Default – Above Header Ads

6 Bias Psikologi yang Mendorong Pasaran Matawang Kripto

Dalam mana-mana pasaran, tidak kira saham atau komoditi mahupun matawang kripto, pasti akan ada unsur-unsur psikologi yang akan memberi impak kepada naik turun harga dalam pasaran tersebut. Lebih-lebih lagi pasaran matawang kripto, yang masih baru dan tidak dikawal selia, menyebabkan pergerakan peserta pasaran ini bergantung kepada sentimen negatif/positif yang melanda pasaran tersebut.

Menurut seorang penganalisa psikologi pengguna di Crobox, syarikat teknologi AI, terdapat 6 bias psikologi yang wujud dalam pasaran matawang kripto. Pasaran matawang kripto adalah pasaran yang tidak stabil, dan teknologi Blockchain adalah sesuatu yang kompleks yang hanya difahami oleh mereka yang mempunyai latar belakang dalam teknologi. Ini menyebabkan peserta biasa dalam pasaran matawang kripto didorong oleh emosi, pemikiran yang kurang rasional dan pembelajaran yang hands-on atau daripada pengalaman.

Cuba lihat gambar rajah di atas. Rata-rata inilah emosi yang dihadapi oleh pelabur pada setiap titik turun naik harga matawang kripto. Dan dalam artikel ini, penulis akan jelaskan lebih mendalam teori yang dicadangkan oleh Patrick Oberstadt, menggunakan gambar rajah di bawah:

sumber: medium.com

Tahap 1: Social proof (Baca: semua orang lain pun membuat perkara yang sama)

Kali pertama anda mendengar tentang matawang kripto mungkin dari mulut orang lain, ataupun daripada bacaan di media sosial. Anda mungkin tidak kisah pada mulanya, tetapi lama-kelamaan anda akan selalu mendengar tentang matawang kripto atau membaca tentangnya. Inilah yang dikatakan sebagai fenomena Baader-Meinhof, atau ilusi kekerapan, di mana apabila anda mendengar tentang sesuatu yang baru, anda akan mula menjumpainya di mana-mana.

Pada masa yang sama, anda mula tertanya-tanya mengapa begitu ramai yang menyertai pasaran matawang kripto, membeli atau melabur dalamnya? Perasaan ingin tahu akan mula wujud dan yang paling penting apabila anda melihat ramai yang memperoleh keuntungan daripada matawang kripto, anda akan merasa rugi jika tidak menyertai golongan ini.

Bias psikologi yang pertama ini dinamakan social proof dan seringkali digunakan oleh pengguna lain untuk menarik pembeli baru melalui kaedah shillingShillers akan mempromosi satu matawang kripto di mana-mana sahaja untuk menambahkan permintaan terhadapnya dan sekaligus menaikkan nilai sesuatu matawang kripto.

Tahap 2: Authority (Baca: Mari kita ikut orang yang nampak lebih berpengalaman)

Sudah tentu peserta baru dalam pasaran matawang kripto menyertainya dengan hanya pengetahuan asas, bukan? Anda mungkin sudah membuat kaji selidik secara berterusan selama 7 hari 7 malam, tetapi anda masih tiada pengalaman dalam perdagangan matawang kripto di dunia sebenar. Untuk menyelesaikan masalah ini, anda pasti akan mencari group-group Facebook atau individu yang sudah memperoleh keuntungan, kerana mereka nampak lebih tahu selok-belok pasaran matawang kripto.

Inilah bias authority, yang berlaku apabila seorang yang kurang ilmu pengetahuan menurut apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang dianggap berpengalaman. Namun begitu, authority itu boleh sahaja melakukan kesilapan lebih-lebih lagi dalam pasaran matawang kripto yang sentiasa berubah-ubah, jadi sangat penting untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

Tahap 3: Inaction Inertia (Baca: Sudah terlambat untuk menyertainya)

Keadaan ini selalu berlaku kepada mereka yang baru pertama kali mendengar tentang harga Bitcoin apabila harganya naik mendadak, contohnya semasa ia mencapai USD$10,000 pada bulan Disember 2017 dan seterusnya hampir USD$20,000. Mereka akan merasa rugi kerana tidak mengetahui tentang Bitcoin dan membelinya semasa harga masih di bawah USD$1,000.

Inaction inertia adalah perasaan yang timbul apabila anda merasa anda sudah ketinggalan, menyebabkan anda tidak mahu membeli Bitcoin walaupun harganya sedang jatuh. Ini mungkin kerana rasa tidak puas hati kerana keuntungan yang diperoleh pasti akan lebih sedikit berbanding jika anda sudah membelinya daripada awal.

Pemikiran yang konservatif ini mungkin akan menyelamatkan anda daripada membeli semasa harga tengah naik tinggi, tetapi pada masa yang sama juga mungkin akan membuat anda merasa lebih rugi pada masa akan datang. Ini adalah kerana pasaran matawang kripto yang tidak stabil: anda mungkin mendengar tentang sesuatu matawang kripto semasa harganya naik 120%, kemudian beberapa jam ia akan naik lagi 200%. Apabila ia naik lebih 500%, itulah masanya apabila inaction inertia berubah menjadi FOMO, kerana jangkaan harga yang akan naik lagi.

Tahap 4: FOMO (Baca: Harga naik lagi? Mana boleh lepaskan peluang ini!)

Rata-rata di tahap inilah yang akan ramai peserta baru dalam dunia matawang kripto. Mungkin anda terlepas keuntungan sebelum ini, tetapi dengan harga yang semakin hari semakin meningkat, peluang keuntungan tidak boleh dilepaskan. Lebih-lebih lagi apabila pelabur yang sudah kaya raya menunjukkan kekayaan mereka di media sosial.

Perasaan FOMO atau ketakutan terlepas peluang ini sudah lama wujud di dunia ini. Zaman sebelum wujudnya media sosial, perasaan ini timbul apabila melihat jiran kita mempunyai kereta mewah atau banglo besar. Kita merasa iri hati sehingga satu tahap kita sanggup membuat pinjaman untuk memiliki kereta mewah seperti jiran kita. Tetapi perasaan FOMO ini menjadi lebih teruk apabila wujudnya elemen media sosial yang merentasi sempadan dunia. Kini bukan sahaja jiran kita yang lebih kaya tetapi orang yang berada lebih 10,000 km jauh daripada kita pun lebih kaya daripada kita.

Dan dalam konteks matawang kripto, jumlah orang yang menjadi jutawan matawang kripto seolah-olah bertambah dua tiga kali ganda setiap hari, membuatkan perasaan FOMO itu membuak-buak. FOMO ini boleh menjadi sesuatu yang positif atau negatif, bergantung kepada objektif dan strategi dalam menyertai pasaran matawang kripto.

Tahap 5: Confirmation Bias (Baca: Pedulikan apa orang lain kata, pelaburan aku adalah betul!)

Fenomena psikologi ini adalah sesuatu yang berbahaya, kerana ia berlaku apabila anda mula menolak pandangan negatif orang lain atau maklumat yang betul yang tidak sama dengan keputusan atau pandangan anda sendiri. Contohnya apabila anda membeli sesuatu matawang kripto yang kononnya mempunyai potensi tinggi kerana perasaan FOMO. Sudah tentu akan terdapat sentimen positif dan negatif terhadap matawang kripto ini, dan anda akan memilih hanya untuk mendengar pandangan yang positif sahaja untuk justify anda membuat pelaburan yang betul. Walaupun ianya tidak betul.

Dalam pasaran matawang kripto, golongan inilah yang akan shilling matawang kripto mereka secara habis-habisan dan mencari pelabur baru untuk menyelamatkan matawang kripto mereka daripada tersungkur. Di sini jugalah skim pump and dump selalunya berlaku untuk menunjukkan bahawa nilai matawang kripto itu semakin meningkat. Potensi dan utiliti sesuatu matawang kripto sudah tidak penting lagi, kerana objektif utama adalah untuk tidak rugi.

Tahap 6: FUD (Baca: Dah rugi banyak ni, baik keluar sebelum bertambah rugi)

Pernah dengar tentang teori Elliot Wave? Teori ini datang daripada seorang akauntan profesional, Ralph Nelson Elliot yang mencadangkan bahawa harga pasaran bergerak mengikut psikologi pelabur secara kolektif sama ada optimis atau pesimis secara semula jadi.

Kitaran ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam mana-mana pasaran. Apa yang naik pasti akan jatuh, tetapi setiap tahap tidak akan berterusan dengan begitu lama melainkan matawang kripto itu memang sudah tersungkur. Jika matawang kripto itu mempunyai potensi di masa hadapan, ia pasti akan naik semula dan menjalani kitaran yang sama.

Namun begitu, tidak ramai yang sedar hakikat ini. Ataupun mereka tidak tahu mereka di tahap yang mana, menjadikan perasaan tidak mahu rugi timbul. FUD adalah apabila anda mula merasa takut, tidak pasti dan ragu-ragu apabila harga matawang kripto jatuh sehinggakan anda merasa lebih baik anda keluar sekarang sebelum anda lebih rugi. Perasaan ini adalah semulajadi dalam manusia, perasaan apabila untung RM10 tidak sama dengan perasaan apabila rugi RM10, dan kalau boleh kita ingin elakkan kerugian.

Seperti FOMO, FUD ini boleh menjadi sesuatu yang positif atau negatif. Jika anda membuat keputusan untuk keluar selepas mendapat tahu matawang kripto itu adalah satu penipuan atau keluar dengan untung yang kecil, anda masih lagi tidak terlalu rugi. Tetapi jika anda jual dengan panik kerana melihat harga yang semakin jatuh, dan pada masa sama anda tidak mendapat untung, mungkin lebih baik anda tidak menyertai pasaran matawang kripto ini pada awalnya.

Kesimpulan

Kesemua bias psikologi pasti akan berlaku kepada kita semua jadi persoalannya bukanlah bagaimana kita boleh mengelak daripada perasaan-perasaan ini. Lebih penting untuk kita sedar kewujudan bias psikologi ini dan bagaimana untuk membuat langkah bijak seterusnya. Dalam pasaran matawang kripto yang tidak menentu, dua perkara penting adalah kaji selidik dan jangan terlalu tamak. Lebih-lebih lagi dalam pasaran matawang kripto yang tidak mempunyai peraturan dan garis panduan yang jelas.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads