Default – Above Header Ads

Soros, Rockefeller dan Rothschild: Dari anti-Kripto kepada Hero Kripto?

Siapa yang tidak mengenali keluarga Rothschild atau Rockefeller, mereka itu layak duduk bawah tempurung. Kedua-duanya adalah antara keluarga terkaya di dunia sejak tahun 1900-an lagi, dan sehingga hari ini terdapat banyak mitos dan misteri yang menyelubungi mereka, terutama tentang kuasa ke atas Federal Reserve Bank di Amerika Syarikat dan juga kewangan dunia. Untuk merungkai teori konspirasi disebalik kekayaan Rothschild dan Rockefeller pasti akan mengambil masa yang sangat lama, dan itu bukanlah objektif artikel kali ini.

Seperti yang sudah diulangi dalam beribu-ribu artikel tentang Bitcoin dan teknologi Blockchain, tidak dapat dinafikan matawang kripto adalah revolusi oleh rakyat terhadap penguasaan kerajaan dari segi kewangan. Artikel sebelum ini tentang Ideologi Politik dan Matawang Kripto juga telah mengetengahkan ideologi di sebalik penciptaan Bitcoin. Senang cerita, Bitcoin adalah jawapan bagi mereka yang tidak puas hari dengan segala sekatan dan peraturan yang ditetapkan berkenaan penggunaan harta peribadi.

Penglibatan Soros, Rockefeller dan Rothschild dalam matawang kripto

Tetapi apa kaitan semua ini dengan keluarga Rockefeller dan Rothschild? Jika anda peka dengan berita matawang kripto, pasti anda sudah membaca tentang George Soros, keluarga Rockefeller dan keluarga Rothschild yang sudah mula melabur dalam matawang kripto.

Apa yang pelik adalah ketiga-tiga mereka ini dahulunya sangat skeptik terhadap matawang kripto. George Soros, Presiden Soros Fund Management pernah mengeluarkan kenyataan dalam World Economic Forum di Davos bahawa Bitcoin adalah gelembung dan hanya spekulasi berdasarkan suatu ketidakfahaman [seperti mania Tulip]. Baru-baru ini, laman berita perniagaan melaporkan Adam Fisher, yang terlibat dalam pengurusan pelaburan makroekonomi global untuk Soros Fund Management telah mendapat kelulusan dalaman untuk melabur dalam matawang kripto.

Keluarga Rockefeller pula, melalui organisasi pelaburan mereka, Venrock, kini sedang bekerjasama dengan Coinfund, firma pelaburan matawang kripto yang telah melancarkan platform perkhidmatan kewangan berdasarkan token, Coinlist. Antara projek yang berjaya di platform itu adalah Kik yang mencapai lebih USD$100 juta dalam ICO mereka.

Dan keluarga Rothschild sudah dilaporkan melabur lebih USD$210,000 dalam Bitcoin pada bulan Julai 2017 yang lalu melalui Grayscale Bitcoin Trust, sebuah badan pelaburan Bitcoin dalam bentuk saham.

Kenapa penglibatan mereka dianggap signifikan?

Mari penulis beri anda satu analogi. Bayangkan anda terdengar tentang satu produk kesihatan yang kononnya boleh mengubati sesuatu penyakit yang anda ada. Mungkin anda pada awalnya ragu-ragu tentang keberkesanan produk ini dan anda ingin bukti sebelum anda membelinya. Kenyataan daripada mereka yang pernah mengambil ubat ini dan puas hati dengan keberkesanannya tidak meyakinkan anda. Tiba-tiba anda terjumpa kenyataan seorang doktor pakar terkenal yang menyokong produk ini dan yang lebih meyakinkan anda adalah doktor ini juga memberi ubat ini kepada pesakitnya. Ataupun selebriti yang anda minat juga menggunakan produk ini. Dalam situasi ini, majoriti akan membuat keputusan untuk membeli produk itu. Setuju?

Fenomena psikologi ini adalah sesuatu yang diaplikasikan dalam pelbagai sektor, secara langsung dan juga tidak langsung. Dalam dunia matawang kripto, pasti anda perasan jumlah matawang kripto atau ICO yang mendapat endorsement daripada artis terkenal semakin bertambah, bukan? Anda pernah baca artikel 6 Bias Psikologi yang Mendorong Pasaran Matawang Kripto? Salah satu bias psikologi yang sudah menjadi kebiasaan adalah confirmation bias.

Confirmation bias berlaku apabila anda lebih memberi perhatian kepada berita atau kenyataan yang menyokong pendapat anda daripada yang bertentangan dengannya. Dan sesuatu yang memberi kekuatan kepada bias ini adalah apabila seseorang yang berpengaruh atau anda kagumi mengukuhkan pendapat anda.

Dalam kes Soros, Rockefeller dan Rothschild, siapa yang tidak mengagumi (menginginkan) kekayaan mereka, bukan? Penglibatan mereka dalam dunia matawang kripto bukan sahaja menarik pelabur baru yang mengikuti mereka, tetapi juga membuka pintu kepada mereka yang terlibat dalam dunia kewangan tradisional untuk menyertai dunia matawang kripto.

Kesannya anda boleh lihat sendiri. Dalam masa beberapa jam sahaja selepas berita tentang Rockerfeller dan Soros dikeluarkan, harga Bitcoin yang berada di bawah USD$7,000 melonjak naik  ke hampir USD$8,000 dan pada waktu penulisan adalah USD$8,134. Begitu juga impak berita tentang pelaburan keluarga Rothschild yang menaikkan harga Bitcoin lebih 40% pada tahun yang lalu.

Adakah impaknya hanya positif?

Bagi kebanyakan pelabur, tentunya penglibatan golongan yang kaya-raya ini membawa impak yang positif. Lebih ramai pelabur baru yang akan menyertai dunia matawang kripto, dan harga matawang kripto akan melonjak naik. Ramalan tentang harga Bitcoin yang akan mencecah ratusan ribu kini tidak kelihatan seperti sebuah fantasi tetapi boleh menjadi realiti. Siapa yang tidak membeli sewaktu harga Bitcoin sedang jatuh kini mula merasa rugi.

Namun begitu, adakah impaknya hanya positif? Penulis rasa tidak semudah itu. Anda mengikuti berita berkenaan cip ASIC yang sedang dicipta oleh syarikat seperti Samsung dan Bitmain? Kita semua tahu harga peralatan perlombongan ASIC yang sangat mahal, dimana ia merugikan pelombong persendirian. Impak daripada penggunaan ASIC ini ialah ia menyingkirkan semua pesaing kecil yang menggunakan GPU daripada aktiviti mining. Golongan mana yang untung di sini? Sudah pasti mereka yang mampu membeli peralatan perlombongan ASIC (baca: golongan kaya).

Dalam kes perdagangan matawang kripto, apa impak paling besar penguasaan majoriti oleh golongan kaya? Jawapannya adalah manipulasi pasaran. Pasaran matawang kripto tidak lagi dipengaruhi oleh faktor terbesar, iaitu jumlah bekalan dan permintaan, tetapi harga matawang kripto boleh dipengaruhi oleh mereka yang memegang jumlah matawang kripto paling banyak.

Kesimpulan

Apa yang pasti, penglibatan Soros, Rockefeller dan Rothschild dalam dunia matawang kripto adalah sesuatu yang dinanti-nantikan peminat kripto dan sudah dijangka sebagai sesuatu yang inevitable. Untuk jangka masa pendek ini, mereka telah membantu dalam memulihkan keadaan pasaran matawang kripto, tetapi kita belum tahu apa impak di masa akan datang nanti.

Dalam mana-mana sistem ekonomi, sudah pasti mereka yang paling berkuasa adalah mereka yang mempunyai kekayaan paling besar. Mesti anda pernah dengar petikan “Cash is king” atau “Money makes the world go round”, bukan? Kuasa daripada kekayaan, lebih-lebih lagi dalam sektor kewangan adalah sesuatu yang diimpikan ramai tetapi hanya dimiliki segelintir. Keadaan ini nampak lebih kurang seperti sistem kapitalis. Adakah ini sesuatu yang bertentangan dengan visi Bitcoin dan matawang kripto? Nak tahu, baca artikel Ideologi Politik dan Matawang Kripto.