Sistem Ekonomi Baru Berdasarkan Blockchain: Realistik atau Tidak?
Satu perkara yang sering dilontarkan mengenai teknologi Blockchain ni adalah ia berpotensi mengubah sistem ekonomi dunia. Bagaimana kewujudan teknologi Blockchain sebagai pengubah sistem transaksi atau pengkalan data boleh melompat terus kepada perubahan sistem ekonomi dunia. Realistik ke visi ini?
Majoriti dunia masih tidak tahu apa itu teknologi Blockchain. Matawang kripto mungkin semakin popular dalam kalangan generasi muda yang celik IT, tetapi rata-rata dunia masih belum bersedia untuk menerima matawang kripto, apatah lagi teknologi Blockchain. Jadi bolehkah sistem ekonomi baru berdasarkan blockchain wujud?
Apa yang dimaksudkan dengan Blockchain Economy?
Blockchain economy adalah senario di mana matawang kripto menggantikan sistem kewangan sedia ada sepenuhnya. Ini termasuk bank pusat, bank komersial, bank persendirian, institusi kewangan dan sebagainya. Kita semua tahu teknologi Blockchain diperkenalkan melalui Bitcoin, tetapi ianya lebih dari itu dan banyak dah artikel dalam coin.my yang menerangkan fungsi teknologi Blockchain, strukturnya, ciri-cirinya dan macam-macam lagi.
Secara ringkasnya, teknologi blockchain adalah lejar teragih yang merekod data transaksi dalam kaedah yang selamat, boleh disahkan dan kekal. Tiada kuasa pusat, pengantara atau pihak ketiga diperlukan untuk mengesahkan ketepatan rekod transaksi itu; sebaliknya, kepercayaan diwujudkan dan dikekalkan melalui protokol konsensus dalam satu rangkaian peer-to-peer.
Melalui perenggan di atas sahaja kita sudah boleh membayangkan implikasi teknologi ini terhadap sistem kewangan tradisional berpusat yang sedia ada sekarang. Dalam siri asal usul bank, penulis dah bercerita tentang bagaimana bank mula wujud daripada zaman purba. Hakikatnya, bank dibina atas prinsip kapitalisme, di mana entiti persendirian memiliki empat faktor pengeluaran: keusahawanan, barangan kapital, sumber dan buruh.
Dari dulu sehingga kini bank telah menjadi pengantara di antara pembeli dan penjual, penghantar dan penerima. Bank jugalah menjadi tempat penyimpan harta kita dan kerana bank adalah organisasi yang mencari keuntungan (for profit), mereka menggunakan simpanan kita untuk memberi pinjaman kepada orang lain atau melabur atau apa sahaja aktiviti perniagaan yang lain. Senang cerita, merekalah yang mengawal keluar masuk wang dari akaun negara mahupun individu.
Kemudian, Bitcoin tiba.
Kewujudan Bitcoin membuktikan bahawa pengguna boleh membuat transaksi sesama sendiri secara langsung. Sistem pertukaran Bitcoin berdasarkan peer-to-peer adalah sistem yang mentadbir sendiri; peserta rangkaian Bitcoin mempunyai persamaan kuasa dan kawalan dan yang penting mempunyai kepentingan untuk memastikan sistem ini berjalan dengan lancar.
Disebabkan semua transaksi berlaku dalam sistem dan tidak memerlukan pihak ketiga, kos transaksi adalah rendah. Tambahan lagi, protokol konsensus yang digunakan untuk mengesahkan transaksi bukan sahaja memberi insentif kepada peserta rangkaian tetapi juga memastikan sistem itu tidak terdedah kepada penipuan atau serangan siber.
Jika kita lihat secara logik, sudah pasti kita akan berfikir bahawa sistem berdasarkan teknologi blockchain mempunyai lebih banyak kelebihan daripada sistem konvensional.
Satu ekonomi token berdasarkan blockchain telah muncul, didorong oleh perkembangan cepat aset digital ini dari segi nilai dan juga kuantiti. Jika dahulu hanya terdapat Bitcoin dan altcoin, istilah yang digunakan untuk matawang kripto selain dari Bitcoin, pada hari ini, terdapat banyak elemen yang membentuk satu ekonomi baru dalam industri ini.
Elemen-elemen ini termasuklah matawang kripto, platform blockchain termasuk bursa pertukaran dan infrastruktur kripto, token sekuriti, dan stablecoin. Ekonomi digital yang pada awalnya didorong oleh penciptaan Internet kini telah berkembang pesat dengan adanya teknologi baru seperti big data, AI dan blockchain.
Ekonomi digital + blockchain = Transformasi digital
Dahulu teknologi blockchain dianggap sebagai ‘disruptor‘, iaitu inovasi yang boleh mencipta pasaran baru dan rangkaian nilai yang akan mengatasi pasaran sedia ada. Namun begitu, ramai penganalisa teknologi mengatakan teknologi blockchain bukanlah disruptive technology tetapi foundational technology yang boleh mencipta teras baru untuk sistem sosial dan ekonomi.
Jika kita lihat kepada Internet of Things, evolusi internet bermula dengan penyelidikan berkaitan packet switching dan penciptaan ARPANET, di mana dua nod pertama rangkaian itu, UCLA dan Stanford Research Institute (SRI) menghantar mesej dari hos-ke-hos. Kemudian, dari situ, penyelidikan yang berterusan membuahkan protokol TCP/IP yang seterusnya melahirkan World Wide Web.
Begitu juga dengan teknologi blockchain. Ia mungkin mengambil masa beberapa tahun malah beberapa dekad untuk transformasi ke teknologi blockchain sepenuhnya, namun apa yang pasti adalah teknologi ini masih akan wujud di masa hadapan – persoalannya adalah berapa lama sehingga ia diterima sepenuhnya. Sehingga ia menjadi sesuatu yang bukan baru atau hype, tetapi sebahagian daripada ekosistem dunia.
Jika melihat gambaran di atas, kita tidak jauh daripada titik penerimaan meluas teknologi blockchain. Apa pendapat anda?
===
Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!