undang-undang atau tidak – sesuatu yang tidak dapat dilakukan sebelum matawang kripto wujud.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.