Default – Above Header Ads

Kepentingan Kecairan Dalam Pasaran Kripto

Dalam apa jua jenis pelaburan, kecairan aset yang dilaburkan adalah antara faktor terpenting yang diambil kira, berbanding dengan faktor-faktor yang lainnya. Kecairan adalah sejauh mana sesuatu aset itu dapat dibeli atau dijual tanpa mempengaruhi kestabilan harganya di pasaran. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, kecairan adalah kadar sesuatu aset itu dapat ditukarkan kepada wang tunai.

Lebih mudah sesuatu aset itu dapat ditukarkan kepada tunai, maka semakin cairlah ia. Dan begitu juga sebaliknya. Contoh aset yang tinggi kecairannya adalah saham, unit amanah dan komoditi manakala aset yang rendah kecairannya adalah hartanah dan karya seni.

Bagaimana dengan kripto? Adakah ia aset yang tinggi kecairannya atau tidak? Dan apa kepentingan kecairan itu sendiri dalam pasaran kripto?

Kecairan aset kripto bergantung besar kepada pasarannya sendiri, atau lebih spesifik lagi, di platform pertukaran tempat ia didagangkan. Lebih mudah sesuatu matawang kripto itu dapat dijual beli dengan tunai atau dipasangkan dengan matawang kripto lain yang tinggi kecairannya (contohnya Bitcoin dan Ether), maka lebih tinggilah kecairan pasaran kripto itu.

Nah, mengapa kecairan kripto dianggap sebagai sesuatu yang penting? Ada beberapa faktor mengapa mereka yang terlibat secara langsung dengan pelaburan kripto amat menitikberatkan soal kecairan.

Keabsahan Kripto Sebagai Aset Pelaburan

Lama sebelum orang ramai tergila-gila untuk memiliki aset kripto seperti hari ini, lebih ramai yang skeptikal terhadap kemampuannya untuk menerobos pasaran aset pelaburan. Antara isu yang seringkali kedengaran ketika itu adalah sukarnya untuk menukar kripto kepada tunai, atau sekurang-kuranya menukarnya dengan barangan lain.

Namun semakin lama, hal ini tidak lagi menjadi isu apabila semakin ramai yang meminati kripto (terima kasih Bitcoin!) dan semakin ramai pula yang mahu berjual beli dengannya. Apabila jumlah dagangan aset kripto meningkat, ia juga meningkatkan tahap kecairannya.

Apabila kecairan sesuatu aset kripto itu meningkat, ia juga akan mengukuhkan lagi tahap keabsahannya pada pandangan orang ramai.

Harga Yang Lebih Adil Dan Baik Untuk Semua

Dalam pasaran yang cair, harga akan menjadi lebih adil kepada semua disebabkan wujudnya pembeli dan penjual yang ramai. Apabila sesuatu pasaran itu mempunyai aktviti dagangan yang tinggi, ia akan memastikan si penjual menjual asetnya pada harga yang kompetitif dan pada masa yang sama, si pembeli akan membuat permintaan pada harga yang tinggi (bergantung sejauh mana terdesaknya dia).

Natijahnya, ia akan mewujudkan satu keseimbangan (equilibrium) dalam pasaran yang saksama buat semua. Harga seimbang yang stabil adalah isyarat kepada kestabilan pasaran dan dapat memastikan penjual dan pembeli tidak dizalimi.

Kestabilan Pasaran

Kecairan yang tinggi akan memastikan harga aset kripto stabil dan tidak cenderung kepada sebarang perubahan besar yang disebabkan oleh dagangan yang besar. Sebagai contoh, amat mudah untuk pelabur yang mempunyai modal yang besar untuk mempengaruhi atau memanipulasi harga dalam pasaran (atau platform pertukaran) yang mempunyai aktiviti yang rendah. Hanya satu permintaan untuk membeli atau menjual sesuatu aset kripto, akan mengubah harga aset tersebut secara signifikannya dan hal ini akan meningkatkan risiko pelaburan di pasaran.

Sebaliknya, di dalam pasaran yang cair, harga sesuatu aset kripto adalah cukup stabil untuk berhadapan dengan permintaan jual beli yang besar dek ramainya penjual dan pembeli yang lain yang turut melakukan permintaan yang sama.

Masa Transaksi Yang Lebih Pantas

Adalah lebih mudah untuk menjual atau membeli sesuatu aset kripto di dalam pasaran yang cari memandangkan permintaan untuk menjual/membeli dapat dipenuhi dengan segera disebabkan oleh ramainya pelabur-pelabur yang lainnya. Lebih mudah untuk anda masuk atau keluar di dalam sesuatu dagangan dengan segera, yang merupakan satu faktor yang sangat kritikal dalam pasaran mawatang kripto yang sangat pantas ini.

Ketepatan Untuk Analisis Teknikal

Para pelabur dalam pasaran matawang kripto tidak boleh tidak, akan melakukan analisis teknikal untuk menilai pelaburan mereka dan juga pelaburan yang berpotensi untuk mereka sertai. Pasaran yang cair menyediakan maklumat yang lebih tepat dan jitu, memandangkan jumlah dagangannya yang besar dan aktif. Hal ini pastinya dapat memudahkan para pelabur dalam membuat keputusan yang lebih strategik.

Kecairan pasaran kripto bukan sahaja penting dalam melindungi hak para pelabur tetapi sebenarnya ia juga dapat meyakinkan pihak pemerintah untuk lebih terbuka dalam menerima aset kripto. Mungkin inilah sebabnya mengapa kerajaan Malaysia masih teragak-agak untuk membenarkan aset kripto didagangkan secara bebas tanpa sebarang sekatan mahupun kawalan.

Tidak mustahil suatu hari nanti, apabila kecairan aset kripto sudah mencapai tahap yang setanding dengan saham mahupun komoditi, pakcik makcik atok nenek  di kampung sana pun sudah boleh berbangga menayangkan e-wallet mereka yang sudah dipenuhi dengan pelbagai jenis aset kripto!

Ditulis oleh:

Adam Effendy Mustapha

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads