Default – Above Header Ads

IoT: Semua Benda pun Ada Internet!

IoT: Semua Benda Pun Ada Internet!

Selain Blockhain, Bitcoin dan Revolusi Industri Keempat, satu istilah yang sedang hype dan seringkali di(salah) gunakan ialah Internet of Things, atau secara ringkasnya IoT. Sesiapa yang menggunakan istilah IoT ini dalam percakapan seharian mereka atau penulisan laporan kepada pihak atasan, pasti akan dilihat sebagai hipster dan boleh pergi jauh ke hadapan.

Tetapi apa sebenarnya IoT ni? Mengapa sejak kebelakangan ini ia seringkali kedengaran, baik di dada-dada akhbar, corong-corong radio atau di kaca televisyen?

Ok sedikit bohong di situ. Mana ada dah orang baca suratkhabar atau dengar radio di zaman ni. Tempat yang paling banyak istilah IoT ini keluar pastilah di skrin telefon pintar atau komputer riba anda bukan?

Mudahnya, IoT ni bolehlah diterjemahkan kepada peralatan atau perkakasan yang berhubung dengan internet dan semuanya disambungjalinkan antara satu sama lain dengan satu sistem rangkaian berpusat. Sistem rangkaian berpusat ini pula akan berkongsikan data dan maklumat kepada peralatan dan perkakasan yang lain, agar satu ekosistem yang dinamik lagi harmoni dapat diwujudkan yang dapat memberikan perkhidmatan yang khusus (tailor made) kepada pengguna.

Bunyinya seperti terlalu canggih dan sofistikated untuk anda hadamkan bukan? Atau seolah-olah satu babak dalam filem futuristik di satu zaman puluhan tahun akan datang bukan?

Tidak mengapa, ambil masa anda untuk mencernanya.

Hakikatnya, tanpa anda sedari atau tidak, anda telah pun menggunakan beberapa teknologi, perisian atau perkakasan yang memanfaatkan IoT ini. Anda perasan tak, setiap kali selepas anda habiskan berjam-jam lamanya mencuci mata di Lazada, Zalora, Shopee atau apa-apalah platform beli-belah atas talian (yang anda tak beli apa-apa pun!), kemudian anda kunjungi pula Facebook anda, apa yang selalunya berlaku? Produk-produk yang anda acah-acah berminat sewaktu anda mengunjungi Lazada itu, kini terpampang pula di Facebook anda! Tidak cukup dengan itu, Facebook secara ‘pintarnya’ seakan-akannya tahu apa yang sedang anda cari dengan mencadangkan pula produk-produk lain yang hampir serupa.

Pernah bukan?

Dalam kes yang lain, kadangkala apabila anda terlupa mematikan mikrofon pada telefon pintar anda dan kemudiannya anda menyebut sesuatu, “Basikal” misalnya, tidak pasal-pasal basikal pelbagai jenama muncul di portal pencarian sebaik sahaja anda membuka komputer riba anda. Ajaib bukan? Sehingga menyebabkan anda tergaru-garu kepala dan hidung anda yang tidak gatal itu.

Ya, inilah sebahagian daripada aplikasi IoT. Di alam realiti yang tidak begitu jauh dari sekarang, kegunaan IoT jauh melangkaui dari sekadar laman-laman media sosial mengetahui agenda tersembunyi anda.

Bayangkan begini. Anda sedang berjoging dan anda memakai jam pintar yang mencatat serba-serbi keadaan kesihatan anda, dari berapa liter peluh yang anda rembeskan kepada berapa degupan jantung anda dalam masa seminit. Selesai berjoging, anda singgah di kedai serbaneka untuk membeli minuman bagi menghilangkan haus. Dengan IoT, sebaik sahaja anda melangkah masuk ke dalam kedai itu, robot atau perisian di kedai itu sudah pun mencadangkan apa minuman yang terbaik untuk anda ambil bagi mengembalikan tenaga tubuh badan anda yang sudah lesu.

Atau begini. Anda membeli peti sejuk yang dilengkapi dengan sensor dan teknologi yang dapat membantu anda mengoptimumkan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk. Apabila susu yang anda beli pada minggu lepas hampir mendekati tarikh luputnya, peti sejuk itu akan menghantar peringatan kepada telefon pintar anda agar segera menghabiskan susu tersebut. Atau menghantar mesej kepada pembekal peti sejuk itu bahawa ada bahagian perkakasan yang perlu diperbaiki atau ditukar ganti.

Atau sejenis peranti yang anda pakai atau kapsul kecil yang anda tanam di bawah kulit anda, yang boleh menyukat kadar gula dalam darah, kandungan kolesterol dan entah apa-apa lagi. Ia akan segera memberi amaran kepada hospital yang berdekatan apabila tekanan darah anda turun secara mengejut contohnya, atau untuk penghidap penyakit kencing manis, kadar gula dalam darah menurun secara mendadak. Dengan ini, ia dapat mengurangkan kadar kematian dengan signifikan kerana keadaan kesihatan semasa anda dikemaskini secara langsung kepada pihak hospital.

Wah, hebat bukan?

Disebabkan potensi IoT yang cukup besar dalam mempengaruhi kehidupan seharian kita, tidak hairanlah ia dijangkakan bakal memberi impak yang cukup besar kepada sektor ekonomi global.

Gartner, sebuah syarikat penyelidikan dan perundingan menganggarkan peranti IoT akan mencecah 20.4 bilion unit menjelang 2020. Ini adalah satu anggaran yang konservatif, kerana sebuah firma lain, BI Intelligence meramalkan angkanya akan mencecah 24 bilion manakala IDC, sebuah syarikat global yang menawarkan perkhidmatan nasihat dan kecerdasan pasaran, menjangkakan sekitar 30 bilion peranti IoT akan dipasang menjelang 2020.

Angka ini akan terus meningkat kepada 125 bilion unit menjelang 2030 menurut HIS Markit. IDC juga meramalkan jualan dari IoT akan mencecah US$357 bilion menjelang akhir tahun 2019. Bain & Company, sebuah firma perundingan terkenal di seluruh dunia, menjangkakan angka ini akan meningkat kepada US$450 bilion pada akhir 2020. McKinsey & Company pula menganggarkan IoT akan memberi impak bernilai US$11.1 trilion kepada ekonomi global menjelang 2025.

Mak aih. Dahsyat betul IoT ini!

Tetapi setiap ciptaan makhluk bernama manusia itu, pasti ada kelemahannya bukan? IoT tidak dapat lari daripada beberapa kekurangan yang sekiranya tidak ditangani dengan baik, pasti akan mengundang bencana.

Seperti yang sudah dijelaskan, ciri utama IoT ialah perkongsian maklumat dan data penting di internet secara berterusan tanpa henti. Hal ini menyebabkan peranti IoT menjadi ‘lubuk emas’ buat para penggodam di luar sana. Serangan penggodam terhadap Mirai Botnet DDos suatu ketika dahulu yang melumpuhkan perkhidmatan internet di bahagian Pantai Timur Amerika sehingga menjejaskan Twitter, Netflix dan Reddit sewajarnya menjadi peringatan buat semua.

Di sinilah teknologi blockchain boleh memainkan peranannya dan menutup kelompongan yang ada pada IoT.

Ciri utama Blockchain yang memanfaatkan kriptografi dan lejar teragih (distributed ledger) dapat memastikan perpindahan data dan maklumat berlaku dengan selamat dan penuh integriti. Blockhain yang tidak mempunyai kawalan pusat (decentralised) juga memastikan risiko kegagalan titik tunggal (single point failure) dapat dielakkan, yang merupakan tapak kaki Achilles bagi IoT.

Aplikasi kontrak pintar (smart contract) yang ada pada sebahagian blockhain juga dapat memberi nilai tambah pada IoT. Dengan kontrak pintar, peranti atau perisian IoT dapat berjalan secara selamat dan berautonomi dengan mewujudkan ‘perjanjian’ (antara pengguna dengan peranti/perisian) yang hanya akan dilaksanakan apabila syarat-syarat tertentu dipenuhi. Ini akan menjimatkan banyak kos kerana keterlibatan pihak ketiga untuk mengesahkan sesuatu transaksi/aktiviti tidak diperlukan sama sekali.

Ok, cukuplah saya melalut dengan jargon-jargon dan terma-terma yang mungkin sudah menyerabutkan anda.

Kesimpulannya (ah sudah macam karangan SPM pula nak kena ada kesimpulan!), IoT ialah teknologi luar biasa yang tidak mungkin dapat dielakkan lagi. Manfaat dan kelebihan yang ada padanya cukup besar dan signifikan. Gabungan IoT dan blockchain pastinya akan memacu Revolusi Industri Keempat jauh ke hadapan dan ia bakal merubah sejarah ketamadunan manusia buat selamanya!

Penulis: Adam Effendy Mustapha, COO Bayan Token

[Disclaimer : Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan. Segala cadangan, kenyataan dan nasihat datang dari pihak penulis. Pihak Coin.My tidak terlibat atau bertanggungjawab terhadap kesalahan fakta yang dikeluarkan oleh penulis.]

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.