Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Siri tentang Cryptoeconomics : Pengenalan

Semakin hari semakin ramai yang membuka mata kepada dunia matawang kripto. Bermula dengan kewujudan Bitcoin, kini beribu-beribu jenis matawang kripto yang lahir daripadanya. Namun begitu, satu perkara yang cukup kurang adalah ilmu pengetahuan yang mendalam tentang teknologi Blockchain dan penggunaannya, selain daripada matawang kripto.

Permintaan terhadap pakar-pakar teknologi Blockchain, terutama dalam industri kewangan semakin meningkat, namun begitu kebanyakan yang mempunyai latar belakang dalam komputer sains dan teknologi maklumat pun masih belum fasih tentang teknologi itu. Dan ironinya adalah majoriti pengguna matawang kripto kurang faham atau tidak faham langsung tentang apa sebenarnya asas matawang kripto, selain daripada bagaimana memperoleh keuntungan daripadanya.

Mendidik diri anda juga adalah suatu pelaburan dalam dunia matawang kripto. Penulis juga bukanlah seorang pakar dalam teknologi Blockchain atau matawang kripto, tetapi apa yang penulis telah pelajari semuanya penulis kongsi dalam coin.my ini. Dan penulis rasa ilmu yang cetek ini sangat berguna untuk menyediakan diri di masa depan, kerana dunia matawang kripto bukan hanya untuk aktiviti spekulasi semata-mata.

Contoh kursus yang ditawarkan NYU Law

Sudah banyak universiti-universiti serata dunia menawarkan kursus berkaitan teknologi Blockchain dan juga matawang kripto. Nampaknya dunia sudah sedar kepentingan menyediakan generasi akan datang dengan ilmu pengetahuan secukupnya. Di Amerika Syarikat, universiti-universiti ternama termasuk NYU Law, Duke, Princeton, Stanford dan UC Berkeley telah pun menawarkan kursus-kursus berkaitan. Universiti-universiti di Eropah dan Rusia juga sudah mula implementasi kursus-kursus ini dalam prospektus mereka. Hanya menunggu masa sahaja untuk benua-benua lain mengikut jejak langkah mereka.

Cryptoeconomics (Cryptography + Economics)

Cukup penulis berceloteh tentang kepentingan pendidikan. Di sini, penulis ingin memulakan  siri baru di coin.my. Pernah tak anda mendengar istilah Cryptoeconomics baru-baru ini? Istilah ini mengelirukan ramai orang kerana ia seolah-olah satu disiplin yang boleh dibandingkan dengan disiplin ekonomi. Ia bukan satu cabang daripada disiplin ekonomi, dan tidak juga mengkaji aplikasi teori mikroekonomi atau makroekonomi dalam pasaran matawang kripto.

Menurut Vlad Zamfir, seorang developer Ethereum, cryptoeconomics adalah “satu disiplin yang mengkaji protokol-protokol yang menguruskan pengeluaran, pembahagian dan penggunaan barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi digital yang decentralizedCryptoeconomics adalah ilmu sains praktikal yang tertumpu kepada reka bentuk dan sifat protokol-protokol ini”. Masih lagi kurang jelas? Tidak apa, dalam siri ini, penulis akan cuba menerangkan tentang subjek ini dengan lebih jelas.

Kriptografi (Cryptography)

Cryptoeconomics datang dari dua prinsip atas di atas. Teknologi Blockchain adalah hasil daripada dua prinsip di atas, manakala Bitcoin dan seterusnya matawang kripto adalah aplikasi pertama daripada teknologi Blockchain.

Dalam post lalu tentang 3 teras utama teknologi Blockchain, kita telah belajar tentang kriptografi. Keseluruhan sistem Blockchain menggunakan asas kriptografi untuk berjalan, dan antaranya adalah:

  • hashing
  • signatures (public key dan private key)
  • protokol konsensus
  • zero knowledge proof

Tanpa asas kriptografi di atas, teknologi Blockchain tidak akan mempunyai sifat unik seperti decentralized (tidak dikuasai satu pihak), pseudonymous (privasi dilindungi), immutable (tidak boleh dirosak) dan transparent (telus). Dalam post seterusnya, penulis akan menerangkan setiap asas kriptografi satu-persatu.

Sumber: https://www.bitcoindesigned.com/infographics/the-bitcoin-transaction-life-cycle/

Kitaran hidup transaksi Bitcoin di atas menggambarkan bagaimana kesemua asas kriptografi memindahkan sejumlah BTC dari Rob ke Laura. Dalam sistem tradisional, kita hanya tahu permulaan dan pengakhiran, dan perjalanannya dikuasai oleh perantara, betul bukan? Nampak tak pentingnya kita tahu konsep-konsep ini untuk memahami perjalanan sesuatu transaksi tanpa perlu bergantung kepada pihak ketiga.

 

Ekonomi (Economics)

Prinsip kedua, ekonomi adalah umpama enjin yang menggerakkan teknologi Blockchain. Suatu sistem berdasarkan kriptografi sahaja tidak mencukupi jika tiada peserta bukan? Menurut Kamus Dewan dan Bahasa Pustaka, definisi ekonomi adalah “ilmu tentang asas-asas pengeluaran, pembahagian, penggunaan barang-barang dan perkhidmatan, serta masalah-masalah kewangan (kemasyarakatan dll) yang bersangkutan dengannya.

Sumber: conspecte.com

Jadi boleh kita simpulkan bahawa dalam sistem ekonomi matawang kripto, ada peserta (pengeluar, miner dan pengguna) dan juga barangan atau komoditi (matawang kripto). Dan dalam mana-mana sistem ekonomi yang stabil, terdapat persaingan sihat dimana ada insentif atau ganjaran bagi mereka yang menyumbang kepada ekonomi dan juga hukuman untuk mereka yang ingin merosakkan ekonomi.

Sistem ekonomi dalam teknologi Blockchain berkait rapat dengan reka bentuk mekanisme untuk memastikan setiap pemain mencapai objektif yang telah ditetapkan. Memandangkan subjek ekonomi itu sangat luas, penulis akan tertumpu kepada beberapa konsep asas ekonomi yang penting dalam mereka bentuk mekanisme dalam sistem matawang kripto termasuk:

  • struktur pasaran
  • game theory
  • supply and demand theory
  • insentif

Anda rasa ini menarik dan ingin belajar lebih lanjut? Ikuti siri ini dan marilah kita sama-sama kumpul ilmu pengetahuan tentang teknologi blockchain dan dunia matawang kripto.

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads