Apa yang Menjadikan Sesuatu Matawang Kripto itu Patuh Syariah?
APA YANG MENJADIKAN SESUATU MATAWANG KRIPTO ITU PATUH SYARIAH?
Sebagai seorang Muslim, tidak boleh tidak, hidup kita mestilah berpandukan syariah. Sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi, kita punya tanggungjawab untuk memastikan diri kita, ahli keluarga, rakan-rakan dan orang di sekeliling kita untuk cuba sebaiknya berada di atas landasan syariah.
Malangnya, kadangkala kita lupa akan hal ini, terutamanya apabila ia berkaitan dengan harta dan kekayaan. Mata kita jadi kelabu, hati kita jadi bisu tatkala harta kekayaan dunia terbentang di hadapan mata. Ada yang sanggup menipu, merampas hak orang lain, menzalimi mereka yang lemah dan entah apa-apa lagi tindakan hanya kerana mahu menjaga poket seluar yang hampir koyak itu. Alahai.
Makan riba? Hah, yang itu tidak usah cakaplah!
Sejak kebelakangan ini, pelaburan dalam mata wang kripto semakin mendapat perhatian dalam kalangan umat Islam seantero dunia, meskipun tidaklah serancak orang lain. Waima harga kripto ulung Bitcoin sedang mengalami kejatuhan harga yang boleh tahan dahsyat, ia tetap tidak menghalang dari ramai orang untuk terus memperdagangkan matawang kripto di pasaran. Maka tidak hairanlah timbul pelbagai persoalan tentang status matawang kripto ini.
Orang yang biasa-biasa akan bertanya, apa hukum melabur dalam matawang kripto? Orang yang luar biasa pula akan bertanya, tidak adakah matawang kripto yang patuh syariah di luar sana?
Para ulama’ dan asatizah berbeza pendapat dalam perihal melabur dalam mawatang kripto. Secara umumnya mereka ini terbahagi kepada tiga golongan:
1. Yang mengharamkan terus sebarang urusan yang berkaitan dengan matawang kripto;
2. Yang mengharuskannya tanpa sebarang syarat; dan
3. Yang mengharuskannya tetapi dengan syarat dan langkah berjaga-jaga
Para ulama’ dan ilmuwan Islam yang mengharamkan matawang kripto selalunya terdiri daripada mereka yang agak tradisional; mereka yang tidak pernah terlibat dengan dalam apa-apa urusan yang berkaitan dengan matawang kripto atau teknologi blockchain. Apabila mereka ditanya apa hukum melabur dalam matawang kripto, mereka mengeluarkan fatwa berdasarkan pengalaman mereka yang sedia ada dan qias yang merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang lama.
‘Alim ulama’ yang mengharuskannya pula terdiri daripada mereka yang lebih moden dan kontemporari, yang berani berijtihad demi kemaslahatan ummah secara keseluruhannya. Mereka ini sama ada terlibat secara langsung dengan matawang kripto atau mengambil tahu secara aktif perkembangan-perkembangan terbaharu dalam dunia ekonomi digital.
Sudah tentu anda yang sudah atau mempunyai hasrat untuk melabur dalam matawang kripto akan cenderung pada pandangan ulama’ yang mengharuskannya bukan? Nah, sekarang pasti anda berasa lebih lega, kerana sebagai seorang pelabur Muslim yang bertanggungjawab, yang berusaha sebaiknya untuk mematuhi hukum syariah, sekurang-kurangnya halangan yang pertama sudah pun berjaya ditempuhi. Syabas!
Sekarang mari kita lihat, apa ciri-ciri yang menjadikan sesuatu matawang kripto itu patuh syariah.
Bebas daripada sebarang unsur haram
Yang ini tidak perlu dihuraikan dengan panjang lebar. Mana-mana matawang kripto yang secara terang-terangan terlibat atau mempromosikan unsur-unsur yang haram seperti arak, judi, pornografi atau riba’, yang itu kita tolak jauh-jauh.
Yang mana menjanjikan bulan dan bintang, matahari dan musytari, yang itu pun kena berjagajaga. Itu ada bau-bau scam dan kita pun sudah maklum yang scam ini haram hukumnya. Begitu juga program atau skim yang mengaplikasikan konsep MLM yang tidak patuh syariah.
Ada nilai yang tersendiri
Orang putih sebutnya sebagai intrinsic value. Ada nilainya yang tersendiri. Nilai tersendiri yang boleh dikenal pasti dan diiktiraf.
Tujuan mengapa nilai tersendiri diletakkan sebagai salah satu syarat untuk patuh syariah adalah untuk melindungi pengguna/pembeli itu sendiri. Antara maqasid (tujuan) syariah adalah untuk memastikan hak asaasi manusia – agama, nyawa, akal dan harta – dilindungi dengan sebaiknya; maka dalam urusan muamalat, sesuatu produk atau barangan itu perlu mempunyai nilai yang tersendiri bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dalam setiap transaksi.
Apa nilai bagi sebiji botol? Nilainya terletak pada air yang dikandungnya. Apa nilai pada senaskhah buku? Nilainya pada ilmu, idea atau cerita yang ingin disampaikan. Dan apa nilai pada sebuah kereta? Nilainya ialah pada keupayaannya membawa kita dari satu tempat ke tempat yang lain.
Nah, apa nilai tersendiri yang ada pada matawang kripto?
Hal inilah yang sering menjadi perdebatan hangat antara para ilmuwan dan ‘alim ulama’. Mereka yang mengharamkan matawang kripto mendakwa tiada apa-apa yang menjadi sandaran kepada nilai sesebuah matawang kripto itu; yang menjadikannya bernilai hanyalah persepsi orang ramai dan gembar-gembur yang tiada asasnya.
Sedangkan mereka yang mengharuskannya pula mengatakan, teknologi blockchain yang canggih dan terkehadapan itulah yang menjadi sandaran kepada matawang kripto. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri teknologi maklumat pasti mengakui kecanggihan dan kehebatan blockchain. Mereka inilah yang boleh mengesahkan betapa berharganya sebuah teknologi yang bernama blockchain itu. Bak kata pepatah, “Hanya Jauhari yang mengenal manikam.” Aiceh.
Namun di luar sana, sudah ada matawang kripto yang benar-benar mempunyai nilai tersendiri yang tidak boleh diragui lagi. Bayan Token contohnya, menjadikan pelayan awan peribadi (Baca: private cloud server) sebagai nilai sandarannya. Ia bermakna, setiap token yang dibeli mengandungi spesifikasi perkomputeran tertentu yang boleh dimanfaatkan dan bukannya kosong tidak mengandungi apa-apa.
Menarik bukan?
Ketidakpastian yang munasabah
Apa-apa bentuk pelaburan sekalipun, ia pasti mempunyai elemen ketidakpastiannya yang tersendiri. Namun yang membezakan sama ada pelaburan itu patuh syariah atau tidak ialah tahap ketidakpastian itu.
Sebahagian ulama’ yang mengharamkan penggunaan Bitcoin misalnya, menjadikan alasan pencipta Bitcoin iaitu Encik Satoshi Nakamoto ialah seseorang yang tidak dikenali dan tidak diketahui identitinya. Maka timbullah persoalan-persoalan; siapakah Encik Satoshi itu sebenarnya? Adakah dia seorang pengganas yang mahu memanipulasi sistem kewangan dunia? Adakah Bitcoin akan digunakan untuk tujuan buruk yang akan memudaratkan seluruh umat manusia?
Ok terlebih rempah dan perasa pula di situ.
Oleh sebab itu anda yang berminat untuk melabur dalam mana-mana matawang kripto, perlukan melakukan kaji selidik terlebih dahulu agar sebarang elemen ketidakpastian dapat dihapuskan atau sekurang-kurangnya dikecilkan. Kebanyakan matawang kripto baharu dilancarkan menerusi Initial Coin Offering yang amat mirip dengan Tawaran Awam Awal (Baca: Initial Public Offering). Di sinilah anda boleh melakukan penilaian sebaik-baik dan sedalam-dalamnya dengan mengorek semua maklumat yang anda perlukan sebelum membuat keputusan untuk melabur. Ia boleh didapati menerusi pembacaan kertas putih (baca: whitepaper), laman sesawang penerbit token atau kajian bebas yang menggunakan sumber yang pelbagai.
Sekali lagi mengambil contoh Bayan Token, semua maklumat dipaparkan dengan jelas di laman sesawang rasmi mereka; apa projek-projek yang mahu dibangunkan mereka, berapa sasaran kutipan hasil jualan Bayan Token, apa perancangan mereka untuk masa hadapan dan siapa ahli-ahli pasukan di sebalik Bayan Token. Kertas putih mereka juga boleh dimuat turun dengan mudah dan pantas untuk dibaca.
Selain itu, penggunaan teknologi blockchain yang menjadi platform asas kepada penerbitan matawang kripto juga sebenarnya telah banyak mengurangkan elemen ketidakpastian yang ada pada sesebuah matawang kripto. Ia adalah kerana teknologi blockchain adalah ibarat sebuah lejar awam yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Tiada sesiapa yang boleh bersembunyi apabila sesebuah transaksi sudah dicatatkan pada sesebuah blok itu. Gotcha!
Teknologi blockchain juga tidak boleh dikawal oleh satu pihak pada satu-satu masa kerana ia adalah sebuah aplikasi yang tidak terpusat (Baca: decentralized). Ia menjadikan blockchain ini sangat telus dan adil. Bolehlah kita katakan teknologi blockchain ini adalah sebuah manifestasi demokrasi ulung era ini!
Nah sekiranya sesebuah matawang kripto mematuhi ketiga-tiga kriteria tadi – bebas daripada unsur haram, ada nilai tersendiri dan elemen ketidakpastian yang munasabah – bolehlah kita katakan matawang itu sudah mematuhi prinsip-prinsip Syariah.
Kenapa “bolehlah?” Sebab konsep patuh syariah itu sendiri adalah konsep yang masih diperdebatkan oleh para ilmuwan Islam. Sehingga ke saat ini, para ‘alim ulama’ terus mengkaji dan meneliti instrumen kewangan yang ada di luar sana, termasuklah matawang kripto, demi memastikan kemaslahatan umat sejagat. Kerana itu kita wajar berterima kasih kepada mereka ini kerana pada suatu sisi, telah memudahkan urusan seharian kita.
Saya tutup penulisan ini dengan kata-kata seorang tokoh ilmuwan Islam yang amat berpengaruh,
Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:
“Ketika kamu tidak memiliki pengetahuan, seseorang bisa saja membawakan kotoran kepadamu dan kamu akan mempercayai itu bisa menjadi emas.”
Belilah dengan ‘tahu’ dan laburlah dengan ilmu!
Penulis: Adam Effendy Mustapha, COO Bayan Token
[Disclaimer : Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan. Segala cadangan, kenyataan dan nasihat datang dari pihak penulis. Pihak Coin.My tidak terlibat atau bertanggungjawab terhadap kesalahan fakta yang dikeluarkan oleh penulis.]