Default – Above Header Ads

Kepentingan “Immutability” dalam Blockchain

Immutability.

Satu istilah yang selalu digunakan apabila bercakap tentang kelebihan Blockchain. Namun, tidak ramai betul-betul memahami kenapa konsep immutability ini penting dalam Blockchain.

Apa maksud Immutability dalam dunia Blockchain?

Immutability adalah kebolehan semua transaksi yang direkod dalam lejar Blockchain awam untuk kekal sehingga bila-bila, tidak boleh diubah atau dipadam. Immutability mempunyai potensi untuk mengubah proses yang melibatkan transaksi kepada sistem yang lebih telus, efisyen dan efektif dari segi kos, pada masa sama memberi kepercayaan kepada integriti dan keseluruhan sistem.

Cuba fikirkan.

Syarikat, tidak kira kecil atau besar, membelanjakan ratusan ribu untuk melindungi data mereka daripada dicuri atau digodam melalui serangan siber. Sudah tentu ia perlu. Tetapi bagaimana pula untuk memastikan integriti data itu terjaga dari dalam? Bagaimana untuk memastikan pengguna boleh memberi sepenuh kepercayaan kepada proses yang berlaku dalam syarikat?

Dalam banyak kes, data dan maklumat di tangan pihak ketiga dimanipulasi, diubah, dipalsu dan digunakan untuk tujuan yang tidak diketahui oleh pengguna. Dan dalam kes lain, pengguna ‘terpaksa’ yakin bahawa data yang disimpan adalah benar dan selamat melalui enkripsi data (data encryption).

Bitcoin Exchange CEX.IO

Hakikaktnya, sukar untuk pastikan bahawa pengurusan data tidak dimanipulasi atau diseleweng. Proses audit hanya boleh memastikan keselamatan dan kebenaran data sehingga satu tahap yang tidak mencapai 100 peratus. Namun begitu, adakah Blockchain yang mempunyai immutability penyelesaian masalah ini?

Bagaimana Immutability dicapai dalam Blockchain?

Sumber: http://docs.flur.ee/

Jika anda banyak membaca tentang Blockchain dan bagaimana ia berfungsi, anda pasti sudah mempunyai ilmu asas tentang elemen-elemen dalam Blockchain, contohnya hash.

Hash function mengambil data yang sudah wujud sebagai input (contohnya perkataan “Hello”) dan mengeluarkan output dalam bentuk “Checksum” – iaitu satu baris yang merangkumi nombor dan huruf rawak yang menjadi tandatangan digital. Ini adalah satu proses hashing yang menenkripsi data.

Checksum ini menjamin output sepadan dengan input yang dimasukkan – jika satu bit data berbeza antara dua fail, output yang akan keluar adalah dua barisan yang berbeza. Tambahan lagi, proses ini tidak boleh diterbalikkan atau melalui proses reverse-engineer. Dalam erti kata lain, anda tidak boleh mendapatkan input daripada satu output.

Dalam Blockchain, proses hashing berlaku apabila blok baru dibentuk dalam rantaian Blockchain, dimana setiap transaksi baru yang disahkan akan mendapat timestamp atau dicop dengan maklumat daripada blok sebelumnya. Memandangkan setiap blok baru akan mempunyai metadata daripada output hash blok sebelumnya, ia menjadikan rantaian blok tersebut tidak boleh dipisahkan.

Ianya sangat mustahil untuk manipulasi, ubah atau padam data selepas ia disahkan dan diletakkan ke dalam Blockchain, kerana ia akan menyebabkan output hash tidak padan dengan mana-mana blok. Rantaian akan dipisahkan dan blockchain itu akan dianggap tidak sah. Ciri inilah yang menjadikan Blockchain mencapai immutability, berbanding pangkalan data tradisional yang tidak berkait sesama sendiri, menjadikan ianya mudah untuk diubah atau dipadam.

Mengapa Immutability Penting?

Kita dah belajar secara asas konsep immutability dan bagaimana Blockchain mencapai immutability. Persoalan seterusnya adalah mengapa immutability penting?

Ketelusan dan Integriti Data

Aplikasi yang implementasi teknologi Blockchain boleh menjamin lejar data yang digunakan akan merekod kesemua peristiwa dan transaksi yang berlaku – setiap transaksi yang dimasukkan ke dalam Blockchain akan kekal dan melambangkan lejar sehingga tempoh itu. Dan lejar ini boleh diakses, dilihat, dan dianalisa oleh sesiapa sahaja (yang dibenarkan jika dalam private blockchain).

Integriti data boleh dicapai dengan mudah kerana rantaian tersebut boleh disahkan pada bila-bila masa dengan hanya mengira semula hash dalam blok. Jika terdapat perbezaan antara data dalam blok dan output hash, ini bermakna transaksi itu tidak boleh diterima. Implementasi Blockchain membolehkan organisasi dan penguatkuasa industri mengenal pasti manipulasi data jika ia berlaku.

Sistem yang lebih efisyen

Bayangkan berapa banyak wang telah di belanjakan untuk keselamatan siber? Terutama bagi organisasi yang menyimpan maklumat terperinci penggunanya seperti bank, institusi kewangan, syarikat insurans dan sebagainya. Tambahan lagi, penggunaan pengkalan data yang berbeza untuk menyimpan maklumat yang berkaitan menyebabkna banyak masa terbuang untuk mencarinya.

Satu lejar Blockchain yang menyimpan semua maklumat dalam sejarahnya akan memudahkan proses dalam perniagaan, termasuk analisa, pencarian maklumat, mencari virus atau bug dalam program, backup pengkalan data dan macam-macam lagi.

Proses Audit lebih mudah dan cepat

Antara satu isu utama organisasi besar adalah proses audit yang mengambil masa yang lama dan kadangkala sukar. Jika satu lejar yang mempunyai sejarah transaksi yang lengkap, yang dijamin tidak dimanipulasi, sudah pasti proses audit akan lebih mudah dan efisyen.

Kesimpulan

Boleh dikatakan immutability adalah sesuatu yang meletakkan Blockchain jauh ke hadapan proses transaksi atau pengkalan data yang lain. Tanpa immutability, Blockchain tidak banyak bezanya dengan medium pembayaran lain. Dan immutability dalam Blockchain dicapai dengan cara yang amat unik, dan yang lebih menarik, dijaga oleh nod-nod komputer dari seluruh dunia yang mempunyai insentif untuk memastikan sistem sentiasa berjalan dengan lancar.

Implementasi Blockchain dengan sesuai dalam industri lain akan membawa kepada banyak perubahan positif, dan sudah banyak penyelesaian industri yang ditawarkan seperti Ethereum, Hyperledger, R3 Corda dan lain-lain. Kini kita hanya menunggu masa Blockchain menjadi satu standard sahaja.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.