Persamaan teknologi Blockchain dan Internet
Kita selalu sahaja membaca artikel tentang kelebihan Bitcoin dan matawang kripto dan kepentingan teknologi Blockchain yang akan mengubah dunia. Tidak kurang juga mendengar tentang keuntungan yang boleh diperolehi dalam pelaburan matawang kripto. Tetapi sudah menjadi lumrah kehidupan, sesuatu perkara pasti akan ada baik buruknya.
Begitu juga teknologi Blockchain, ia juga mempunyai beberapa kelemahan yang menjadi bahan kritikan orang lain. Sama ada mereka tidak percaya pada potensinya, pernah tersungkur kerana penipuan dalam matawang kripto (walaupun teknologi Blockchain bukanlah mutually exclusive dengan matawang kripto) ataupun merasa ianya hanya satu hype dan gelombang pasaran ini bakal meletup tidak lama lagi.
Dan jika kita lihat dalam media sosial dan laman berita, pengkritik terkuat matawang kripto dan teknologi Blockchain adalah golongan yang berada di peratusan teratas dari segi pendapatan, termasuklah bank, institusi kewangan dan pelabur institusi. Mereka adalah golongan yang kemungkinan besar akan menerima kesan yang besar daripada implementasi teknologi Blockchain. Kebanyakan hujah mereka di buat tanpa kefahaman mendalam terhadap teknologi Blockchain dan ironinya, kekaburan teknologi Blockchain yang masih baru inilah yang menyebabkan golongan yang anti-Blockchain bertambah.
Internet dan Blockchain
Jika kita lihat kepada perkembangan Internet kepada apa yang ada pada hari ini, kita boleh lihat banyak persamaan dengan teknologi Blockchain. Seperti teknologi yang memberikan kita World Wide Web dan emel, penciptaan Bitcoin dan matawang kripto juga dijana oleh kemajuan dalam teknologi yang asas digabung dengan protokol lain – dalam kes Bitcoin ianya elemen kriptografi. Seperti Internet juga, teknologi Blockchain ini bukan hanya satu infrastruktur, tetapi mempunyai banyak lapisan lain yang membolehkan perkembangan dari segi utiliti mahupun potensi.
Perkembangan Internet mengambil masa beberapa dekad untuk sampai kepada tahap mass adoption, atau penerimaan secara besar-besaran. Penciptaan Internet pada tahun 1950-an bukanlah untuk penggunaan komersial tetapi untuk menghubungkan institusi penyelidikan dan universiti dalam rangkaian yang selamat. Penciptaan emel pada 1971 dan World Wide Web pada 1990 telah melonjakkan Internet ke persada dunia. Bayangkan, ia mengambil masa lebih kurang 25 tahun untuk perkembangan Internet sampai ke pengguna awam dan beberapa dekad lagi untuk kita mendapat teknologi yang menghubungkan kita kepada dunia dalam sekelip mata sahaja.
Internet juga mendapat kritikan awal
Kebanyakan pengkritik menjangka teknologi Blockchain sudah sampai ke penghujungnya, hanya melalui pemerhatian mereka terhadap pasaran matawang kripto. Tetapi penting untuk kita membezakan matawang kripto dan teknologi Blockchain, kerana seperti World Wide Web dan emel, matawang kripto adalah aplikasi dan bukannya asas teknologi Blockchain. Hampir satu dekad sudah berlalu sejak kewujudan teknologi Blockchain, dan sudah pelbagai aplikasi yang dicipta daripada teknologi Blockchain seperti smart contract, pengkalan data untuk aset, sistem transaksi dan bermacam-macam lagi.
Perkembangan Internet juga telah menghadapi pelbagai kritikan daripada orang ramai yang tidak percaya kepada potensinya, sehingga hari ini. Bak kata pepatah Inggeris, hindsight is 20/20. Jika kita putarkan masa dan bercerita tentang teknologi Blockchain dan matawang kripto pada zaman 1990-an, sudah pasti kita akan dianggap gila. Sememangnya teknologi Blockchain tidak sempurna, dan kritikan utama orang ramai adalah kepada isu skalabiliti matawang kripto dan ketidakstabilan pasaran matawang kripto, tetapi itu hanya 1 peratus daripada potensi teknologi Blockchain.
Blockchain selepas matawang kripto
Kita sebagai pengguna matawang kripto juga perlu memahami perbezaan teknologi Blockchain dan matawang kripto. Dalam pasaran yang semakin tepu dengan matawang kripto yang tidak mempunyai potensi dan hanya untuk mengambil kesempatan network effects, pasti akan ada satu dua matawang kripto yang bertahan selepas pasaran ini jatuh sepertimana Amazon dan Google sewaktu kejatuhan pasaran dotcom. Tetapi teknologi Blockchain akan kekal atau melalui evolusi yang akan membawa kita ke teknologi seterusnya. Itulah tandanya perubahan zaman.
Fakta menarik: Teknologi Blockchain hari ini adalah seperti Internet pada tahun 1995. Internet mempunyai 16 juta pengguna manakala jumlah pengguna wallet matawang kripto adalah 24 juta. Kritikan Internet pada 1995 adalah tentang spam, skim piramid, penipuan, pencurian identiti dan penggodaman, sama seperti kritikan yang dihadapi teknologi Blockchain. 5 tahun kemudian, jumlah pengguna Internet mencecah 400 juta. Pasaran global Blockchain (tidak termasuk matawang kripto) dijangka akan mencapai USD$20 bilion menjelang 2024.
===
Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!