Default – Above Header Ads

Pengenalan tentang Teknologi Blockchain di BConference Abu Dhabi

Pada 7 Disember yang lalu, penulis berkesempatan menghadiri satu persidangan berkenaan Blockchain di Abu Dhabi. BConference diadakan setiap tahun di Abu Dhabi, dan kalau tak silap penulis, ini adalah persidangan kedua yang diadakan. Walaupun persidangan ini kecil, dan tidak sampai 100 peserta yang menghadirinya, ilmu pengetahuan dan maklumat baru yang penulis dapat sangat memuaskan hati penulis.

Selama ini penulis hanya mendapat maklumat terbaru mengenai dunia matawang kripto dan teknologi Blockchain melalui laman berita dari sumber di luar negara, tetapi kali ini penulis dapat mendengarnya first hand atau secara langsung dari mulut orang-orang yang komited sepenuhnya dalam implementasi teknologi Blockchain ini.

Memandangkan BConference ini diadakan di Abu Dhabi dan dalam skala yang kecil berbanding persidangan antarabangsa seperti di London atau New York, tidak hairanlah jika penyampai-penyampai yang dijemput adalah dari kalangan penetap Abu Dhabi sendiri. Apa yang penulis rasa amat menarik adalah kebanyakan wakil syarikat yang hadir dalam persidangan itu berpusat di sekitar UAE terutama Dubai dan Abu Dhabi, tetapi mereka sebenarnya berasal dari negara luar seperti Jerman, Amerika Syarikat, Russia, dan United Kingdom.

Kenapa fakta ini menarik?

Ia membuktikan bahawa UAE bersifat lebih bersifat terbuka, dan memandangkan UAE sudah memulakan inisiatif untuk menjadikan Dubai sebagai smart city, lebih banyak syarikat akan tertarik untuk memulakan operasi di negara itu. Apa yang lebih penting adalah ia menunjukkan UAE sudah bersiap sedia untuk implementasi teknologi Blockchain sepenuhnya.

BConference yang penulis hadiri itu hanya berlangsung selama sehari, tetapi jadualnya sangat penuh dari pagi ke petang. Penulis akan membahagikannya kepada beberapa post kerana penyampaiannya agak panjang. Jadi ini adalah sesi pertama iaitu

Pengenalan kepada teknologi Blockchain

Seperti biasa, penyampai pertama pasti akan memberikan penerangan tentang teknologi Blockchain, dan bagaimana ia berfungsi. Sama juga dalam persidangan kali ini. Penulis rasa tidak perlu terangkan lebih lanjut kerana penulis anggap pembaca sudah mempunyai pengetahuan asas tentang apa it teknologi Blockchain dan bagaimana ia berfungsi. Boleh rujuk artikel-artikel di coin.my buat pembaca-pembaca baru.

Penyampai pertama, Saqr Ereiqat, Blockchain Evangelist

Sektor bank

Penyampai kedua, Ghulam Raja adalah CFO di Abu Dhabi Finance, iaitu syarikat mortgage lender (pemberi pinjaman) terbesar di Abu Dhabi. Menurut beliau, walaupun UAE mengamalkan dasar terbuka untuk menarik syarikat luar negara melabur dalam negara itu, ia masih lagi bersikap konservatif tentang implementasi teknologi Blockchain dalam sektor perbankan di negara itu. Beliau juga berkata sistem yang sedia ada, Robotic Process Automation, sudah cukup efisien untuk operasi yang dijalankan.

Sektor Kesihatan

Penyampai ketiga, Steve Papermaster, adalah CEO di Nano Global Corporation, sebuah syarikat pengeluar produk teknologi nano di Amerika Syarikat. Penyampaian beliau adalah tentang implementasi teknologi Blockchain dalam maklumat kesihatan. Penulis pernah bercakap tentang aplikasi teknologi Blockchain dalam pangkalan data pesakit yang boleh dikongsi sesama hospital. Tetapi Steve mahu menggunakan teknologi Blockchain lebih (kecil) dari itu.

Memandangkan topik tentang kesihatan adalah sesuatu yang sangat dekat di hati penulis, penulis akan bercerita panjang lebar tentang idea Steve yang sangat-sangat menarik ini. Bayangkan sesuatu negara dilanda epidemik, dan ramai pesakit yang mati disebabkan penyakit tersebut. Walaupun penyakit ini pada mulanya hanya tersebar di negara tersebut, terdapat risiko penyakit itu sampai ke negara lain. Bagaimana jika penyakit ini sesuatu yang baru dan hanya dikaji oleh penyelidik tempatan, apa akan berlaku jika penyakit ini tersebar sebelum maklumat tersebut sempat sampai ke negara lain.

Menurut Steve, teknologi Blockchain berpotensi sebagai jalan penyelesaian. Jika semua maklumat tentang penyakit berjangkit, mutasi sel kanser ataupun penyakit yang baru ditemui boleh dimasukkan kedalam blockchain, sudah tentu satu dunia dapat akses maklumat ini dengan mudah dan pada real-time. Maklumat boleh dikemas kini dengan cepat dan selamat, dan kesemua sejarah akan kekal dalam lejar. Boleh bayangkan impaknya di masa hadapan? Kesemua maklumat daripada awal sehingga akhir akan dicatat dalam rekod yang tetap, dan ini akan mengurangkan duplicate maklumat yang sama di negara masing-masing. Penyelidik tidak akan menyelidik sesuatu penyakit yang sudah diselidiki dan boleh menumpukan perhatian kepada penyakit lain.

Penipuan

Penyampai terakhir dalam sesi ini, Alex Linebrink, CEO PassageX, sebuah syarikat event ticketing berdasarkan teknologi Blockchain pula bercakap tentang bagaimana teknologi itu boleh mencegah penipuan daripada berlaku. Satu paradoks yang disampaikan yang penulis rasa cukup menarik adalah, “Security through Obscurity (then) vs Security through Transparency (now)”. Jika dahulu tahap keselamatan sesuatu adalah bergantung kepada sama ada orang lain dapat melihatnya atau tidak, contohnya menyimpan duit dalam peti besi yang disembunyikan, kini melalui teknologi Blockchain, sesuatu itu dianggap lebih selamat apabila disembuyikan di khalayak ramai di mana terdapat lebih ramai saksi.

Menurut Alex, sebelum teknologi Blockchain wujud kes-kes seperti penipuan dalam sektor pemakanan, dimana terdapat kes seperti formula susu bayi di China, dan skandal Horsemeat di United Kingdom tidak dapat dielakkan. Alex juga bercakap tentang pemalsuan lukisan, dan juga penjualan tiket secara haram. Teknologi Blockchain boleh digunakan untuk menjejak sesuatu produk dari awal pengeluaran sehingga ia tiba di tangan pengguna, dan rekod yang disimpan dan disahkan memastikan sesuatu itu tulen dan tidak dipalsukan.

Ini baru sesi pertama dalam persidangan BConference itu. Terdapat tiga lagi sesi yang penulis akan kongsi bersama pembaca. Ikuti siri ini jika anda berminat tentang apa yang penulis pelajari.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.