Default – Above Header Ads

Apa Kepentingan Matawang Kripto kepada Negara seperti Iran, Rusia dan Venezuela?

Apa persamaan antara Iran, Rusia dan Venezuela?

Ketiga-tiga sudah/ingin mempunyai matawang kripto nasional sendiri. Namun begitu, bukan itu sahaja persamaan mereka.

Sedikit latar belakang dahulu.

Venezuela

Pada pertengahan bulan September 2018, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengarahkan sekatan terhadap Presiden Venezuela, Maduro dan 6 pegawai terdekat Maduro sebagai sokongan Amerika Syarikat terhadap usaha untuk mengembalikan demokrasi kepada Venezuela yang dikuasai Maduro secara autokratik. Beberapa bulan sebelumnya, Presiden Trump telah menandatangani arahan eksekutif untuk meletakkan sekatan kewangan ke atas Venezuela, menghalang bank-bank dalam Amerika Syarikat daripada membuat perjanjian dengan kerajaan Venezuela.

Venezuela di bawah penguasaan Presiden Maduro sedang dalam keadaan inflasi yang mencecah sehingga 200,000 peratus. Makanan dan bekalan asas seperti beras, tepung, dan perubatan seperti antibiotik umpama berlian di negara itu dan semakin hari rakyat Venezuela jatuh di bawah garisan kemiskinan dunia. Kini, sebahagian besar Venezuela berusaha meninggalkan negara itu dan masuk ke negara-negara Latin Amerika yang lain, menyebabkan krisis pelarian yang semakin teruk.

Iran

EXMO affiliate program

Hubungan diplomatik Amerika Syarikat-Iran semakin tawar sejak Presiden Trump secara rasmi mengumumkan penarikan Amerika Syarikat daripada perjanjian nuklear bersama Iran yang dimeterai bekas Presiden Amerika Syarikat sebelum ini, Barack Obama. Pada masa yang sama, pentadbiran Trump juga telah mengembalikan sekatan ekonomi terhadap industri minyak Iran yang  juga memberi kesan kepada industri perkapalan Iran dan transaksi kewangan yang melalui Amerika Syarikat.

Tidak lama selepas pengumuman sekatan itu, Iran dilanda krisis kewangan selepas matawang negara itu, rial, jatuh begitu teruk dan harga barangan seperti buah-buahan, telur dan susu naik secara mendadak. Ekonomi Iran yang tidak dapat pulih sepenuhnya selepas sekatan daripada menyertai sistem perbankan SWIFT, menjadi semakin teruk selepas sekatan daripada Amerika Syarikat.

Rusia

Kalau mengikut teori konspirasi, Rusia adalah umpama shadow leader yang memanipulasi keadaan politik semasa di Amerika Syarikat. Sejauh mana kebenaran ini, hanya pentadbiran Trump yang tahu dan setakat ini lebih banyak spekulasi daripada bukti yang kukuh.

Apa yang pasti, sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Rusia semasa krisis Rusia-Ukraine sedikit sebanyak memberi kesan negatif terhadap ekonomi Rusia. Pada bulan Ogos 2017, kerajaan Amerika Syarikat meluluskan Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act yag dikenakan ke atas Rusia akibat campur tangan Rusia dalam pilihan raya tahun 2016 dan krisis Ukraine dan Syria. Awal tahun 2018, Presiden Trump mengarahkan sekatan kewangan terhadap individu dan organisasi yang didakwa dalam penyiasatan Mueller berkaitan campur tangan Rusia dalam pilihan raya tahun 2016.

Jadi apa persamaan ketiga-tiga negara?

Secara mudahnya, mereka ‘tak ngam’ dengan Amerika Syarikat. Apa sahaja kelebihan yang mereka boleh cari untuk menentang Amerika Syarikat, mereka akan menggunakannya. Dalam kes ini, matawang kripto adalah jawapan kepada keperluan Iran, Venezuela dan Rusia.

Menurut penganalisa, tujuan utama Iran dan Venezuela mencipta matawang kripto nasional adalah untuk mengatasi sekatan ekonomi yang dikenakan Amerika Syarikat. Jika kita perhati garis masa Iran mengumumkan perancangan untuk membangunkan matawang kripto negara, kita boleh simpulkan bahawa ia adalah usaha Tehran untuk menentang Washington.

Pada masa yang sama, ia juga adalah tanda kerajaan Iran ingin mengawal aliran matawang kripto di negara itu. Awal bulan Julai 2018, laman berita melaporkan bahawa hampir semua platform pertukaran di Iran diawasi sejak bulan Mei 2018. Ini adalah usaha kerajaan Iran untuk menapis aliran kripto keluar dari negara itu. Ini adalah kerana sejak ekonomi krisis melanda negara itu, semakin ramai rakyat Iran yang mula membeli Bitcoin untuk tujuan pelaburan.

Keadaan ini sama dengan Venezuela yang dilanda inflasi akibat sekatan ekonomi di negara itu. Apa yang menarik adalah dakwaan bahawa Petro, matawang kripto nasional Venezuela dibangunkan dengan sokongan daripada usahawan Rusia dan juga Kremlin, berdasarkan laporan media. Kali ini dengan Iran, desas-desus mengatakan kerajaan itu sedang dalam perbincangan bersama Moscow untuk membina satu sistem transaksi global yang membolehkan bank kedua-dua negara itu menjadi “anti-sekatan”.

Apa yang pasti, perancangan Iran ini menunjukkan satu lagi negara yang percaya kepada potensi teknologi Blockchain, atau sekurang-kurangnya potensi matawang kripto terhadap ekonomi sesebuah negara.

Sumber:

https://www.forbes.com/sites/yayafanusie/2018/08/15/blockchain-authoritarianism-the-regime-in-iran-goes-crypto/#772a96fc3dc6

https://www.abc.net.au/news/2018-11-03/trump-and-iran-sanctions/10462528

www.ccn.com/iran-and-russia-consider-using-cryptocurrency-to-evade-us-sanctions-report/

https://www.reuters.com/article/us-usa-venezuela/u-s-sanctions-venezuela-officials-trump-slams-maduro-idUSKCN1M51WC

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.