Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Manifesto Cypherpunk/Crypto Anarchist Dua Dekad Lalu dan Realiti Hari Ini

Privacy is necessary for an open society in the electronic age. Privacy is not secrecy. A private matter is something one doesn’t want the whole world to know, but a secret matter is something one doesn’t want anybody to know. Privacy is the power to selectively reveal oneself to the world.

– Eric Hughes, A Cypherpunk’s Manifesto

Di atas adalah petikan daripada manifesto Cyperphunk pada tahun 1993. Sebelum wujudnya matawang kripto, sebelum wujudnya Bitcoin dan Blockchain, usaha untuk memintas kerajaan telah pun dimulakan oleh sekumpulan computer programmer yang merasakan hak privasi mereka digugat oleh kerajaan. Misi Cyperphunk adalah untuk menggunakan kriptografi untuk melindungi hak privasi mereka.

Idea-idea tentang perlindungan hak privasi, identiti dan transaksi tanpa kawal selia ini sudah boleh dilihat dalam dua manifesto awal, iaitu The Crypto Anarchist Manifesto (1988) dan The Cyperphunk Manifesto (1992). Dua dekad sudah pun berlalu, dan jangkaan kedua-dua penulis manifesto ini sudah pun menjadi kenyataan. Bitcoin telah membawa satu sistem yang boleh wujud tanpa manipulasi dan kawalan kuasa pusat dan mereka yang menggunakannya boleh melindungi hak privasi mereka.

Apa yang dikatakan Eric Hughes di atas sangat relevan apabila kita bercakap tentang dunia sekarang, di mana maklumat dikongsi merentasi sempadan dan transaksi boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja. “Privasi tidak bermaksud merahsiakan…privasi adalah kuasa (individu) untuk memilih apa yang didedahkan kepada dunia.”

Kedua-dua manifesto telah menjangka realiti hari ini dan apa yang diperlukan untuk revolusi teknologi berlaku. Bukan itu sahaja, kedua-duanya juga sudah pun menjangkakan reaksi daripada pihak berkuasa untuk menghentikan revolusi ini. Jadi, apa yang tertulis dalam manifesto-manifesto yang kita boleh lihat dalam realiti dunia hari ini?

The Cyperphunk Manifesto:

“Memandangkan kita inginkan privasi, kita mesti memastikan setiap pihak dalam transaksi hanya mengetahui apa yang perlu sahaja untuk transaksi itu berlaku.”

Realiti hari ini:

Dalam apa-apa transaksi melalui Blockchain kita hanya memerlukan alamat wallet dan jumlah yang ingin dihantar.

The Cyperphunk Manifesto:

“Oleh itu, privasi dalam masyarakt terbuka memerlukan sistem transaksi yang tidak diketahui identiti pengguna (anonymous).”

Realiti hari ini:

Bermula dengan sistem transaksi Bitcoin, kini kita mempunyai pelbagai pilihan matawang kripto yang berbeza tahap perlindungan identiti dan keselamatannya.

The Crypto Anarchis Manifesto:

“Anarki kripto akan membolehkan rahsia kerajaan disebarkan secara bebas dan juga membolehkan perdagangan barangan haram…pasaran yang anonymous juga akan mewujudkan pasaran yang mustahil seperti pembunuhan atau pemerasan.”

Realiti hari ini:

Ini adalah antara kesan buruk daripada revolusi teknologi yang bebas daripada pengawalan seliaan. Bermula dengan kewujudan laman web Darknet, atau Dark Web iaitu kandungan dalam internet yang tidak boleh diakses tanpa perisian yang khusus seperti Tor dan I2P, sistem kompleks yang sehingga kini masih sukar untuk dijejaki oleh pihak berkuasa. Kemunculan Bitcoin telah mewujudkan satu medium untuk jual beli barangan haram dan pasaran gelap seperti Silk Road berkembang dengan meluas sebelum ia berjaya dibanteras oleh pihak berkuasa.

Segala jenis pasaran seperti dadah, senjata, pembunuh upahan, penyeludupan manusia, penjualan organ haram boleh dijumpai dalam dark web dan dalam hampir kesemua pasaran ini, Bitcoin akan digunakan sebagai medium pembayaran. Revolusi teknologi juga telah membawa kita WikiLeaks yang ditubuhkan oleh Julian Assange. WikiLeaks telah berjaya menjadi satu platform perkongsian maklumat rahsia kerajaan dan juga kandungan yang sengaja disembunyikan daripada orang awam tidak kira peringkat domestik mahupun antarabangsa.

The Crypto Anarchist Manifesto:

“Kerajaan sudah tentu akan cuba memperlahankan atau menghentikan perkembangan teknologi ini, menggunakan pertimbangan keselamatan, penggunaan teknologi oleh penyeludup dadah dan pelari cukai, dan juga kerisauan terhadap kejatuhan sosial.”

Realiti hari ini:

Kita sedang berada di tahap teknologi Blockchain di mana kerajaan sudah mula sedar dengan potensi teknologi ini, pada masa yang sama, cuba untuk mengawal teknologi ini. Dan justifikasi yang digunakan adalah seperti yang telah diramalkan dalam manifesto tahun 1988 di atas. Sudah tentu kesan-kesan negatif yang disebut adalah sesuatu yang patut dipertimbangkan, rata-rata masyarakat yang naif bergnantung kepada kerajaan untuk melindungi kepentingan mereka.

Namun begitu, pada masa yang sama, peraturan yang terlalu ketat boleh membantut kemajuan dan inovasi. Sesuatu teknologi yang sepatutnya membawa lebih banyak potensi menjadi perlahan dan tidak berkembang kerana sekatan daripada kerajaan. Penyebaran FUD menyebabkan orang ramai lambat untuk menerima matawang kripto dan teknologi Blockchain, walaupun ia ternyata adalah teknologi untuk masa depan.

The Crypto Anarchist Manifesto:

“Kaedah kriptologi akan mengubah teras syarikat dan dasar campur tangan kerajaan dalam transaksi ekonomi…anarki kripto akan mewujudkan pasaran yang boleh mencairkan apa sahaja yang boleh difikirkan.”

Realiti hari ini:

Inilah visi yang ingin dicapai oleh Cyperphunk atau Crypto Anarchist. Satu dunia di mana setiap individu mempunyai kebebasan dan autonomi untuk merahsiakan dan mendedahkan maklumat peribadi tanpa campur tangan kerajaan. Satu dunia di mana privasi itu adalah hak mutlak individu yang tidak boleh dikawal oleh kerajaan. Ia mungkin nampak tidak realistik 20 tahun yang lalu tetapi lihat sahaja dunia matawang kripto kini.

Satu sistem yang membolehkan pengguna membuat transaksi tanpa perlu mendedahkan identiti sudah pun wujud. Malah teknologi Blockchain sudah berkembang begitu pesat sehingga telah membawa kepada pergerakan untuk desentralisasi World Wide Web, atau fenomena Web 3.0. Namun begitu, kerajaan-kerajaan seluruh dunia pun sudah mengorak langkah untuk mengawal dunia matawang kripto ini. Persoalannya kini adalah sejauh mana kerajaan mampu mengawalnya dan adakah golongan pro-anarki kripto atau penyokong cyperphunk akan membiarkannya begitu sahaja? Bolehkah kuasa berpusat wujud di dalam dunia yang semakin desentralisasi?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.