Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Bolehkah Matawang Kripto Menyelesaikan Isu Kemiskinan?

Reputasi matawang kripto dalam dunia agak buruk, dengan pelbagai scam, penipuan dan pembohongan secara berleluasa berlaku tanpa henti. Namun di satu sudut yang lain, matawang kripto mempunyai pelbagai kelebihan yang lain, yang mungkin orang awam lain tidak terfikir pun. Dan salah satu kebaikan dalam matawang kripto yang masih tidak didedahkan secara meluas adalah dengan keupayaannya membantu golongan miskin supaya mereka mempunyai kebebasan akses kewangan.

Isu kemiskinan bukan sahaja setakat tiada wang, namun ia lebih daripada itu. Ia juga merangkumi akses kepada kredit, autonomi harta, kebebasan matawang dari pengaruh dan manipulasi, dan pelbagai lagi faktor lain. Maka di sini penulis ingin memerdekakan minda pembaca supaya melihat fungsi matawang kripto sebagai alat pembebasan ekonomi, bukan sekadar cara mudah untuk cepat kaya sahaja, kerana di sebalik matawang kripto, teguhnya berdiri pelbagai konsep kemerdekaan ekonomi. 

Tiga Cara Matawang Kripto Dapat Menyelesaikan Kemiskinan

Matawang kripto digunakan untuk kebaikan? Bukankah matawang kripto dicipta untuk melakukan transaksi haram supaya tidak dapat djejaki? Sebenarnya matawang kripto telah dicipta untuk membolehkan pembayaran dalam talian “peer-to-peer” tanpa menggunakan institusi kewangan (dan malangnya sebahagian besar penggunaannya, adalah untuk memudahkan aktiviti haram). Walaubagaimanapun, penulis menyedari bahawa kripto mungkin berada di kedudukan yang unik untuk mengubah cara kita menangani kemiskinan global. Berikut adalah tiga caranya:

1. Hantar Bantuan Tanpa Rasuah

Dalam dunia kripto, matawang kripto boleh dihantar kepada, dan segera digunakan oleh, orang-orang dalam situasi krisis. Rasuah/offset yang dikenakan oleh kerajaan, penyedia di lapangan, dan juga organisasi yang bukan berasaskan keuntungan menghalang sejumlah besar bantuan daripada mencapai penerima akhir. Matawang kripto dapat memastikan mereka yang benar-benar dalam situasi krisis yang akan mendapatkan sumber yang diperlukan secara langsung, dengan menghindari keperluan untuk menghantar bantuan kewangan kepada perantara dan orang tengah.

Infrastruktur tambahan untuk menghantar matawang kripto kepada orang yang betul, dan tempat untuk mengeluarkan matawang kripto untuk melaksanakan pertukaran barang perlu dibangunkan oleh pertubuhan-pertubuhan yang ingin menggunakan matawang kripto, tetapi program-program sedemikian telah dilancarkan oleh beberapa pertubuhan bantuan. Sebagai contoh, pada tahun 2017 Program Makanan Dunia menyokong lebih daripada 10,000 pelarian Syria dengan baucar matawang digital untuk digunakan di pasar terpilih di Jordan, telah berjaya memindahkan sumbangan bernilai $ 1.4 juta dan menghapuskan rasuah semasa sumbangan ini berlangsung.

2. Identiti Ekonomi Dan Perbankan

Matawang Kripto boleh digunakan untuk memberikan identiti kewangan kepada 40% orang dewasa yang tidak mempunyai akses kepada akaun bank, yang kebanyakannya tinggal di negara sedang membangun. Menurut statistik, hampir 2 bilion orang dewasa yang tidak mempunyai akaun bank menyebut halangan seperti bayaran, jarak ke bank, tidak mempunyai dokumentasi yang diperlukan, dan alasan yang paling utama adalah tidak mempunyai aset yang mencukupi untuk membuka akaun bank.

Inklusif kewangan adalah penting untuk mengurangkan kemiskinan, dengan membenarkan orang menguruskan simpanan, menerima pinjaman, dan membina kredit. Beberapa syarikat seperti COins yang berpangkalan di Filipina dan BanQu yang berpangkalan di AS menggunakan teknologi blockchain untuk membantu golongan yang tidak mempunyai akses kepada akaun bank dengan memberi alternatif kewangan kepada golongan ini secara cekap, telus dan boleh diskalakan.

Namun, inovasi tambahan diperlukan (pada satu ketika) membolehkan individu-individu ini berurusniaga (kemungkinan besar, dengan berinteraksi dengan institusi kewangan). Hari ini, kos perkhidmatan untuk bank yang paling miskin di dunia adalah sangat tinggi – jadi membantu individu-individu ini menggunakan matawang kripto dalam pembelian dengan cara yang berpatutan akan memerlukan inovasi baru.

3. Menyimpan Wang Dalam Persekitaran Yang Tidak Stabil

Bagi kebanyakan orang dalam ekonomi membangun, simpanan untuk jangka panjang mencabar kerana inflasi yang tinggi, penyelewengan kerajaan, dan risiko aset yang dirampas jika wang disimpan dalam institusi kewangan tempatan. Matawang kripto menyediakan cara untuk mengelakkan institusi tempatan. Di samping itu, walaupun harga matawang kripto mungkin kekal tidak menentu, ia boleh menawarkan alternative kepada penduduk di negara-negara dengan fenomena hiperinflasi seperti Venezuela (inflasi 5000% pada 2017) dan Sudan Selatan (inflasi 600% pada 2016), terutamanya kerana matawang yang lebih stabil seperti USD sukar untuk diperolehi.

Projek-projek seperti stabilcoin cuba untuk mewujudkan matawang kripto yang lebih stabil untuk benar-benar memberi penduduk peluang untuk meningkatkan simpanan mereka melalui matawang kripto tanpa risiko yang besar. Walau bagaimanapun, hari ini, tidak ramai yang ingin menggunakan matawang kripto sebagai wang, jadi kita harus bertanya-tanya sama ada (dalam bentuknya sekarang) kita harus menawarkan aset yang tidak menentu kepada mereka yang memerlukan sebagai alat membina dan menyimpan harta.

Apa Yang Perlu Berlaku Dalam Dunia Kripto Untuk Menamatkan Kemiskinan?

Hubung kait antara organisasi kebajikan dan dunia kripto telah berkembang pesat, tetapi terdapat usaha penting yang perlu ditangani bagi penerima manfaat sebelum rancangan usaha untuk membebaskan kemiskinan melalui penggunaan matawang kripto dapat dilaksanakan:

Pendidikan: Jelaskan mengenai matawang kripto dan mendidik pengguna mengenai kegunaan dan faedah praktikalnya; contohnya, melalui video dalam talian menggunakan bahasa tempatan.

Teknologi Untuk Menerima dan Melakukan Transaksi Di Dunia Sedang Membangun: Salah satu caranya adalah membina teknologi untuk memastikan penduduk di negara sedang membangun yang mempunyai pengunaan Internet dan pengkomputeran yang terhad boleh mengakses matawang kripto. Sebagai contoh, syarikat seperti CoinText.io sedang membangunkan teknologi yang membolehkan pengguna menghantar BCH (dan tidak lama lagi token lain seperti DASH) melalui SMS, kerana majoriti penduduk dunia tidak memiliki telefon pintar atau komputer.

Keselamatan: Penggunaan dompet digital yang selamat untuk menyimpan aset kripto mereka; contohnya melalui dompet digital yang disediakan oleh Coinbase.

Kesimpulan

Matawang kripto telah pun membuka peluang baru dalam bidang organisasi kebajikan yang pelbagai, termasuklah dalam usaha pembasmian kemiskinan. Blockchain mempunyai potensi besar untuk meningkatkan ketelusan dalam sektor kebajikan kerana sifat azalinya yang mementingkan integriti data dan juga bersifat terdesentralisasi. Penulis yakin dan optimis dengan kombinasi organisasi yang komited dalam membasmi kemiskinan dan juga kecanggihan teknologi blockchain, misi untuk membasmi kemiskinan dapat dicapai dalam jangka masa panjang.

Penulis: Krypto Kobra

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads