Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Apa itu Derivatif Kripto (Crypto Derivatives)?

Lumrah sesuatu yang baru adalah lama-kelamaan ia akan menarik lebih ramai orang dan menjadi lebih terkenal atau popular dari tahun ke tahun. Contohnya, media sosial. Zaman Friendster dan Myspace dahulu penggunanya mencecah dalam 75 juta dari seluruh dunia. Angka yang sudah cukup baik untuk platform media sosial yang dicipta pada awal perkenalan dunia kepada Internet.

Namun begitu, cuba kita bandingkan dengan platform Facebook yang mempunyai lebih 2.27 bilion pengguna dari seluruh dunia pada Q3 tahun 2018. Itu adalah kenaikan sebanyak 3026%. Apa yang penulis ingin sampaikan di sini adalah perkembangan pasti akan berlaku tidak kira dalam apa pun dan begitu juga dengan kripto.

Ramai yang berasa skeptikal dengan potensi pasaran kripto untuk berkembang. Ada yang mengatakan ia akan jatuh sehingga tiada nilai, ada yang mengatakan kripto adalah satu penipuan. Tetapi lebih 10 tahun setelah Bitcoin diperkenalkan di dunia, pasaran kripto masih wujud. Malahan kini kerajaan dan paling penting pelabur institusi sudah mula mengambil tahu tentang potensi kripto.

Dalam artikel kali ini penulis ingin berbincang tentang derivative kripto (crypto derivatives) yang telah menarik minat ramai pelabur institusi masuk ke dalam pasaran kripto?

Apa itu derivatif?

Sebelum kita masuk ke dalam derivatif kripto, mari belajar tentang apa itu derivatif. Menurut investopedia, derivatif adalah “sekuriti kewangan dengan nilai yang bergantung kepada, atau bersandarkan kepada, aset atau sekumpulan aset sedia ada. Derivatif itu sendiri adalah perjanjian atau kontrak antara dua atau lebih pihak, dan harganya ditetapkan oleh pergerakan nilai aset yang disandarkan itu.”

Contoh derivatif di pasaran kewangan institusi adalah saham, komoditi, bon, matawang, kadar faedah dan indeks pasaran.

Penjual kontrak itu tidak perlu memiliki aset yang disandarkan. Dia boleh memenuhi kontrak itu dengan memberi pembeli duit yang mencukupi untuk membeli aset itu pada harga yang telah ditetapkan tadi. Penjual kontrak itu juga boleh memberi pembeli kontrak derivatif lain yang boleh menggantikan nilai kontrak pertama.

Ciri-ciri inilah yang menjadikan kontrak derivatif mudah untuk didagangkan daripada aset yang disandarkan itu. Derivatif ini kebiasaannya digunakan untuk mengurangkan risiko. Contohnya, kontrak futures yang menjanjikan penghantaran bahan mentah di masa hadapan pada harga yang telah ditetapkan dalam kontrak itu. Dengan cara ini, penjual boleh melindungi dirinya jika harga bahan mentah jatuh dan pada masa sama memastikan terdapat permintaan yang konsisten walalupun harga mahal atau pembeli boleh mendapat untung jika harga bahan mentah itu naik di masa hadapan.

Derivatif kripto

Seperti derivatif yang sudah wujud dalam pasaran, derivatif kripto juga mempunyai ciri-ciri yang lebih kurang sama. Terdapat tiga jenis derivatif yang popular dalam pasaran kripto: Swap, futures dan options.

Sumber: masterthecrypto.com

Swap

Swap adalah perjanjian antara dua pihak untuk bertukar satu siri aliran duit di masa hadapan, selalunya berdasarkan instrumen yang mempunyai kadar faedah seperti pinjaman, bon atau nota sebagai aset sandaran. Jenis swap paling selalu digunakan adalah interest swap, yang melibatkan pertukaran pembayaran kadar faedah tetap di masa hadapan dengan pembayaran kadar terapung antara dua pihak.

Setakat ini masih tiada produk swap kripto yang wujud walaupun Morgan Stanley pernah berkata ia akan memulakan perdagangan Bitcoin swap jika terdapat permintaan dari klien institusinya.

Options

Options adalah kontrak kewangan di mana pembeli mempunyai hak (bukan obligasi) untuk membeli aset (dipanggil ‘call’) atau penjual mempunyai hak untuk menjual aset pada harga yang telah ditetapkan dalam masa yang telah ditetapkan (dipanggil ‘put’).

Futures

Bitcoin futures adalah produk derivatif yang paling popular dalam pasaran kripto. Ia adalah satu kontrak kewangan di mana terdapat obligasi untuk membeli atau menjual aset Bitcoin itu di satu tarikh di masa hadapan yang telah ditetapkan pada harga yang telah ditetapkan. Terdapat dua kedudukan dalam kontrak futurelong dan short.

Dalam kedudukan long, pembeli bersetuju untuk membeli aset itu di masa hadapan pada harga yang ditetapkan apabila kontrak itu tamat tempoh. Dalam short pula, penjual bersetuju menjual aset itu di masa hadapan pada harga yang telah ditetapkan.

Dengan Bitcoin futures, kontrak adalah berdasarkan harga Bitcoin dan spekulator boleh meletakkan “bet” berkenaan harga Bitcoin di masa hadapan.

Mengapa Derivatif Didagangkan?

Dalam pasaran kripto terdapat dua jenis pasaran: pasaran spot dan pasaran derivatif. Pasaran spot atau pasaran tunai adalah apa yang selalu kita lihat di mana pertukaran dan penyelesaian sesuatu aset itu berlaku serta-merta. Maknanya pertukaran hak milik dari penjual kepada pembeli berlaku sebaik sahaja transaksi dibuat.

Dalam pasaran kripto yang tidak stabil, pasaran spot mempunyai potensi besar untuk membawa keuntungan kepada peserta pasaran itu. Oleh itu, mengapa derivatif didagangkan?

1. Perlindungan daripada ketidakstabilan harga

Ini sangat logik, betul tak, memandangkan pasaran kripto yang tidak stabil? Jika anda seorang individu yang melaburkan berjuta-juta dolar ke dalam pasaran kripto, bayangkan jika harga kripto tiba-tiba jatuh teruk. Sudah pasti anda akan kerugian yang sangat besar.

Pasaran derivatif membolehkan syarikat-syarikat, entiti dan individu mengurangkan risiko kerugian dalam pasaran yang tidak stabil. Apabila harga sesuatu aset telah ditetapkan, dan tarikh di masa hadapan untuk melaksanakan kontrak juga telah ditetapkan, tidak kira jika harga asset itu jatuh atau naik, pembeli kontrak itu telah menjamin harga kontraknya di masa hadapan.

2. Hedging

Ini adalah strategi pelabur untuk melindungi portfolio pelaburan mereka. Konsep hedging ini lebih kurang sama dengan memiliki polisi insurans untuk portfolio pelaburan. Individu yang memegang aset yang banyak mempunyai risiko yang sangat besar untuk rugi. Derivatif seperti kontrak put option akan digunakan untuk membolehkan individu itu mendapat untung daripada kontraknya memandangkan nilai kontrak itu akan bertambah apabila harga aset itu jatuh.

3. Spekulasi

Dalam pasaran kripto, aktiviti spekulasi berpotensi membawa keuntungan yang besar kepada pedagang. Contohnya, pedagang boleh mendapat untung daripada jangkaan harga jatuh dalam pasaran kripto dengan shorting atau short-selling matawang kripto itu. Shorting dijalankan dengan membuat “bet” terhadap harga aset itu.

Cara untuk short adalah dengan meminjam aset daripada pihak ketiga (broker atau bursa pertukaran) dan menjualnya serta-merta dalam pasaran kerana jangkaan harga jatuh. Apabila harga sudah jatuh, pedagang akan masuk ke dalam pasaran kripto dan membeli kembali jumlah aset yang telah dijual tadi. Dengan ini, pedagang itu akan mendapat keuntungan daripada penjualan pada harga tinggi dan pembelian pada harga rendah tadi.

Populariti derivatif kripto

Populariti derivatif kripto meningkat sejak tahun 2017 dan kita boleh lihat pada purata jumlah perdagangan harian, yang melihat kenaikan lebih 40% dalam suku tahun ketiga 2018. Dari segi kewangan, purata jumlah harian Bitcoin futures adalah 5,053 kontrak, dengan nilai sebanyak $177 juta. Data ini sangat positif memandangkan harga di pasaran kripto jatuh teruk selepas mencapai all-time high di penghujung tahun 2017.

Baru-baru ini, jumlah perdagangan kontrak Bitcoin futures CME telah memecah rekod berikutan harga Bitcoin yang melonjak naik, sebanyak 22,542 kontrak yang bernilai $546 juta.

Di mana derivatif kripto didagangkan?

Sumber: masterthecrypto.com

Kesimpulan

Derivatif kripto, seperti derivatif pasaran lain adalah instrumen kewangan yang kompleks untuk menguruskan risiko pelaburan. Namun begitu, ramai penganalisa bersetuju derivatif kripto tetap berisiko tinggi, khususnya kepada pedagang atau pelabur harian dalam pasaran kripto. Ini adalah kerana sifat pasaran kripto yang sangat tidak stabil berlainan dengan pasaran tradisional. Tambahan lagi, pembekal produk derivatif kripto masih lagi mempunyai masalah dari segi kepecayaan dan integriti dalam pasaran kripto yang tidak dikawal selia.

Ini adalah antara sebab mengapa penguatkuasa semakin lama semakin banyak pengawasan dalam pasaran kripto, sebagai persediaan kemasukan pelabur institusi. Pasaran derivatif mungkin adalah sesuatu yang boleh mengembangkan lagi ekosistem kewangan pasaran kripto, dan pengurusan pasaran derivatif yang baik diperlukan untuk mengekalkan ekosistem yang sihat.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads