Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Menjana Pembangunan Bandar Pintar Melalui Teknologi Blockchain

Bayangkan semua operasi berkenaan pengurusan bandar menjadi automatik sepenuhnya, seperti pengurusan trafik jalan raya, laporan cuaca, kekosongan parkir, pengurusan sampah dan juga saman, serta apa sahaja yang berkaitan pengurusan bandar menjadi mudah, ringkas, dan efisien? Inilah apa yang diidam-idamkan oleh semua para pembangun konsep bandar pintar, iaitu suatu sistem yang mana gabungan pelbagai teknologi dan sistem canggih, antaranya ialah teknologi Big Data Analytics, Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence(AI) dan telekomunikasi 5G bakal mengubah landskap bagaimana bandar akan beroperasi pada masa hadapan.

Namun, ramai juga yang terlepas pandang berkenaan teknologi Blockchain akan menjadi komponen penting dalam membangunkan konsep bandar pintar supaya pertukaran maklumat adalah lebih selamat dan terjamin. Maka dalam artikel kali ini, penulis ingin membawa hujah bahawa teknologi Blockchain adalah teknologi yang wajib digunakan oleh setiap pembangun bandar pintar, dan contoh-contoh aplikasi teknologi Blockchain yang berkaitan dengan pembangunan konsep bandar pintar, atau smart cities yang sudah direalisasikan di seluruh dunia.

 

Kelebihan Teknologi Blockchain dan Lejar Digital dalam Pembangunan Bandar Pintar

 

Menurut Forbes, bidang pembangunan Bandar Pintar ini mempunyai potensi penilaian sehingga $1.5 Trillion (RM 6 Trillion) yang merangkumi pelbagai bidang seperti tenaga, pengangkutan, kesihatan, bangunan, insfrastruktur dan juga tadbir urus. Maka jumlah potensi pasaran ini memerlukan sistem sokongan yang menjamin keselamatan data dan maklumat yang dihasilkan. Jika sistem yang dianggarkan bernilai sehingga trillion dollar ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lemah, sudah tentu konsep bandar pintar ini tidak dapat berkembang jauh dan tumbuh secara pesat. Pemilihan teknologi blockchain sebagai sistem yang menjamin keselamatan data dan maklumat ini adalah satu kemestian bagi semua pemaju bandar pintar. Mengapa penulis mengatakan demikian?

Berikut adalah 6 ciri istimewa teknologi blockchain yang tiada pada sistem lain, yang dapat menjamin keselamatan dan kekebalan data yang terhasil daripada pembangunan bandar pintar.

 

  1. Lejar Yang Dikongsi Bersama oleh Pemegang Kepentingan

Menggunakan teknologi Blockchain, semua pemegang kepentingan, yang termasuk penduduk bandar pintar tersebut, para pelabur, pihak kerajaan dan penguatkuasa mempunyai akses yang sama terhadap data yang berada di dalam lejar digital. Maka ketelusan dan integriti sesuatu data akan terjamin. Ini berbeza dengan sistem databasebiasa kerana data dan maklumat dipegang oleh pihak berpusat sahaja dan tidak dibuka kepada orang awam.

Ciri ini juga akan menjamin keselamatan data kerana data tidak disimpan di satu tempat sahaja, namun telah disimpan di pelbagai nod-nod milik pemegang kepentingan, maka ia dapat menyingkirkan kelemahan “single point of failure”. Jika satu nod diserang oleh penggodam, masih ada banyak nod yang menyimpan data, maka keselamatan data masih kekal selamat.

 

  1. Persetujuan Pemegang Kepentingan

Di samping data dan maklumat lejar digital yang dapat diakses oleh pemegang kepentingan, mereka juga dapat mengundi dan bertindak untuk sesuatu keadaan. Contoh yang paling mudah ialah ketika pengundian sesuatu isu. Sistem pengundian dapat dapat dilaksanakan dengan cepat, pantas, murah dan efisien jika persetujuan dilaksanakan menggunakan Blockchain. Ini turut mengurangkan kesan penipuan dan manipulasi undi, kerana undian memerlukan pengesahan nod lain. Ibaratnya seperti pengundi melakukan proses pengundian yang disertai oleh saksi, yang tugas saksi ini diwakili oleh nod-nod lain di dalam rangkaian Blockchain yang digunakan.

Jika menggunakan contoh transaksi kewangan pula, transaksi hanya dianggap sah jika transaksi tersebut disahkan oleh nod pemegang kepentingan yang lain. Transaksi yang dilakukan secara sendirian tanpa pengesahan nod lain akan diabaikan, dan ini adalah ciri yang menjamin keabsahan sesuatu transaksi kewangan. Maka kejadian rasuah, penyelewengan wang dan ketidak telusan akan dapat disingkirkan jika menggunakan teknologi Blockchain.

 

  1. Lejar Yang Tidak Dapat Diubah

Blockchain mempunyai satu ciri yang sangat penting untuk integritinya, iaitu ianya tidak dapat diubah dan dimanipulasi (immutability). Sebagai contoh, jika seorang penggodam dapat menguasai satu sistem database tanpa diketahui orang, penggodam tersebut dapat mengubah dan memadam rekod di dalam sistem database tersebut. Namun dengan menggunakan teknologi blockchain, penukaran dan manipulasi data tidak dapat dilakukan kerana data yang direkodkan di blockchain tidak akan dapat diubah tanpa persetujuan nod lain, maka jika penggodam mengubah data di blockchain, perubahan tersebut akan diabaikan.

 

  1. Dapat Diketahui Titik Asalnya

Segala data dan maklumat di blockchain dapat dijejaki asal-usulnya, berbanding sistem database biasa di mana penggodam dapat memasukkan data dan maklumat tertentu. Jika menggunakan contoh pembangunan bandar pintar, setiap individu yang menggunakan sesuatu aset seperti kemudahan awam, akan dapat diketahui siapa dan bila yang menggunakan kemudahan awam tersebut sejak ianya dibuka. Ini secara langsung akan memujudkan ketelusan pengguna kemudahan awam tersebut.

 

  1. Maklumat Di Lejar Adalah Muktamad

Ciri ini secara asasnya bahawa setiap maklumat di blockchain adalah muktamad setelah persetujuan nod pemegang kepentingan. Jika ingin melakukan perubahan terhadap maklumat tersebut, perlu berlaku satu lagi proses persetujuan oleh nod-nod pemegang kepentingan. Ini terbina di atas asas persetujuan pemegang kepentingan secara demokrasi dan tidak berpihak kepada autoriti satu pihak sahaja. Ini adalah sangat berbeza jika dibandingkan dengan sistem database biasa yang mana maklumat adalah dikuasai oleh satu pihak yang berpusat sahaja.

 

  1. Kontrak Pintar

Kontrak pintar juga dapat membantu kewujudan proses pembangunan bandar pintar. Contoh yang paling jelas adalah menggunakan kontrak pintar untuk tujuan pembayaran mikro. Dengan pembayaran mikro menggunakan kontrak pintar, sistem bayaran yang lebih tepat, khusus dan adil dapat dilaksanakan kerana ia bergantung kepada penggunaan dan identiti pengguna berbanding dikenakan bayaran secara rata jika menggunakan sistem pembayaran tradisional. Jika pengguna ingin menggunakan sesuatu perkhidmatan atau melakukan pembelian, identiti pengguna akan menentukan harga yang perlu dibayar, yang pasti berbeza harga untuk pengguna yang membayar untuk kegunaan persendirian atau pengguna yang membayar untuk tujuan urusan perniagaan.

 

Dengan wujudnya 6 ciri-ciri di atas, maka penulis sangat yakin akan keselamatan data adalah terjamin jika inisiatif pembangunan bandar pintar dijalankan menggunakan teknologi blockchain sebagai asasnya.

 

Negara-Negara Yang Melaksanakan Inisiatif Teknologi Blockchain dalam Pembangunan Bandar Pintarnya

 

Seterusnya, kita beralih pula kepada aplikasi teknologi blockchain yang sudah berjalan yang digunakan seiring dengan visi pembangunan bandar pintar. Jangan ingat pembangunan bandar pintar hanya sekadar angan-angan, kerana aplikasi teknologi bandar pintar telah dilaksanakan di bebarapa negara di seluru dunia. Berikut adalah contoh pembangunan bandar pintar yang menggunakan teknologi blockchain dan lejar digital.

 

Emiriyah Arab Bersatu

Dubai, yang merupakan salah satu bandar yang paling progresif dalam bidang digitalnya telah mengumumkan program Smart City. Program Smart City, yang dilancarkan pada tahun 2014, melibatkan pelaksanaan bertahap lebih daripada 545 projek yang akan mengubah cara penduduk dan pengunjung Dubai berinteraksi dengan bandar tersebut. Pihak berkuasa tempatan merancang untuk mewujudkan ruang digital tanpa kertas di sektor swasta dan awam. Semua edaran dokumen akan dijalankan dalam bentuk elektronik, dan melancarkan perniagaan akan menjadi lebih mudah bagi warganegaranya.

Satu projek perintis turut dibangunkan untuk mengesan, menjejaki dan menghantar barang-barang yang diimport dan dieksport menggunakan teknologi blockchain. Idea utama integrasi teknologi blockchain ke dalam perdagangan luar bandar adalah untuk mewujudkan satu platform yang selamat dan telus. Pelaksanaan sistem blockchain ke dalam struktur bandar dijangka menjimatkan kira-kira $ 1.5 bilion dan 25.1 juta jam kerja kerana peningkatan kecekapan dalam pemprosesan dokumen.

 

Estonia

Sejak tahun 2012 lagi, teknologi blockchain dan lejar digital telah digunakan dalam sistem kesihatan, kehakiman, perundangan, keselamatan dan komersial negara Estonia. Teknologi ini telah melepasi percubaan dan telahpun digunakan secara meluas.

Khususnya, kerajaan Estonia telah memperkenalkan blockchain untuk membolehkan warga negaranya mengawal data peribadi mereka. Disebabkan ini, Estonia dapat mengawal, melihat dan, jika perlu, mencabar akses yang tidak sah kepada maklumat mereka. Lebih-lebih lagi, sejak sekarang, rakyat mempunyai peluang untuk memeriksa pakar perubatan atau penjawat awam yang melihat melalui kad perubatan, insurans atau lesen memandu mereka. Mana-mana pegawai yang mengakses data peribadi tanpa izin boleh didakwa.

 

China

Pihak berkuasa China merancang untuk mewujudkan 1000 bandar pintar, di mana teknologi dan data yang dikumpulkan harus memperbaiki kehidupan setiap penduduk. Pada bulan Januari 2013, Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Luar Bandar secara rasmi mengumumkan senarai pertama bandar-bandar pintar perintis negara, merujuk kepada teknologi ini sebagai “sektor yang perlu diperkukuhkan dan digalakkan.”

Pada April 2017, Wuzhen Think Tank mengeluarkan kertas putih mengenai pembangunan industri blockchain China. Kertas putih ini memperkenalkan trend industri-industri global dan domestik dan menyediakan pengetahuan berharga untuk entiti penyelidikan dan perusahaan berkaitan. Beberapa bulan kemudian, Jawatankuasa Pakar Kebangsaan mengenai Teknologi Keselamatan Kewangan Internet telah menerbitkan Garis Panduan Pematuhan Blockchain, yang memastikan pihak yang ingin membangunkan teknologi blockhain mematuhi undang-undang negara China, termasuklah pembangun bandar pintar.

Pada masa ini, pihak berkuasa China secara aktif mempelajari blockchain dari segi penyimpanan data yang lebih teratur. Pada 24 April, Pejabat Audit Negara China juga turut membincangkan penggunaan teknologi untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam infrastruktur penyimpanan terpusat.

 

Amerika Syarikat

Negeri Delaware adalah yang pertama mengumumkan Inisiatif Blockchain Delaware pada 2016. Program komprehensif yang dilancarkan oleh Gabenor Jack Markell dirancang untuk merangsang penggunaan dan pengembangan teknologi blockchain dan kontrak pintar di kedua sektor swasta dan publik negara. Perlu diingat bahawa pihak berkuasa Delaware secara rasmi mengiktiraf transaksi elektronik yang dicatatkan di blockchain sebagai data sah, dan rang undang-undang ditandatangani untuk membolehkan transaksi blockchain digunakan untuk rekod perakaunan dan perniagaan lain syarikat tempatan. Inisiatif itu sepatutnya menjadi satu langkah untuk mencegah masalah berkaitan manipulasi rekod dan percukaian.

Pada 2017, kerajaan negeri Illinois pula mengumumkan Inisiatif Blockchain Illinois, yang menyeru konsortium agensi negeri untuk bekerjasama dalam meneroka inovasi teknologi blockchain dan teknologi lejar digital. Pihak berkuasa negeri juga berhasrat untuk mempromosikan penggunaan blockchain” untuk mengubah penyampaian perkhidmatan awam dan swasta, mendefinasikan hubungan antara kerajaan dan rakyat dari segi perkongsian data, ketelusan dan amanah, dan membuat sumbangan utama kepada Transformasi Digital Negeri.”

Selain itu, West Virginia akan melancarkan projek perintis blokchain untuk melakukan pengundian mudah alih pada pilihan raya serantau pada 2018. Turut menggunakan teknologi blockchain, New York, dengan projek Microgridnya yang dibangunkan khusus untuk isi rumah yang ingin membeli dan menjual elektrik yang dihasilkan oleh panel solar menggunakan platform Ethereum.

 

Penutup

 

Terbukti sudah teknologi blockchain bukanlah sekadar angan-angan kosong dan dakwaan bahawa teknologi blockchain dan lejar digital sebagai teknologi yang bakal membawa revolusi teknologi adalah dakwaan yang benar. Konsep bandar pintar ini mempunyai skop yang sangat luas, dan juga peluang yang sangat banyak untuk para usahawan ceburi, terutamanya peluang dari aspek penggunaan teknologi blockchain dalam pembangunan bandar pintar.

Pembangunan di sektor bandar pintar akan terus berjalan, begitu juga dengan teknologi blockchain dan lejar digital, dan dengan ini diharapkan agar teknologi ini dapat digunakan secara meluas untuk membaiki dan menaik taraf tahap kehidupan manusia secara keseluruhannya.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.