Soalan-soalan Popular Tentang Blockchain dan Matawang Kripto

Penulis tahu ramai di sini yang sudah lama menyertai dunia kripto, jadi banyak persoalan tentang teknologi blockchain dan matawang kripto sudah terjawab. Tetapi setiap hari pasti akan ada orang yang baru sahaja mendengar tentangnya, terutama melihat harga Bitcoin dan altcoin lain yang sudah meningkat dari hari ke hari.

Banyak sahaja soalan-soalan yang timbul tentang teknologi yang masih lagi baru ini, tetapi di sini penulis sudah mengumpul beberapa soalan-soalan popular yang sering kali ditanya, tidak kira oleh peserta baru mahupun yang sudah lama dalam dunia kripto dan blockchain.

1. Apa itu Bitcoin dan Blockchain?

Anda mesti sudah agak ini adalah soalan pertama yang akan timbul apabila orang pertama kali mendengar tentang Bitcoin. Walaupun ianya sudah menjadi pengetahuan am dalam era revolusi teknologi ini, tidak boleh dinafikan ia masih soalan popular, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan yang berumur.

Jika ayah atau ibu anda, nenek, atuk, bapa saudara dan sebagainya bertanya anda soalan ini, apakah jawapan yang paling mudah difahami? Dan jika anda sendiri masih baru dan mencari jawapan kepada persoalan ini, boleh baca penerangan paling mudah di bawah ini.

Bitcoin adalah sejenis matawang digital, ataupun matawang kripto yang dicipta sebagai alternatif kepada pembayaran menggunakan matawang fiat. Sistem disebalik Bitcoin dan matawang kripto lain adalah Blockchain yang tidak memerlukan pihak ketiga seperti bank sebagai perantara. Ia adalah satu lejar digital yang diagihkan diseluruh dunia untuk merekod setiap transaksi antara penghantar dan penerima yang berlaku dalam sistem itu.

2. Apa perbezaan matawang kripto dan matawang fiat?

Atau dalam erti kata lain, mengapa ingin menggunakan matawang kripto, jika kita sudah ada matawang fiat? Satu soalan yang logik, memandangkan kita sudah bergantung kepada matawang fiat buat sekian lama, dan dengan teknologi baru seperti paywaveduitnowepay sebagainya membelanjakan matawang fiat sudah menjadi lebih mudah dan cepat berbanding dahulu.

Jawapannya adalah dari segi kawalan, ketelusan, kelajuan dan kos. Tidak seperti matawang fiat, transaksi matawang kripto adalah dalam kawalan pemilik sepenuhnya. Dari penyimpanan (dalam wallet), kepada penghantaran dan penerimaan, semuanya tanpa memerlukan perantara seperti bank atau pembekal kad kredit, perkhidmatan pembayaran elektronik dan sebagainya.

Transaksi matawang kripto adalah telus kerana anda boleh melihat pergerakan matawang kripto dalam lejar blockchain yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Dan transaksi berlaku serta merta hanya dengan mendapatkan alamat wallet penerima. Tambahan lagi, kos pemindahan matawang kripto adalah sangat kecil berbanding matawang fiat secara elektronik, lebih-lebih lagi jika kita bercakap tentang pemindahan cross-border ataupun dari satu matawang fiat negara kepada negara lain.

Ini adalah antara perbezaan utama matawang kripto dan matawang fiat menjadikan ianya pilihan yang semakin popular.

3. Mengapa harga matawang kripto tidak stabil seperti fiat?

Soalan ini kebiasaannya ditanya oleh mereka yang mempertimbangkan untuk menyertai perdagangan matawang kripto. Ataupun yang melihat pergerakan harga Bitcoin dan altcoin lain yang sekejap melonjak naik ataupun menjunam jatuh seperti apa yang berlaku selepas all-time high di bulan Disember 2017.

Jawapan paling mudah adalah kerana harga matawang kripto bergantung hampir sepenuhnya kepada jumlah permintaan dan bekalan, dalam erti kata lain, ia mengikut law of demand and supply. Walaupun begitu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ramai yang menganggap banyak lagi elemen lain yang mempengaruhi harga matawang kripto di pasaran, seperti manipulasi, psikologi, reaksi kerajaan dan sebagainya.

Dan jika dibandingkan dengan pasaran kewangan tradisional yang dikawal selia dengan ketat, tidak mengejutkan yang ia adalah sebab mengapa harga matawang kripto tidak stabil. Tetapi pada masa yang sama, semakin matang pasaran kripto, kita sudah melihat bahawa pergerakan harganya semakin stabil dan lebih mudah untuk membuat ramalan dengan adanya data sejarah harga pasaran kripto.

4. Mining itu apa?

Bagi pendatang baru dalam dunia kripto, perkataan ‘mining’ tu mungkin agak pelik. Apa kaitan perlombongan dengan sistem pembayaran matawang kripto?

Berbalik kepada sistem blockchain tadi, memandangkan tiada perantara untuk memproses dan mengesahkan transaksi antara dua pihak, sudah pasti perlu ada satu mekanisme untuk memastikan transaksi berlaku dan jumlah matawang kripto itu berpindah dari wallet A kepada wallet B, betul tak?

Mekanisme itu adalah mining, di mana secara ringkas bermaksud suatu proses di mana nod-nod komputer akan menggunakan sumber mereka (peralatan mining, elektrik, dan sebagainya) untuk menyelesaikan masalah matematik yang kompleks untuk mengesahkan transaksi dalam blockchain. Sebagai ganjaran, nod-nod ini akan mendapat matawang kripto baru yang dilombong dalam proses itu.

Hakikatnya, tanpa pelombong atau miners, keseluruhan sistem blockchain akan gagal dan untuk memastikan mereka komited dalam mengekalkan kelancaran sistem, matawang kripto baru akan diberi sebagai insentif.

5. Apa maksud desentralisasi? Betul ke matawang kripto tidak dikawal oleh sesiapa pun?

Satu lagi soalan popular yang selalu ditanya, memandangkan istilah desentralisi itu menjadi popular dengan kemunculan matawang kripto. Cuba angkat tangan siapa yang pernah mendengar perkataan desentralisasi sebelum mereka belajar tentang Bitcoin dan teknologi Blockchain? Kalau adapun adalah mereka yang pernah belajar tentang pengurusan struktur organisasi dan topik-topik yang seangkatan dengannya.

Jadi apa itu desentralisasi dalam konteks matawang kripto dan blockchain?

Desentralisasi maksudnya adalah pemindahan kuasa daripada berpusat kepada teragih atau tersebar. Dan dalam konteks blockchain adalah reka bentuk blockchain itu sendiri, iaitu lejar yang teragih ke nod-nod seluruh dunia, memastikan sistem blockchain itu tidak dikawal oleh kuasa berpusat. Jadi siapa yang mengawal matawang kripto sebenarnya?

Jawapannya adalah semua orang yang terlibat dalam ekosistem itu. Ada yang bertanya adakah developer boleh mengawal sistem blockchain? Blockchain itu sendiri direka bentuk untuk berjalan dengan sendiri selepas dilancarkan, dan setiap penambahbaikan yang dicadang developer perlu melalui konsensus komuniti kripto itu.

Dan jika persetujuan tidak dapat dicapai antara developer dan komuniti kripto yang lain seperti miner, pengguna dan peniaga, ia akan menyebabkan perpecahan dan di situlah berlakunya fork.

6. Apa itu fork?

Ini juga soalan popular dalam dunia matawang kripto memandangkan sebelum ini ia hanya didengari dalam kalangan developer dan programmer. Secara ringkas, fork adalah perubahan dalam protokol matawang kripto kebiasaannya untuk tujuan naik taraf. Terdapat dua jenis fork, soft fork dan hard fork, dan fork akan dijalankan secara berkala untuk memastikan matawang kripto itu sentiasa ditambah baik.

Namun begitu, kadangkala fork akan menyebabkan perpisahan dalam blockchain menghasilkan dua blockchain dan matawang kripto berbeza seperti yang kita lihat dalam sejarah Bitcoin dan banyak lagi matawang kripto lain. Kebiasaannya ia disebabkan oleh perpecahan dalam komuniti yang tidak bersetuju dengan perubahan itu adalah hala tuju matawang kripto itu sendiri.

Penulis ada menulis tentang fork di sini jika anda berminat untuk tahu dengan lebih lanjut.

7. Adakah Bitcoin atau matawang kripto itu legal?

Bergantung kepada negara. Malangnya, Malaysia masih lagi tidak termasuk dalam negara-negara yang membenarkan Bitcoin ataupun matawang kripto lain sebagai matawang yang sah (legal tender). Antara negara-negara yang sama ada menjadikan Bitcoin sebagai legal tender, atau menerimanya sebagai transaksi yang sah dari segi undang-undang termasuk Jepun, Kanada, Australia, Jerman, Mexico, dan Amerika Syarikat.

Namun begitu, ia tidak menghalang orang ramai daripada menggunakan Bitcoin sebagai satu kaedah pembayaran selain daripada perdagangan, seperti Venezuela, Zimbabwe malah ada banyak peniaga di Malaysia yang sudah menerima matawang kripto sebagai kaedah pembayaran.

8.  Adakah Bitcoin dicipta untuk jenayah?

Soalan ini popular pada awal perkenalan Bitcoin. Ini adalah kerana ketika itu, mereka yang menggunakan Bitcoin hanya dalam golongan penjenayah di darknet? Ingat kes Silk Road yang berprofil tinggi suatu masa dahulu?

Tetapi hanya kerana kelebihan Bitcoin diambil kesempatan oleh penjenayah, tidak bermakna ianya dicipta untuk tujuan itu. Malah sebelum Bitcoin wujud lagi, penjenayah telah menggunakan matawang diat untuk melakukan jenayah. Dan jika pasaran matawang kripto hancur pun, dan matawang kripto hilang dari dunia, penjenayah tetap akan mencari jalan lain untuk melakukan jenayah.

Ada lagi soalan popular?

Ya, sememangnya banyak lagi soalan-soalan lain yang sering kali ditanya berkenaan matawang kripto dan blockchain. Dan sudah tentu anda pun mungkin ada soalan lain yang anda ingin bertanya tentang kedua-duanya.

Itulah gunanya coin.my. Sudah banyak artikel-artikel yang dikeluarkan yang menerangkan dengan mendalam topik-topik menarik dalam blockchain dan matawang kripto. Anda hanya perlu mencarinya.

Default – Between Post Ads