Hayek dan Teori Matawang Persendirian
Sesiapa yang pernah belajar subjek ekonomi tetapi tidak pernah mendengar nama Friedrich August von Hayek, sila terjun gaung sekarang.
Bagi pelajar ekonomi tulen, terutamanya yang beriman dengan mazhab pasaran ekonomi bebas, F.A. Hayek bolehlah dianggap sebagai bapa ekonomi moden. Malah tidak keterlaluan jika saya mengatakan, pengidola Hayek dalam kalangan mereka yang atheis mengangkatnya sebagai dewa mereka!
Sumbangan Hayek terhadap kefahaman ekonomi moden sesungguhnya tidak dapat disangkal lagi. Pada tahun 1968, Hayek telah dianugerahkan dengan Hadiah Nobel (Ekonomi) yang dikongsi bersama-sama dengan Gunnar Myrdal atas sumbangannya yang cukup besar dalam subjek tersebut.
Dalam karyanya “The Denationalisation of Money”, Hayek mencadangkan agar sejenis matawang tidak boleh ditebus (Baca: irredeemable) yang dikeluarkan secara persendirian sebagai solusi kepada inflasi yang disebabkan oleh tindakan kerajaan dan masalah-masalah lain yang berkaitan dengannya. Matawang jenis ini akan bersaing secara langsung dengan matawang fiat yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Eh macam pernah ku dengar idea ini tapi di mana ya? Mat saleh kata, “Does it (somehow) ring a bell?”
Sudah tentulah! Bukankah Bitcoin dan lain-lain matawang kripto menepati ciri-ciri “tidak boleh ditebus” dan “dikeluarkan secara persendirian” seperti yang disebut Hayek?
Dengan teknologi blockchain yang menjadi tulang belakang kepada matawang kripto, ia malah menambah baik idea yang dikemukakan Hayek. Dengan jadual pengeluaran yang tetap dan tidak boleh dipengaruhi oleh sesiapa, matawang kripto menyelesaikan kerisauan bahawa pengeluar matawang persendirian mempunyai insentif untuk menghasilkan matawang tersebut sesuka hati tanpa sebarang pertanggungjawaban.
Hal ini kerana, untuk memastikan rancangan inflasi mawatang berjaya, ia memerlukan penglibatan dan persetujuan semua orang dan hal ini hampir mustahil untuk berlaku dalam sistem blockchain, apatah lagi jika rancangan itu jelas kelihatan tidak adil dan akan menzalimi pihak yang lain.
Malah, menurut Hayek, tindakan sedemikian hanya akan menjadikan matawang alternatif lainnya (Baca: alt coins), tampak lebih menarik untuk digunapakai. Monero contohnya, yang mempunyai jadual kenaikan harga secara tetap untuk selama-lamanya, akan menjadi lebih menarik di pasaran atas faktor kebolehramalannya.
Oleh sebab itu, pasaran matawang persendirian di mana pengguna mempunyai pelbagai pilihan berdasarkan keperluan dan objektif yang tersendiri, akan dapat berfungsi dengan baik seperti yang dirancang. Bitcoin misalnya, mempunyai insentif untuk mengekalkan prinsip-prinsip dan rangkaiannya manakala alt coinsyang lain pula mempunyai insentif untuk membangunkan sistem alternatif yang jauh lebih baik daripada Bitcoin.
Adakah anda dapat mengikuti perbincangan setakat ini?
Dari satu sudut, matawang kripto sebenarnya adalah eksperimen kepada teori Hayek di alam nyata. Matawang kripto yang dikeluarkan secara persendirian adalah saingan langsung kepada wang fiat yang dikeluarkan oleh kerajaan. Tidak seperti emas, perak atau pun garam, matawang kripto bukan komoditi dan tidak boleh ditebus sebagai komoditi. Oleh sebab itulah ia lebih mirip kepada idea yang dikeutarakan oleh Hayek.
Namun begitu, tidak boleh dinafikan yang masih banyak aspek pada matawang kripto yang perlu diperbaiki, apatah lagi jika kita berbicara tentang merevolusikan ekonomi dan menutup lubang-lubang kebobrokan, legasi daripada polisi-polisi yang gagal sebelumnya. Ketidakstabilan melampau pada harga matawang kripto kekal sebagai cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh sekalian penganut matawang kripto yang beriman. Eh.
Tiada siapa yang mahu memiliki satu matawang kripto bernilai X pada hari ini, pergi ke pasaraya untuk membeli barang-barang dapur pada keesokan harinya, hanya untuk mendapati nilai matawang kripto itu sudah susut beribu-ribu persen!
Oleh sebab itu, matawang kripto perlu terus diberi peluang untuk diujikaji dan diselidiki di pasaran bebas di alam yang sebenar. Eksperimentasi dan inovasi adalah satu-satunya cara untuk mencari solusi yang praktikal bagai merungkaikan kekurangan dan kelemahan yang ada matawang kripto.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh Nick Szabo, perintis kepada sains di sebalik matawang kripto, “Persoalan-persoalan rumit tentang matawang kripto hanya dapat diselesaikan dengan mengujinya dan melihat sendiri bagaimana ia berfungsi.”
Apa-apa pun, sekiranya Friedrich von Hayek masih lagi hidup pada hari ini, dia pasti boleh berbangga kerana cadangan dan pandangannya bukan lagi sekadar teori, tetapi sudah menjadi realiti. Dan bukan sekadar hanya realiti, tetapi realiti yang pantas menawarkan solusi!
Penulis: Adam Effendy Mustapha, COO Bayan Token
[Disclaimer : Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan. Segala cadangan, kenyataan dan nasihat datang dari pihak penulis. Pihak Coin.My tidak terlibat atau bertanggungjawab terhadap kesalahan fakta yang dikeluarkan oleh penulis.]