Default – Above Header Ads

Syarikat Automotif Yang Menggunakan Teknologi Blockchain

Lima tahun yang lalu, sekiranya perkataan blockchain diungkapkan, pasti ramai yang ternganga atau tergaru-garu kepala kerana tidak tahu apa maknanya. Tetapi hari ini, teknologi blockchain bukan lagi sesuatu yang asing. Malah perkembangan teknologi blockchain dilihat sebagai pemacu utama kepada Revolusi Industri 4.0 dan ‘Internet of Things’ (IoT).

Tidak hairanlah, banyak syarikat yang kelihatannya berebut-rebut mahu mengadaptasikan teknologi ini ke dalam pengoperasian syarikat atau pengeluaran produk. Sama ada mereka sekadar tidak mahu ketinggalan dengan trend terkini (FOMO) atau mereka benar-benar mahu memanfaatkan segala macam faedah yang ada pada blockchain, tiada siapa yang pasti. Bak kata P. Ramlee, “Operatelah dada, x-raylah hati!” Eh.

Industri automotif adalah antara industri yang tidak mahu ketinggalan dalam memanfaatkan blockchain. Banyak syarikat pengeluar kereta yang kini sama ada dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau sudah pun mengaplikasikan teknologi blockchain dalam sistem atau produk mereka.

Mari kita lihat beberapa syarikat automotif yang sudah terkehadapan dalam hal ini.

GENERAL MOTORS

General Motors, pengeluar kereta berpengkalan di Amerika Syarikat dan telah menghasilkan jenama-jenama besar seperti Buick, Chevrolet, GMC dan Cadillac. General Motors bekerjasama dengan Spring Labs membangunkan Protokol Spring di mana perkongsian maklumat di dalam industri automotif akan ditingkatkan. Perkongsian maklumat berasaskan teknologi blockchain ini akan dapat mengurangkan kes-kes penipuan identiti yang telah menyebabkan kerugian jutaan dollar kepada industri automotif saban tahun.

PORSCHE

Siapa yang tidak pernah mengidam untuk memiliki sebuah kereta Porsche bukan? Porsche 911 atau Boxster seringkali menjadi igauan jejaka-jejaka yang mahu memilikinya dalam misi mengorat gadis idaman.

Porsche telah bekerjama dengan sebuah syarikat start-up blockchain, XAIN, untuk mengaplikasikan teknologi blochain dalam kereta-kereta Porsche. Dengan teknologi ini, pemilik Porsche boleh mengawal kunci kereta hanya dengan menggunakan aplikasi pintar, serta menyediakan sistem pembayaran automatik yang lebih mudah. Teknologi ini juga boleh dibangunkan untuk melengkapkan kereta-kereta Porsche dengan sistem pemanduan sendiri.

FORD, GENERAL MOTORS, BMW & HONDA

37 syarikat gergasi dalam industri automotif dan syarikat teknologi telah menubuhkan sebuah konsortium untuk bekerjama menerusi Mobility Open Blockchain Initiative (MOBI). Ford, General Motors, BMW dan Honda adalah sebahagian daripada konsortium ini. IBM adalah antara syarikat teknologi yang terlibat.

Ahli-ahli MOBI berhasrat untuk menjadikan kereta lebih berkemampuan untuk dimiliki, lebih selamat dan lebih mudah diakses dengan adanya teknologi blockchain.

BMW

Bayerische Motoren Werke AG – atau mudahnhya BMW – adalah jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Selalunya kereta BMW adalah pilihan buat orang kaya yang baru nak up, terutamanya ejen-ejen insurans atau unit trust. Ops.

BMW telah menjalin kerjasama dengan VeChain Thor, sebuah syarikat pembangun teknologi blockchain yang berpengkalan di Shanghai. Walaupun tiada apa-apa pengumuman khusus dibuat tentang kerjasama ini, adalah dipercayai ia bakal mengintegrasikan teknologi blockchain ke dalam kereta-kereta BMW.

DAIMLER

Dari segi jualan unit, Daimler merupakan pengeluar kereta yang ke-13 terbesar dan pengeluar lori terbesar di dunia. Tidak hairanlah, Daimler telah berkerjasama dengan Landesbank Baden-Württemberg (LBBW) untuk membangunkan sistem pembayaran berasaskan blockchain.

Malah mereka telah pun berjaya menjalankan satu transaksi utama menerusi blockchain tanpa melibatkan sebarang kaedah tradisional. Kedua-dua syarikat telah menyatakan minat untuk terus membangunkan  teknologi tersebut.

TOYOTA

Toyota, bersama-sama dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) bekerjasama bagi membangunkan kenderaan panduan sendiri yang lebih selamat. Usahama tersebut bertujuan untuk mewujudkan pengurusan data kenderaan panduan sendiri yang lebih baik.

Buat masa ini, kenderaan panduan sendiri telah banyak diuji di seluruh dunia. Namun maklumat-maklumat yang diperolehi hasil daripada ujikaji tersebut banyaknya disimpan dalam sistem yang pelbagai. Dengan teknologi berasaskan blockchain yang mahu dibangunkan oleh Toyota dan MIT ini, pengeluar kereta dapat berkongsi maklumat tentang kenderaan panduan sendiri mereka lantas mewujudkan produk yang lebih selamat.

VOLKSWAGEN

Jika ada sesiapa yang mengaku tidak pernah langsung mendengar tentang Volkswagen, anda bolehlah memandu kereta anda ke dalam gaung sekarang. Volkswagen adalah pengeluar kenderaan terbesar di dunia bagi tahun 2016 dan 2017 berdasarkan jualan di seluruh dunia. Kereta-kereta Volkswagen seperti Golf, Polo, Passat, Beetle dan Scirocco sudah tidak asing lagi di jalan-jalan di Malaysia ini.

Volkswagen juga tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan adaptasi teknologi blockchain. Volkswagen telah bekerjasama dengan IOTA bagi membangunkan sebuah tekniologi blockchain yang dikenali sebagai ‘tangle’. Teknologi ini membolehkan semua kemas kini dapat dimuatnaik dengan pantas kepada sistem kenderaan, terutamanya kenderaan panduan sendiri.

MERCEDES BENZ

Kalau di Malaysia ni, nak tahu orang itu ‘have -have’ atau tidak, tengok dia ada pandu sebuah Mercedes atau tidak. Mercedes Benz sudah begitu sinonim dengan status kemewahan dan kini, syarikat pengeluar kereta itu mahu dikenali sebagai peneraju dalam memanfaatkan teknologi blockchain pula.

Syarikat dari Jerman itu sudah pun membangunkan sebuah program prototaip yang dapat mengautomasikan transaksi di samping mengesan kenderaannya dalam rantaian bekalannya. Program ini dapat mengurangkan kos dan masa dengan signifkan dalam operasi mereka.

RENAULT

Renault telah menjalankan usahasam dengan Microsoft untuk membangunkan sistem penyimpanan data berasaskan blockchain. Sebelum ini, butiran pelanggan Renault disimpan di pelbagai pengkalan data menyebabkan sukar buat syarikat itu untuk mengakses maklumat pelanggan dengan pantas. Syarikat yang diasaskan di Perancis itu telah memohon bantuan daripada Microsoft untuk membangunkan sebuah sistem blockchain bagi mempercepat proses tersebut.

Demikianlah 9 kes stadi tentang syarikat pengeluar kereta bertaraf antarabangsa yang sama ada sudah, sedang atau akan memanfaatkan teknologi blockchain. Diharapkan kenderaan-kenderaan yang bakal dihasilkan selepas mengambil faedah daripada teknologi blockchain ini kelak adalah kenderaan yang lebih selamat, murah, berintegriti dan memberi pengalaman pengguna yang optimum kepada para pemandu.

Ironinya, ketika syarikat-syarikat pengeluar kereta ini berlumba-lumba untuk memanfaatkan teknologi blockchain yang sudah terbukti dapat memberi faedah yang besar kepada manusia sejagat, kita pula terhegeh-hegeh dank bangunkan dengan kereta terbang bertayar troli!

Ditulis dengan penuh sarkastik oleh:

Adam Effendy Mustapha

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads