Berapa Banyak Untung Bursa Pertukaran Kripto Sebenarnya?
Dalam ekosistem matawang kripto, pemain yang paling banyak membuat untung bukanlah pedagang, tetapi bursa pertukaran kripto. Menurut laporan Bloomberg, 10 bursa pertukaran kripto teratas mengenakan jumlah yuran transaksi sehari lebih dari $3 juta. Atau lebih dari $1 bilion setahun. Untuk yuran transaksi sahaja.
Agak-agak pedagang boleh untung sampai tahap itu ataupun tidak?
Baru-baru ini, bursa pertukaran kripto Binance telah mengambil alih Deutsche Bank, salah satu bank dan institusi kewangan terbesar di Jerman. Hebat tak? Ini adalah bukti keuntungan berlipat kali ganda yang diperoleh bursa pertukaran kripto.
Graf di atas adalah anggaran keuntungan harian yang diperoleh bursa pertukaran kripto berdasarkan jumlah perdagangan yang dilaporkan oleh CoinMarketCap. Angka sebenar yang di kenakan oleh bursa pertukaran ini sukar diketahui jadi ini adalah anggaran terdekat yang boleh digunakan.
Namun begitu, jika kita lihat jumlah perdagangan harian yang dilaporkan, kita boleh sahaja menganggarkan bahawa 10 bursa pertukaran teratas memperoleh keuntungan lebih dari $1 bilion setahun. Ini menunjukkan meskipun dengan pasaran kripto yang menurun, masih ramai lagi pendatang baru dalam dunia kripto dan perdagangan mereka masih lagi membawa untung kepada bursa pertukaran kripto.
Melihat kepada graf di atas, 10 bursa pertukaran kripto teratas mengikut jumlah perdagangan dalam pasaran kripto adalah: 1) Binance, 2) Upbit, 3) Huobi, 4) Bittrex, 5) Bithumb, 6) OKEx, 7) Bits Blockchain, 8) Bitfinex, 9) Bit-Z dan 10) GDAX.
Di mana tempat bursa pertukaran di atas beroperasi?
Asia: Binance (Tokyo), OKEx (Hong Kong), Huobi (Singapura), Bitfinex (Hong Kong), Upbit (Korea Selatan), Bithumb (Korea Selatan), Bit-Z (Hong Kong) dan Bits Blockchain (Macau)
Amerika Syarikat: GDAX, Bittrex
Daripada kesemua bursa pertukaran kripto teratas, hanya dua sahaja yang bukan di rantau Asia. Mengapa bursa pertukaran kripto lebih popular di Asia? Salah satu sebabnya adalah trend penggunaan mobile untuk pembayaran yang sudah membentuk satu ekonomi yang sihat, terutama di negara seperti Hong Kong dan Singapura. Aplikasi seperti WeChat, AliPay dan sebagainya sudah digunakan setiap hari berbanding negara barat yang masih menggunakan kad kredit.
Satu lagi faktor adalah kawal selia yang lebih mesra kripto di kebanyakan negara di Asia, berbanding Amerika Syarikat. Ataupun kurang kawal selia di negara lain. Ini menyebabkan syarikat membuat keputusan untuk beroperasi di negara-negara ini kerana peluang pasaran yang besar dan risiko undang-undang yang rendah.
Kritikan kepada bursa pertukaran kripto
Di sebelah pedagang, yuran transaksi ditetapkan dan disiarkan secara awam untuk memudahkan orang ramai memilih bursa pertukaran. Namun begitu, bagi pengeluar matawang kripto, kebanyakan bursa pertukaran kripto tidak menyiarkan yuran penyenaraian kripto secara awam. Walaupun begitu, ramai yang menganggarkan bursa pertukaran kripto mengenakan bayaran ratusan ribu dolar untuk memasukkan kripto baru dalam bursa mereka.
Semakin popular dan besar bursa pertukaran itu, semakin mahal bayaran untuk memasukkan kripto dalam bursa itu. Malah terdapat laporan dari majalah Business Insider yang menyatakan pengasas ICO yang mendakwa bursa pertukaran mengenakan bayaran dari $50,000 ke $1 juta untuk menyenaraikan token mereka. Ini adalah salah satu kesan utama ketiadaan kawal selia pasaran jika dibandingkan dengan IPO yang kebiasaanya mengambil yuran 7%.
Walaupun masih tidak diketahui sama ada angka yang didakwa benar atau tidak, kita tidak boleh nafikan bahawa ia adalah sebahagian besar daripada model perniagaan bursa pertukaran kripto.
Yuran selain transaksi
Jadi, bursa pertukaran kripto bukan hanya membuat untung di atas perdagangan kripto, tetapi juga melalui penyeneraian kripto baru. Ternyata bursa pertukaran kripto adalah pemain yang paling beruntung dalam ekosistem kripto ini. Antara cara-cara lain bursa pertukaran kripto memperoleh untung adalah:
- yuran penyenaraian
- yuran transaksi
- yuran pengeluaran simpanan dan deposit
- perdagangan dark pool : Perdagangan di mana tiada siapa dapat melihat kuantiti dan harga aset yang dibeli. VC dan pelabur besar menggunakan dark pool untuk membeli atau menjual bilangan besar aset kripto supaya pasaran kripto tidak terjejas dan mereka boleh mendapatkan aset mereka pada harga yang berpatutan
- aktiviti pemasaran seperti airdrop
Di masa akan datang, pasaran kripto akan lebih padat dengan persaingan bursa pertukaran kripto kerana keuntungan yang boleh diperoleh.
===
Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!