Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

“Unpopular Opinion” tentang Matawang Kripto

Pernah dengar pepatah, every coin has two sides atau two sides of the same coin? Maksud pepatah ini adalah setiap cerita pasti ada dua belah yang bertentangan; bergantung kepada persepsi seseorang tentang isu itu. Tidak semestinya satu pandangan itu baik dan lagi satu adalah buruk, atau satu pandangan benar dan lagi satu tidak.

Dalam dunia kripto pun sama. Selalunya kita mendengar daripada peminat kripto yang menambah kepada “hype” matawang kripto, menarik lebih ramai lagi orang untuk melabur dalamnya. Dan kadang-kadang kita baca tentang kritikan terhadap matawang kripto, lebih-lebih lagi tentang betapa tidak stabilnya harga matawang kripto, sehingga menyebabkan orang ramai hilang keyakinan terhadap kripto.

Kali ini penulis ingin memperkenalkan beberap “unpopular opinion” yang bukanlah mengkritik matawang kripto, tetapi tidak juga mengangkatnya. Senang cerita, “unpopular opinion” ni adalah pendapat yang berlawanan dengan majoriti dalam komuniti kripto, lebih-lebih lagi mereka yang kononnya idealistik berkenaan matlamat kripto yang ingin membebaskan orang ramai daripada belenggu penguasaan pusat.

Kalau anda ni termasuk golongan di atas, cukup setakat ini sahaja. Tak perlu baca artikel ni. Yang lain, selamat membaca.

1. 90 peratus daripada komuniti kripto tidak faham tentang matawang kripto atau teknologi Blockchain

Betul tak? Tipulah kalau anda kata anda faham kesemua butiran teknikal disebalik matawang kripto. Lagi tipu kalau anda cakap anda boleh terangkan apa itu teknologi Blockchain secara mendalam.

Tak salah pun.

Bayangkan, berapa kerat je yang betul-betul faham bagaimana internet boleh berfungsi. Atau kenapa matawang negara kita lebih rendah daripada US Dollar, atau bagaimana nilai matawang boleh stabil. Setuju?

Jadi penulis rasa anggaran penulis bahawa 90 peratus mereka yang berada dalam komuniti kripto lebih faham tentang aspek perdagangan matawang kripto lebih dari teknikalnya. Dan ini membawa kita kepada point seterusnya.

2. Ramai orang membeli kripto bukan kerana potensi projek dari segi teknologi, tetapi untuk potensi keuntungan

Haa…yang ni lagi tepat. Sila angkat tangan siapa yang membuat penyelidikan mendalam tentang sesuatu projek, baca whitepaper mereka, mengikuti perkembangan developer di media sosial. Hmm, nampak macam ramai. Jom kita khususkan lagi soalan tu. Siapa yang membuat semua di atas dengan niat untuk melihat sama ada projek itu berpotensi melonjakkan harga coin/tokennya di pasaran?

Sekali lagi, tak salah pun.

Sudah tentu, penjanaan keuntungan lebih penting daripada perubahan yang dibawa oleh sesuatu projek Blockchain itu dalam dunia. Yang mana satu yang boleh digunakan untuk makan minum anak dan isteri?

Hakikatnya, matawang kripto yang dikeluarkan setiap hari pun rata-rata bertujuan untuk mengambil kesempatan terhadap pasaran matawang kripto yang semakin hari semakin besar. Adakah kesemua 2071 yang disenaraikan dalam pasaran mempunyai fungsi yang berguna kepada kita. Anda sendiri tahu jawapannya kan.

3. Tanpa pelabur institusi, pasaran matawang kripto tidak akan berkembang

Menurut laporan dari Bloomberg pada 1 Oktober, pelabur institusi adalah pembeli terbesar matawang kripto, dengan transaksi melebihi USD$100,000,000. Jika dahulu banyak pelabur institusi mengkritik pasaran kripto kerana harga yang tidak stabil, dengan kewujudan broker untuk membuat kontrak OTC, lebih banyak pelabur institusi yang mula berasa yakin untuk membeli matawang kripto.

Ingatkah lagi anda kepada harga “all time high” Bitcoin yang mencecah hampir USD$20,000 diikuti matawang kripto lain? Tahukah anda kenaikan itu berlaku selepas pengumuman futures contract Bitcoin di CME? Anda rasa untuk siapa operasi perdagangan itu diwujudkan?

Sukar dinafikan bahawa kemasukan pelabur institusi antara faktor utama pasaran matawang kripto masih lagi berkembang sehingga hari ini, walaupun harga pasaran sedang menurun. Ramai penganalisa yang berpendapat bahawa pelabur institusi adalah umpama anchor atau sauh yang memastikan pasaran kripto tetap terapung.

Pada masa yang sama golongan ini jugalah yang mempunyai kuasa untuk memanipulasi pasaran mengikut kepentingan mereka. Penting ni untuk tahu kerana sekurang-kurangnya kita tahu bahawa jangkaan harga matawang kripto akan naik bukan hanya angan-angan semata-mata. Selagi terdapat pelabur institusi, selagi itu kita ada safety net.

4. Regulasi kripto membawa kepada kehancuran matlamat penciptaannya

Kita semua sedia tahu matlamat asal Satoshi Nakamoto mencipta Bitcoin adalah untuk mencipta satu sistem terdesentralisasi yang tidak dikawal satu kuasa pusat. Jika, kripto mula dikawal, bukankah ia bertentangan dengan matlamat ini?

Ya dan tidak.

Disinilah komuniti kripto berbelah bagi. Di sebelah sini menyatakan bahawa regulasi kripto penting untuk menambah keyakinan pelabur dan menambah potensi matawang kripto menggantikan fiat suatu hari nanti. Di sebelah sana berpendapat bahawa kripto sepatutnya bebas daripada segala campur tangan dan kuasa kerajaan mahupun monopoli, oligopoli dan lain-lain yang seangkatan dengannya. Anda di sebelah yang mana?

Penulis rasa, mereka yang termasuk dalam golongan anarki ini sama ada mahu menyeludup berjuta-juta dolar, pengguna dark web, ataupun memang anti-kerajaan. Sebab jika anda seorang rakyat biasa yang makan gaji dan hanya inginkan pelaburan untuk masa depan, matawang kripto tu dikawal kuasa pusat ataupun tidak, tidak menjadi satu isu besar. Lihat point 2. Betul ke?

5. Sebenarnya, teknologi Blockchain ni untuk syarikat dan korporat sahaja

Setuju tak setuju?

Hakikatnya, melainkan anda belajar bidang kejuruteraan ataupun sains komputer dan ingin mencari kerjaya dalam bidang tersebut, buang masa je belajar tentang teknologi Blockchain ni. Cukuplah sekadar ambil tahu tentang syarikat mana yang sedang merancang implementasi Blockchain ini.

Seperti yang penulis sebut di atas, berapa ramai sahaja yang tahu dengan mendalam tentang bagaimana Internet berfungsi atau apa yang berlaku di back-end sesuatu aplikasi. Ilmu khusus ini lebih berguna kepada syarikat-syarikat yang ingin membangunkan teknologi tersebut. Sama juga dengan teknologi Blockchain – segala kod, software dan programming language berkaitan adalah keperluan bagi projek yang ingin mencipta aplikasi atau sistem berdasarkan Blockchain.

Bonus:

6. Antara mining dengan trading, mana lebih untung?

Ini bukanlah “unpopular opinion” tetapi lebih kepada perbezaan pendapat yang sudah lama timbul dalam komuniti kripto. Jadi, mana satu lebih untung?

Ada yang mengatakan mining lebih untung kerana anda mengumpul aset kripto dan pada masa matawang fiat anda tidak berkurang untuk membeli aset kripto itu. Memandangkan anda mining untuk mendapatkan aset kripto anda.

Di sebelah lagi satu pula menyatakan bahawa trading lebih untung kerana anda boleh sahaja mengekalkan aset kripto anda, tetapi mendapat keuntungan daripada perbezaan harga jual beli. Yang mana satu yang betul?

Pelombong Bitcoin akan mengeluarkan kapital pada awal untuk memulakan mining. Contoh, pelombong membelanjakan dalam RM40,000 untuk kos set-up mining rig termasuk kos lain. Katakan itu adalah kos 1 BTC, belum tentu boleh dapatkan 1 BTC dalam masa enam bulan mahupun satu tahun. Jadi untuk dapatkan aset kripto yang bersamaan dengan kapital yang anda sudah laburkan akan mengambil masa, bukan serta-merta.

Risiko utama dalam kes ini adalah harga matawang kripto jatuh. Jadi tidak kiralah berapa banyak aset kripto anda pegang, jika harga sedang jatuh pun belum tentu menguntungkan.

Pelombong kata, pedagang beli Bitcoin waktu harga rendah, jual Bitcoin sewaktu harga tinggi. Duit bertambah, Bitcoin hilang. Siapa kata? Jika anda bermula dengan 1 BTC yang anda beli ketika harganya RM40,000 dan menjualnya ketika harganya RM45,000, anda sudah untung RM5,000. Memandangkan harga Bitcoin naik turun dan bukannya sentiasa menaik, anda hanya perlu menunggu harga Bitcoin kembali turun ke sekitar RM40,000 untuk mendapatkan kembali Bitcoin anda.

Tetapi risiko di sini pula adalah harga semakin menaik dan tidak menurun. Di sini, strategi perdagangan adalah penting.

Kesimpulannya, kedua-dua adalah cara yang baik untuk menjana pendapatan dalam pasaran matawang kripto. Apa yang penting adalah anda mempunyai strategi yang baik tidak kiralah anda pelombong mahupun pedagang. Ataupun anda kedua-duanya.

Anda dah pun belajar tentang ciri-ciri dan kelebihan teknologi Blockchain, aspek-aspek dalam ekosistem Blockchain seperti protokol konsensus, algoritma dan sebagainya. Tetapi apa impak ilmu tu terhadap anda? Yang ni penulis tak perlu terangkan dah. Anda sendiri tahu kenapa anda belajar tentang sesuatu. Jadi jawablah sendiri ye.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.