Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Adakah Trade War USA-China Memberi Kesan kepada Dunia Kripto?

Siapa yang mengikuti perkembangan peperangan perdagangan antara negara China dan Amerika Syarikat? Mesti ramai yang akan bertanya apa kaitan US-China Trade War dengan matawang kripto. Artikel kali ini penulis ingin berbincang tentang impak peperangan perdagangan ini kepada dunia kripto, sama ada ia mempunyai kesan dan jika kesan itu signifikan.

Latar belakang tentang US-China Trade War

Sebelum Donald Trump menjadi presiden Amerika Syarikat lagi dia telah mengkritik praktis atau polisi perdagangan negara China. Dan pada tahun 2017, selepas dia menjadi Presiden AS, satu penyiasatan telah dilancarkan ke atas polisi perdagangan China.

Hasilnya, negara Amerika Syarikat telah mengenakan tarif ke atas produk dari China bernilai berbilion dollar sejak tahun 2018, dan Beijing kemudiannya membalas tindakan Amerika Syarikat itu. Pada bulan Disember 2018, kedua-dua negara bersetuju untuk menangguhkan penguatkuasaaan tarif perdagangan yang baru untuk memberi jalan kepada perbincangan.

Namun begitu, tidak mengejutkan, tiada persetujuan telah dicapai dan pada bulan Mei 2019 tarif baru dari kedua-dua negara telah dikuatkuasakan.

Bermula Mei 2019, AS mengenakan tiga tarif ke atas barangan dari China bernilai lebih $250 bilion. Tarif sehingga 25% dikenakan ke atas pelbagai produk, dari beg tangan ke peralatan untuk kereta api.

Sebagai tindakan balas, negara China mengenakan tarif dari 5% ke 25% ke atas eksport dari AS bernilai lebih $110 bilion termasuk bahan kimia, arang batu, dan peralatan perubatan.

Default – Inside Post Ads

Presiden Donald Trump berkata AS sedang dalam perancangan untuk mengenakan tarif tambahan ke atas barangan dari China bernilai $300 bilion, tetapi semasa persidangan G20 Osaka, Donald Trump mengumumkan bahawa dia dan presiden China, Xi Jinping, telah bersetuju untuk “berdamai” selepas perbincangan berlanjutan. Tarif-tarif sebelum ini masih lagi dikuatkuasakan, tetapi tiada tarif baru akan dikenakan semasa rundingan dijalankan.

Impak US-China Trade War ke atas ekonomi global

Satu artikel dari Bloomberg telah membincangkan secara terperinci impak peperangan perdagangan ini terhadap GDP, pasaran saham, ekonomi global dan juga nilai matawang.

Antara statistik yang menarik yang dijangka adalah impak tarif yang dikenakan kedua-dua negara kepada negara-negara lain. Ini adalah kerana terdapat banyak negara yang bergantung kepada eksport kedua-dua negara itu. Kedua-dua gambar di bawah menunjukkan negara-negara yang akan terjejas kerana tarif yang dikenakan, di mana angka yang di highlight menunjukkan pendedahan paling besar dalam industri.

Selain itu, peperangan perdagangan ini telah menjejaskan pasaran ekuiti dan juga matawang. Menurut beberapa laporan berita, pasaran DOW dan S&P500 terjejas sejak bulan Mei lagi.

Penurunan nilai matawang, atau currency devaluation juga adalah satu fenomena yang dikaitkan dengan peperangan perdagangan. Kebiasaannya bank pusat akan menurunkan nilai matawang negara untuk mengurangkan kesan negatif terhadap tarif yang dikenakan kepada produk negara itu, dan mengekalkan bahagian pasaran eksport mereka.

Dalam kes US-China Trade War, pada bulan Julai 2018, People’s Bank of China, bank pusat China telah menetapkan kadar rujukan untuk yuan renminbi (CNY, RMB) kepada 6.7671 CNY bertentangan dengan USD. Tindakan itu telah menurunkan nilai matawang negara itu sebanyak 0.9%.

Sementara itu, kadar pertukaran USD pula meningkat lebih dari CNY. Namun begitu, beberapa penganalisa menyatakan ini adalah disebabkan USD secara kuantitatif mendominasi sistem perdagangan global. Tambahan lagi, komoditi dan kontrak forward kesemuanya diselesaikan dalam USD, menjadikan matawang negara itu mendapat kelebihan daripada aset-aset lain.

Impak US-China Trade War ke atas dunia kripto

Kita dah lihat impak peperangan perdagangan antara AS dan China ke atas ekonomi global. Sudah tentu persoalan yang lebih penting adalah adakah ia memberi impak kepada dunia matawang kripto?

Menurut firma pengurusan aset digital Grayscale, ya. Satu laporan tentang “Hedging Global Liquidity Risk with Bitcoin” yang dikemas kini dari tahun 2016, menunjukkan harga Bitcoin meningkat 47% dari 5-31 Mei 2019. Grayscale juga menyatakan bahawa penurunan nilai matawang yuan merupakan salah satu faktor kepada larian bull Bitcoin yang disebabkan kebimbangan pelabur tempatan negara itu.

Namun begitu, hakikatnya, matawang kripto beroperasi sebagai aset desentralisasi yang beroperasi di luar bidang kuasa kerajaan mahupun negara. Jadi, matawang kripto boleh dikatakan imun terhadap kesan peperangan perdagangan. Memandangkan tiada satu badan pentadbiran yang mengawal pengeluaran dan bekalan matawang kripto seperti matawang fiat, sangat sukar untuk menjangka prestasi sesuatu matawang kripto itu.

Tetapi rata-rata penganalisa bersetuju bahawa ini menjadikan matawang kripto pilihan terbaik ketika negara dilanda masalah krisis ekonomi ataupun terjejas kerana peperangan perdagangan. Senario yang paling dijangka (dan ideal) adalah jika US-China Trade War ini berlarutan, Bitcoin akan dipertimbangkan sebagai alternatif untuk tempat penyimpanan nilai.

Apa yang pasti, dunia semakin membuka mata kepada kelebihan matawang kripto dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil. Persoalannya adalah sama ada kerajaan akan mula mempertimbangkan aset digital sedia ada seperti Bitcoin atau akan akhirnya menuju ke arah penciptaan matawang kripto bank pusat seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads