Default – Above Header Ads

Tahukah Anda Terdapat Versi Blockchain yang Tidak Terbuka kepada Awam?

Kita semua sudah sedia tahu bagaimana teknologi Blockchain bermula. Dan kita juga tahu elemen-elemen penting yang membuatkan teknologi ini begitu unik dan semakin popular bukan sahaja dalam kalangan orang awam tetapi juga industri-industri besar seluruh dunia. Satu konsep paling penting tentang teknologi Blockchain adalah ianya sebuah sistem untuk meyimpan maklumat secara terbuka, boleh diakses oleh sesiapa sahaja dan sangat sukar untuk digodam.

Tetapi adakah anda tahu bahawa terdapat dua versi blockchain? Bitcoin adalah contoh aplikasi terbaik sistem public blockchain. Satu lagi versi blockchain yang banyak digunakan dalam industri adalah permissioned and private blockchain. Apa itu permissioned and private blockchain? Mari penulis terangkan.

Persamaan Public dan Private Blockchain

  • Rangkaian peer-to-peer yang bersifat decentralized, di mana setiap nod dalam rangkaian mempunyai akses kepada lejar dan terlibat dalam proses konsensus.
  • Melalui protokol konsensus, setiap salinan lejar akan dikemaskini
  • Sistem yang menjamin ketelusan dan keselamatan lejar daripada serangan siber.

Perbezaan Public dan Private Blockchain

EXMO affiliate program

Peserta dalam rangkaian

Bila kita bercakap tentang asas blockchain, antara perkara utama yang kita fikir adalah proses konsensus untuk mengesahkan transaksi. Dalam blockchain awam seperti Bitcoin dan Ether, sesiapa sahaja boleh akses lejar, sesiapa sahaja boleh menghantar transaksi dan sesiapa sahaja boleh menyertai proses konsensus dalam rangkaian tersebut. Dan sistem ini dikekalkan melalui cryptoeconomics – gabungan insentif bersifat kewangan dan ciri-ciri kriptografi dalam proses pengesahan – dan dianggap sebagai sebuah sistem yang decentralized.

Perbezaan utama dalam private blockchain adalah siapa yang boleh terlibat dalam rangkaian itu. Untuk menyertai private blockchain, peserta perlu mendapatkan jemputan atau kebenaran dan melalui proses pengesahan oleh peserta lain dalam rangkaian tersebut. Syarikat yang membina private blockchain akan mempunyai kuasa untuk menetapkan siapa yang boleh menyertai rangkaian itu, dan juga boleh menetapkan peraturan ke atas aspek-aspek lain dalam rangkaian itu.

Fungsi blockchain

Dalam public blockchain, nilai-nilai teras yang penting termasuk keselamatan (immutability), ketelusan dan perlindungan identiti (anonymity). Manakala private blockchain pula lebih tertumpu kepada sistem yang efisien dan selamat, lebih daripada ketelusan dan anonymity. Ini adalah kerana kebanyakan peserta dalam rangkaian sudah diketahui memandangkan mereka melalui proses pengesahan sebelum dimasukkan ke dalam rangkaian.

Private blockchain dalam organisasi adalah evolusi kepada pangkalan data (database) tradisional yang disimpan dalam satu entiti. Dan entiti ini mempunyai kuasa untuk berkongsi data yang di simpan dengan entiti lain. Melalui private blockchain, semua entiti dalam rangkaian boleh mendapat akses kepada pangkalan data tersebut dengan mudah.

Protokol Konsensus

Private blockchain masih lagi menggunakan elemen penting kriptografi termasuk struktur data seperti Merkle Tree untuk memastikan transaksi yang tidak disahkan tidak dimasukkan ke dalam blockchain. Selain daripada itu, nod-nod dalam private blockchain akan melalui proses pengesahan dan kelulusan dahulu sebelum diterima masuk dan mempunyai fungsi masing-masing yang telah ditetapkan. Ini berbeza dengan public blockchain di mana siapa sahaja boleh menjadi nod dan setiap nod mempunyai kuasa yang sama rata.

Private blockchain tidak menggunakan proof-of-work dalam proses konsensus memandangkan nod-nod dalam rangkaian tidak bersaing untuk mendapatkan ganjaran daripada menyelesaikan masalah matematik yang kompleks. Contoh protokol konsensus yang digunakan adalah adapatasi Byzantium Fault Tolerance (BFT), seperti projek Hyperledger yang menggunakan Practical Byzantium Fault Tolerance (PBFT). Dua versi protokol BFT yang lain adalah delegated Byzantium Fault Tolerance (dBFT) dan Federation Byzantium Agreement (FBA).

Secara ringkas, protokol BFT berasal daripada konsep BFT yang merupakan penyelesaian kepada masalah “Byzantine General’s problem“, di mana sekumpulan tentera beberapa panglima Byzantine telah mengepung sebuah istana pada setiap penjuru dan perlu menyerang secara serentak untuk menang peperangan tersebut. Dilema yang dihadapi panglima-panglima ini adalah untuk menyelaras serangan dengan kewujudan seorang pengkhianat dalam tentera mereka.

Dalam rangkaian blockchain, dilema ini menggambarkan risiko peserta yang mempunyai kepentingan sendiri yang boleh menyebabkan keruntuhan keseluruhan sistem. Protokol BFT berfungsi untuk memastikan konsensus berlaku walaupun ada nod-nod yang tidak mengikut peraturan, dengan meletakkan satu ketua yang boleh menentukan data yang akan diproses.

Kos transaksi yang rendah dan lebih laju

Kos transaksi dalam private blockchain adalah sangat rendah berbanding public blockchain kerana proses pengesahan transaksi hanya perlu dilakukan oleh beberapa nod yang dipercayai, yang sudah mempunyai processing power yang tinggi (memandangkan nod adalah organisasi besar). Proses pengesahan dalam public blockchain pula memerlukan beribu-ribu laptop untuk mendapatkan processing power yang tinggi.

Pada masa yang sama, insentif dalam bentuk kos transaksi yang diberikan kepada miners juga menyumbang kepada kos transaksi yang tinggi kepada pengguna. Ini adalah kerana miners akan memilih transaksi yang mempunyai transaction fee yang dianggap berbaloi dengan kos mining mereka.

Tambahan lagi, memandangkan jumlah nod telah ditetapkan, kadar pengesahan transaksi lebih cepat dan tidak memerlukan kuasa komputer yang tinggi seperti dalam public blockchain. Dalam kes ini, sistem private blockchain boleh berjalan dengan lebih efisien kerana setiap nod bekerja sama sepenuhnya untuk memastikan transaksi melalui proses pengesahan dengan cepat.

Infrastruktur yang boleh diubah

Mungkin perbezaan yang paling penting dan juga merupakan kelebihan bagi private blockchain adalah infrastruktur yang boleh diubah mengikut keperluan organsisasi tersebut. Organisasi yang menguasai private blockchain itu boleh menetapkan peraturan dalam sistem, seperti mengembalikan transaksi yang sudah berlaku, menentukan pihak mana yang boleh melihat bahagian spesifik lejar dan lain-lain.

Dalam public blockchain pula, proses naik taraf dijalankan secara lebih demokratik atau desentralisasi. Dalam sesetengah blockchain, pemegang stake terbesar mempunyai hak untuk mengundi untuk perubahan dalam infrastruktur blockchain itu. Dalam yang lain pula, undian akan diambil secara terbuka. Memandangkan pemegang kepentingan public blockchain lebih ramai, kadang kala proses ini akan mengambil masa yang lama ataupun pertelingkahan berlaku menyebabkan blockchain berpecah menjadi dua, seperti yang kita boleh lihat terjadi dalam komuniti Bitcoin Cash.

Kesimpulan

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak institusi kewangan dan organisasi besar yang mula tertumpu kepada private blockchain. Contoh private blockchain adalah seperti projek Hyperledger, Quorum (JPMorgan Chase), R3 Corda dan banyak lagi bank yang sudah memulakan penyelidikan dalam teknologi Blockchain seperti BNP Paribas, Bank of America dan BBVA.

Private blockchain dilihat sebagai suatu sistem yang penting untuk menambahbaik infrastruktur yang sedia ada dalam organisasi. Dan kebiasaannya ia akan digunakan dalam korporat atau syarikat besar. Namun begitu, ramai peminat matawang kripto bersetuju bahawa private blockchain tidak mencapai matlamat kewujudan teknologi blockchain yang sepatutnya desentralisasi dan telus.

Dalam artikel-artikel sebelum ini penulis banyak bercakap tentang aplikasi teknologi Blockchain selain daripada matawang kripto, dan kebanyakan industri ini sudah pun mempunyai atau menyelidik private blockchain yang tidak diketahui orang ramai. Penglibatan organisasi-organisasi ini membuktikan kepentingan teknologi Blockchain sebagai evolusi teknologi yang sedia ada.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads