Traders Fair Malaysia 2019

Kekeliruan tentang Teknologi Blockchain dan Matawang Kripto

Pengetahuan asas tentang teknologi Blockchain dan matawang kripto adalah sesuatu yang penulis anggap sangat penting, lebih-lebih lagi bagi syarikat-syarikat yang ingin menjalankan projek matawang kripto atau implementasi teknologi Blockchain dalam infrastruktur perniagaan mereka. Malah, kerajaan juga perlu memahami teknologi ini dan impaknya dengan lebih mendalam, terutama jika regulasi matawang kripto dan teknologi Blockchain ingin dikuat kuasakan secara efektif.

Tidak lupa juga kepada pelabur-pelabur institusi mahupun kasual yang ingin melabur dalam projek-projek Blockchain. Jika anda tidak tahu bagaimana ia berfungsi, bagaimana anda ingin menilai potensi sesuatu projek, betul tak? Senang cerita, ilmu tentang Blockchain ini penting kepada semua kerana ia adalah ilmu masa depan yang akan (sedang) merevolusikan dunia.

Adatlah, bila kita sedang belajar tentang sesuatu pasti akan timbul kekeliruan tentangnya. Lebih-lebih lagi jika subjek itu sesuatu yang sangat baru. Jadi, apa dia kekeliruan yang sering timbul tentang teknologi Blockchain dan matawang kripto?

Bitcoin dan teknologi Blockchain

Penulis pasti ramai yang sudah tahu sebenarnya perbezaan Bitcoin dan teknologi Blockchain. Tetapi bagi pendatang baru dalam dunia matawang krypto, mungkin kedua-dua ini agak mengelirukan. Tambahan lagi apabila kebanyakan pelabur lebih fokus kepada pergerakan naik turun harga matawang krypto daripada perkembangan teknologi Blockchain.

Fungsi blockchain dalam transaksi Bitcoin

Sebahagian kekeliruan datang daripada bagaimana kedua-dua istilah digunakan. Apabila Bitcoin dicipta, ia adalah satu-satunya Blockchain yang wujud. Definisi Blockchain dikaitkan dengan mekanisme untuk mencapai consensus dalam Bitcoin: iaitu rangkaian blok-blok yang merekod transaksi kriptografi, iaitu Bitcoin. Selalunya apabila seseorang bertanya apakah teknologi Blockchain, jawapan yang mudah adalah ianya satu pengkalan data (database) yang terbuka, dimana semua maklumat yang terpapar dikongsi dalam rangkaian nodes.

Mudah bukan? Sebenarnya ia lebih dari itu. Untuk permulaan, penulis akan menerangkan teknologi ini dari segi bagaimana Bitcoin berfungsi. Teknologi Blockchain mempunyai 3 prinsip asas, iaitu 1) Kunci kriptografi, 2) rangkaian peer-to-peer dan 3) satu ekosistem yang dibina melalui pemberian insentif untuk menguruskan transaksi dalam rangkaian.

Kunci kriptografi

Untuk membuat transaksi Bitcoin, anda memerlukan dua jenis kunci kriptografi. Public key akan digunakan sebagai alamat untuk menerima dan menghantar Bitcoin, di mana ianya boleh dilihat orang ramai. Private key pula disimpan oleh pemilik Bitcoin untuk akses Bitcoin, jika private key hilang, Bitcoin juga akan hilang.

Sumber: http://www.electronicdesign.com/embedded/crypto-essentials

Rangkaian peer-to-peer

Setiap blok yang mempunyai input Bitcoin akan dilepaskan dalam rangkaian yang dipenuhi nodes untuk mendapat pengesahan yang cukup. Inilah yang dinamakan sistem peer-to-peer, dimana blok tersebut akan ditiru oleh semua node dalam rangkaian sehingga ia mendapat pengesahan yang cukup dan transaksi di dalam blok tersebut diterima.

Analogi yang mudah difahami adalah apabila berlaku sesuatu jenayah. Satu saksi dianggap tidak cukup untuk membuktikan jenayah itu berlaku, tetapi jika terdapat banyak saksi (yang tidak mengenal satu sama lain), kita boleh merumuskan yang jenayah itu memang berlaku. Dalam Bitcoin, saksi adalah node yang mengesahkan transaksi dengan menyelesaikan masalah matematik.

Insentif untuk pengesahan transaksi

Tanpa node yang menyertai rangkaian, transaksi Bitcoin takkan dapat berlaku. Node, yang terdiri daripada miners adalah tulang belakang yang memastikan sistem berjalan lancar. Pemberian insentif adalah penting untuk memastikan transaksi Bitcoin mendapat pengesahan. Dan inilah yang dikatakan mining melalui protokol proof-of-work, di mana miners menyelesaikan masalah matematik yang kompleks dan menerima ganjaran bagi setiap blok dalam bentuk Bitcoin.

Evolusi teknologi Blockchain

Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah penerangan yang diringkaskan untuk menerangkan teknologi Blockchain dalam Bitcoin. Untuk penerangan yang lebih teknikal, anda boleh baca post oleh Ular TB-itcoin di sini.

Kini terdapat banyak projek Blockchain yang menambah baik teknologi Blockchain daripada Bitcoin. Antara contoh-contoh projek termasuk Ethereum, Litecoin, Ripple dan Dash. Mereka ini semua adalah evolusi teknologi Blockchain yang sudah sedia ada. Antara evolusi teknologi Blockchain yang dikaitkan dengan projek-projek ini adalah seperti protokol consensus selain proof-of-work seperti proof-of-stake (Peercoin, blackcoin, NXT).

Selain itu, kita dapat lihat banyak projek-projek dalam sektor selain kewangan yang mula menggunakan teknologi Blockchain dan anda boleh membaca banyak artikel tentang use case di coin.my di bawah kategori Blockchain.

Matawang kripto

Mesti persoalan anda yang seterusnya adalah apa beza teknologi Blockchain dan matawang kripto, betul tak? Banyak projek yang disebut penulis seperti Ethereum, Ripple, Dash dan lain-lain juga adalah matawang kripto. Penulis pasti ramai yang masih keliru.

Mari kita lihat definisi matawang kripto dahulu. Matawang kripto adalah aset digital yang boleh digunakan sebagai medium pertukaran. Kaitan matawang kripto dengan teknologi Blockchain adalah penggunaan teknologi itu yang membolehkan transaksi matawang kripto berlaku dalam sistem yang decentralized tanpa pihak ketiga seperti bank.

Dalam kes Bitcoin, Dogecoin, Litecoin dan matawang krypto yang seangkatan, kita boleh merujuk mereka sebagai teknologi kerana kedua-dua token/teknologi tidak boleh berpisah dan takkan wujud jika salah satu tiada. Tetapi jika dalam projek seperti Ethereum, Ripple dan NEM, kita akan merujuk matawang kripto sebagai native token atau utility token kerana ia diperlukan untuk akses perkhidmatan projek tersebut, dan kedua-dua konsep ini boleh dipisahkan.

Jadi, bolehkah teknologi Blockchain wujud tanpa token?

Jika token adalah suatu aset, sama seperti konsep saham, kenapa ianya diperlukan untuk teknologi Blockchain? Persoalan ini seringkali dibahaskan, lebih-lebih lagi dengan kadar kenaikan ICO sekarang ini. Ada yang berpendapat token tidak diperlukan jika teknologi Blockchain digunakan sebagai pengkalan data atau pengurusan data seperti content, cloud storage dan listings. 

Satu jawapan yang mungkin boleh menjawab persoalan tentang hubungan token/teknologi Blockchain adalah kewujudan ekonomi mikro. Dalam dunia matawang krypto, ekonomi wujud apabila token dijual, dibeli, ditukar, dilabur dan digunakan dalam aktiviti kewangan yang lain. Pemain-pemain dalam ekonomi akan mengaut untung jika sistem ini boleh berkekalan dalam jangka masa panjang dan pengurusannya dijaga dengan baik. Rujuk kepada teori tentang self-interest, dimana setiap orang yang melakukan sesuatu adalah untuk kebaikan dirinya. Sudah tentu mereka yang dibelakang projek-projek Blockchain juga ingin mendapat keuntungan daripada usaha mereka, betul bukan?

Mungkin teknologi Blockchain boleh wujud tanpa token, dan ini dapat dilihat dalam projek seperti Hyperledger yang tidak mempunyai token sendiri tetapi membolehkan projek-projek lain yang mempunyai token seperti Sphre dan VIVA wujud dalam Blockchain itu. Namun begitu, bagi kebanyakan developer, persoalannya sudah pasti apa yang mereka dapat daripada usaha mereka? Mungkin itulah jawapan dia.

 

Traders Fair Malaysia 2019