Default – Above Header Ads

Patutkah Anda Bekerja Dalam Bidang Blockchain?

Pada suku pertama tahun 2018, Upwork, sebuah laman web freelance global telah mengeluarkan indeks kemahiran teratas di Amerika Syarikat, dan kepakaran dalam Blockchain adalah no.1. Ini adalah antara petanda besar permintaan yang meningkat untuk mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang blockchain – teknikal ataupun tidak.

Blockchain bemula dalam sektor kewangan pada tahun 2008 dengan kemunculan Bitcoin. Tetapi pada hari ini, teknologi Blockchain sudahpun menembusi hampir semua sektor yang wujud dalam dunia ini. Dari pentadbiran, kepada kesihatan dan perkilangan, kepada rantaian bekalan dan makanan. Semuanya ada implementasi teknologi Blockchain. Jadi, tidak hairanlah jika peluang pekerjaan dalam bidang Blockchain telah berkembang dengan pesat sejak beberapa tahun yang lalu.

Kemunculan Pekerjaan dalam Blockchain

Boleh dikatakan tahun 2017 adalah tahun ketibaan teknologi blockchain kepada dunia mainstream.  Dari tahun 2016 ke tahun 2017, banyak sumber statistik melaporkan jumlah pekerjaan dalam bidang itu naik dua kali ganda.

Tahun itu, perkataan “cryptocurrency” antara perkataan paling popular dalam industri dan seringkali digunakan dalam keterangan pekerjaan. Banyak syarikat berkejar-kejar untuk mencari bakat dalam bidang blockchain untuk mara ke hadapan menjadi pelopor dalam industri mereka sendiri.

Tahun 2018 juga permintaan bakat blockchain masih lagi berkembang walaupun pasaran kripto menurun. Minat industri terhadap blockchain kekal tinggi, malah mungkin akan bertambah lebih pesat kerana tahun-tahun sebelumnya kebanyakan mereka masih lagi di tahap penyelidikan dan penerokaan dan tahun 2019 ini adalah tahun di mana mereka akan mula menguji produk blockchain mereka.

Blockchain bukan hanya pasaran kripto

Ramai orang, apabila bercakap tentang blockchain, mereka pasti akan kaitkan kepada matawang kripto. Jika bercakap tentang peluang pekerjaan, mereka pasti memikirkan tentang perdagangan matawang kripto di pasaran. Tetapi dunia kripto ini adalah untuk semua orang; baik bagi mereka yang ingin mencari sumber pendapatan lain dengan cara berdagang mahupun mereka yang berminat ingin bekerja dalam bidang ini.

Apa yang ditawarkan bidang Blockchain?

Persoalan yang lebih penting daripada jumlah peluang pekerjaan di bidang ini adalah apa sebenarnya yang ditawarkan Blockchain? Adakah ia berbaloi untuk melabur masa dan tenaga untuk menambah kemahiran dalam teknologi ini?

1. Bidang baru

Dalam dunia ini tiada apa yang kekal statik, terutama teknologi. Teknologi sentiasa berubah dan memang sudah menjadi lumrah kehidupan yang kita pasti akan cuba mencapai sesuatu yang lebih baik dari apa yang sudah sedia ada. Sesuatu bidang baru seperti blockchain adalah sesuatu yang menarik, tambahan lagi apabila ia dipasarkan sebagai revolusi sistem sedia ada.

Jika anda seorang yang suka menimba ilmu dan sentiasa mencari perkara baru untuk diceburi, teknologi blockchain adalah untuk anda.

2. Pendapatan yang lebih lumayan

Memandangkan ia adalah bidang baru, tidak hairanlah jika bakat yang ada amat sedikit. Dan semakin teknologi ini berkembang, semakin banyak permintaan oleh industri. Banyak sumber yang menunjukkan bahawa pendapatan yang diperoleh dalam bidang teknikal dan bukan teknikal blockchain adalah 10-20% lebih daripada gaji yang ditawarkan dalam bidang lain.

Menurut statistik global oleh Hired, sebuah firma di San Fransisco yang membantu syarikat mencari calon dalam bidang teknologi, jurutera Blockchain dibayar antara $150,000 hingga $175,000 setahun berbanding purata $135,000 yang diperoleh jurutera software biasa.

Sumber: Hackernoon

3. Fleksibiliti

Kerja berkaitan blockchain ataupun teknologi ini banyak melibatkan kerja remote, di mana anda tidak perlu duduk seharian di pejabat. Dan dalam generasi millenial, bukankah itu yang dicari? Konsep “pejabat” ini adalah kuno dan perlu diganti dengan kerja yang memberi lebih fleksibiliti kepada individu. Disinilah kebanyakan syarikat di ruangan blockchain dilihat lebih maju daripada industri lain, dan menjadi tempat tumpuan orang muda yang mempunyai motivasi tinggi untuk mengubah dunia.

4. Perintis era baru

Tidak boleh dinafikan teknologi Blockchain adalah umpama perintis era baru. Daripada hanya satu aplikasi (Bitcoin) dan kini sudah berkembang pesat, dimana institusi-institusi besar sudah masuk menyertai dunia ini. Sejak beberapa tahun lalu, sudah berpuluh bilion dolar yang dilabur dalam industri Blockchain, menunjukkan ia adalah industri yang akan kekal lama dan bukan hanya buzzword atau hype. Jika kita tidak mahu ketinggalan, kita perlu celikkan mata dan mula ambil tahu tentang blockchain.

Jika dahulu sesiapa yang mempunyai kemahiran dalam Internet sebelum ia meletup merupakan perintis zaman dotcom, kini peluang bagi mereka yang tahu tentang nilai blockchain di masa hadapan untuk menjadi perintis generasi baru ini. Cari dan baca kajian tentang potensi Blockchain ini dan anda pasti akan jumpa pelbagai sumber yang mengangkat bidang ini sebagai teknologi yang seiring dengan AI, Machine Learning dan Big Data.

Apa pekerjaan yang ada dalam dunia Blockchain?

Seperti mana-mana industri, terdapat banyak peluang pekerjaan dalam setiap aspek dalam industri ini. Ramai orang apabila memikirkan tentang blockchain pasti terfikir tentang pembangun, atau programmer atau jurutera sistem dan sebagainya. Sebenarnya banyak lagi peluang pekerjaan dalam bidang blockchain ini dan antaranya adalah:

  • Pembangun blockchain
  • Programmer
  • Jurutera software dan sistem
  • Pengurus produk
  • Penganalisa pasaran
  • Arkitek teknologi
  • Penganalisa risiko
  • Konsultan teknikal
  • Content strategist
  • Pengurus komuniti
  • Peguam
  • Pedagang
  • Broker
  • Pengurus pemasaran

Dan banyak lagi. Pekerjaan yang pelbagai ini datang daripada ekosistem blockchain dan matawang kripto yang sangat besar, dan juga penggunaan teknologi itu dalam semua sektor dalam industri. Jadi, jika anda sudah mempunyai latar belakang dalam bidang-bidang di atas, anda hanya perlu menambah ilmu pengetahuan dalam bidang blockchain.

Ini pengalaman penulis sendiri. Penulis diperkenalkan kepada teknologi Blockchain pada awal tahun 2016. Ketika itu, penulis tidak pernah dengar langsung tentang Bitcoin. Apa yang menarik minat penulis adalah ia sesuatu yang baru dan menarik, dan bakal menggantikan bank suatu hari nanti. Bayangkan ketika itu teknologi ini tidak dikenali dan tidak banyak sumber yang menerangkan tentangnya. Penulis terpaksa bermula dari bawah memandangkan penulis sendiri bukanlah graduan bidang kejuruteraan ataupun teknologi.

Dua tahun kemudian, inilah hasilnya. Coin.my sudahpun menjadi platform penyebaran maklumat dan ilmu blockchain dan kripto untuk pembaca di Malaysia. Pembaca tidak perlu penat-penat mencari terjemahan maklumat terbaru dunia kripto dan blockchain, kerana di sinilah tempatnya.

Kini, beratus ribu laman web di seluruh dunia yang menawarkan sumber ilmu teknologi ini. Malah, banyak universiti yang sudah menawarkan kursus berkaitan teknologi blockchain menunjukkan bahawa permintaan bakat sentiasa meningkat. Jadi, apa yang anda tunggu lagi? Masih belum terlambat untuk anda memasuki bidang ini.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.