Default – Above Header Ads

Sesi Perkongsian teknologi Blockchain: Blockchain Disruptors

Petang semalam penulis menghadiri satu penyampaian tentang potensi teknologi blockchain selain daripada penggunaannya dalam bidang kewangan. Penyampaian itu dianjurkan oleh Malaysian Global Innovation Centre (MaGIC). Buat pengetahuan semua, MaGIC adalah antara inisiatif kerajaan Malaysia untuk melahirkan usahawan yang inovatif dan berfikiran global.

Sesi perkongsian yang bertajuk, “Blockchain Disruptors” itu dibahagikan kepada 4 topik, di mana setiap penyampai bercakap tentang penggunaan teknologi blockchain dalam bidang yang berbeza. Seperti yang pernah di sebut penulis sebelum ini, Bitcoin adalah sebuah aplikasi kewangan yang dibina berdasarkan teknologi blockchain. Ramai yang masih keliru menganggap teknologi blockchain hanya terhad dalam bidang kewangan, khususnya fintech. Jadi, dalam post kali ini penulis akan berkongsi sedikit sebanyak tentang apa yang disampaikan dalam sesi perkongsian semalam.

LuxTag – teknologi blockchain dalam sijil ketulenan dan pemilikan barang berharga

Penyampai pertama adalah Rene Bernard, CEO syarikat LuxTag dan juga Presiden Access Blockchain Association (Malaysia). Beliau telah menceburi bidang teknologi sebagai usahawan e-commerce sejak tahun 2002 lagi dan kini tertumpu kepada teknologi blockchain melalui projek LuxTag.

Sebagai pembuka sesi, Rene telah memberi sedikit pengenalan tentang teknologi blockchain. Antara pengisian penting yang diberikan adalah tentang kelebihan teknologi blockchain sebagai satu set protokol yang berkebolehan menyimpan nilai (seperti dalam kes Bitcoin) atau maklumat (seperti Ether, NEM dan sebagainya). Rene menekankan kepentingan teknologi ini sebagai satu revolusi selepas era dotcom. Yang paling menarik, Rene menyebut tentang sebuah projek, Blockstream, yang sedang membuat percubaan untuk menghantar Bitcoin kepada sesiapa menggunakan satelit tanpa memerlukan internet. Hebat, bukan?

Beliau kemudian bercakap tentang LuxTag dan bagaimana ia menggunakan teknologi blockchain. LuxTag adalah sebuah projek berdasarkan blockchain NEM. Menurut Rene, LuxTag adalah token yang akan disertakan bersama barang berharga yang telah dibeli, menggantikan sijil ketulenan dan pemilikan dalam bentuk fizikal. Token ini membolehkan syarikat yang mengeluarkan barang berharga menyimpan semua maklumat berkaitan barang berharga tadi termasuk bukti ketulenan dan pemilikan.

Tambahan lagi, token LuxTag boleh dikemaskini dan maklumatnya boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja yang diberikan akses. Matlamat utama LuxTag adalah untuk menghapuskan barang tiruan, menjejak perjalanan barang itu sepanjang kitaran hayat produk dan juga menawarkan maklumat post-sale kepada syarikat. Buat masa ini, paten berkenaan teknologi LuxTag masih lagi dalam proses untuk diluluskan. LuxTag juga masih dalam proses untuk dilancarkan tidak lama lagi.

DECENT – penyelesaian masalah content distribution

Penyampai kedua adalah Matej Michalko iaitu CEO dan pemilik DECENT. Matej merupakan seorang yang mempunyai latar belakang dalam bidang komputer sains dan beliau mula terlibat dalam teknologi blockchain sejak tahun 2011, melalui aktiviti mining Bitcoin. Kini beliau tertumpu sepenuh masa kepada DECENT, sebuah organisasi non-profit yang berpusat di Shanghai.

DECENT adalah sebuah platform yang ingin merevolusasikan pengedaran aset digital dalam internet, khususnya content distributionContent distribution boleh meliputi pelbagai industri media seperti muzik, penulisan, fotografi dan juga videografi. Seperti Bitcoin yang menyingkirkan keperluan pihak ketiga dalam urusan transaksi, DECENT juga bermatlamat untuk menyingkirkan keperluan perantara (seperti penerbit dan pengedar) daripada hubungan antara pencipta content dan pelanggan. Pada masa yang sama, DECENT juga memberi peluang developers lain mencipta aplikasi mereka sendiri menggunakan kod DECENT yang terbuka.

Matej memberi contoh perantara dalam industri muzik seperti iTunes (Apple), Spotify dan Amazon. Sebagai perantara, syarikat ini mengambil sebahagian daripada keuntungan yang dibuat oleh pencipta lagu. Bayangkan jika kita membeli satu lagu di iTunes berharga USD$0.99, keuntungan itu dibahagikan 60%/40% antara iTunes dan pencipta lagu. Teknologi blockchain yang digunakan DECENT akan memastikan setiap pengedaran content dari satu tangan ke tangan yang lain dapat dijejaki dan pemilik content dapat menerbitkan content mereka terus kepada pengguna tanpa manipulasi atau kawalan pihak ketiga.

Token DECENT, DCT, adalah antara matawang krypto yang disenaraikan di coinmarketcap.com. Nilai DCT kini adalah USD$1.44 dan modal pasaran DCT telah mencecah USD$74 juta.

Publiq – membentuk semula industri media

Publiq adalah antara aplikasi yang dicipta di platform DECENT. CEO Publiq, Alexandre mempunyai latar belakang dalam bidang kewangan dan mula melibatkan diri dalam bidang fintech sebelum memulakan projek Publiq.

Seperti DECENT, Publiq merupakan sebuah platform untuk menerbitkan penulisan. Matlamat utama Publiq adalah untuk membolehkan pemilihan, penerbitan dan pengedaran media penulisan yang bebas dari penapisan (censorship) dan manipulasi. Dengan menggunakan teknologi blockchain, setiap perubahan dan peristiwa berkaitan media yang telah diterbitkan seperti views, shares dan likes akan direkod dalam lejar. Publiq ingin mencipt sebuah ekosistem dimana penulis boleh berinteraksi dengan pembaca secara langsung.

Perkongsian tentang potensi teknologi blockchain oleh Suraya

Penyampai yang terakhir adalah Suraya, yang merupakan seorang konsultan komunikasi khusunsya dalam penciptaan dan pengurusan content. Dalam sesi perkongsian beliau, Suraya banyak bercakap tentang peluang untuk menggunakan teknologi blockchain di Malaysia. Dengan menggunakan penyampai-penyampai sebelum beliau sebagai contoh, Suraya menegaskan bahawa Malaysia merupakan satu lokasi yang strategik untuk melahirkan usahawan yang boleh menggunakan teknologi blockchain dalam produk mereka.

Pada masa yang sama, menurut Suraya memandangkan penerimaan teknologi ini masih di tahap permulaan di Malaysia, pemahaman yang menyeluruh tentang teknologi tersebut sangat penting. Antara nasihat beliau adalah mula mengambil tahu tentang Bitcoin dan juga matawang krypto yang lain dari sumber-sumber yang boleh dipercayai. Seperi coin.my bukan?

Kesimpulan

Seperti yang dikatakan Suraya, teknologi ini masih belum diteroka secara meluas di Malaysia. Bitcoin yang merupakan aplikasi pertama teknologi itu juga baru sahaja sampai kepada orang ramai di Malaysia. Jika anda antara mereka yang sudah awal lagi melibatkan diri dengan Bitcoin, tahniah, anda sangat beruntung!

Bagi mereka yang merasakan sudah terlambat untuk memiliki Bitcoin, sekali lagi penulis menegaskan, Bitcoin bukanlah end-all be-all teknologi blockchain. Penulis percaya banyak lagi potensi token-token atau projek-projek lain yang menggunakan teknologi blockchain untuk anda: tidak kiralah sebagai developer, miner atau sekadar pelabur dan speculator.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.