Default – Above Header Ads

Dunia Tanpa Wang Tunai

Dunia tanpa wang tunai? Macam tak logik je. Bayar dengan menggunakan emas ke? Sudah tentu tidak.

Mahu tidak mahu, perkembangan teknologi telah membawa kita mendekati dunia tanpa wang tunai. Ia bukanlah bermakna wang tunai tidak lagi wujud di dunia, tetapi ia tidak akan wujud dalam bentuk fizikal, hanya paparan dalam skrin telefon atau komputer sahaja. Ini adalah kerana dunia kita sudah berkembang ke arah pendigitalan secara keseluruhannya.

Menurut penulis buku berjudul “The End of Money: Counterfeiters, Preachers, Techies, Dreamers– and the Coming Cashless Society”, sumbangan yang paling memberi impak daripada penciptaan telefon pintar adalah kewujudan aplikasi yang mengubah peranti itu menjadi dompet, alat pemindahan nilai dan pembayaran, memberi kemudahan kepada berbilion orang di dunia ini, terutama mereka yang tidak mempunyai bank.

Bolehkah dunia wujud tanpa wang tunai?

Melihat kepada peredaran zaman, terdapat pelbagai cara untuk membelanjakan wang kita tanpa perlu kita mengeluarkan wang tunai di ATM terdekat dahulu. Di negara-negara membangun seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan sebagainya, kini lebih mudah untuk mengimbas telefon pintar di skrin pembayaran daripada mengeluarkan wang tunai atau kad kredit dari dompet.

Jika anda membeli kopi atau snek untuk rakan-rakan sekerja, anda tidak perlu lagi membuka buku 555. Aplikasi seperti Venmo, PayPal, Cash App dan sebagainya – DuitNow, Boost, Touch n Go di Malaysia – menjadikan ia mudah untuk membuat pembayaran, membayar hutang atau memindah wang dengan cepat. Pelbagai aplikasi di telefon pintar telah dibangunkan untuk membayar satu bil berama-ramai.

Mengapa negara menuju ke arah “cashless“?

Sebelum ini penulis pernah menulis artikel tentang evolusi negara China ke arah menjadi cashless society. Sebenarnya, banyak lagi negara lain selain daripada negara China yang sudah menuju ke arah ekonomi tanpa wang tunai.

Antaranya adalah Australia, Sweden, Ecuador, India, dan Korea Selatan. Dan setiap negara mempunyai sebab-sebab tersendiri selain daripada perkembangan teknologi untuk mengurangkan jumlah wang tunai.

Contohnya Sweden. Negara itu adalah negara Eropah pertama yang mengeluarkan wang tunai pada tahun 1661 dan ia mungkin adalah negara pertama yang akan berhenti menggunakannya. Menurut pelbagai sumber berita, negara Sweden dijangka akan menjadi cashless society dunia yang pertama menjelang bulan Mac 2023.

Menurut bank pusat Sweden, Riksbank, hanya 20% daripada pembelian di kedai pada tahun 2015 dibuat dengan wang tunai. Antara faktor mengapa Sweden ingin menjadi cashless adalah kerana populasi negara itu yang kecil menyebabkan pengedaran matawang fizikal tidak efisyen dan mahal, hanya terdapat beberapa bank sahaja di negara itu yang memudahkan penyelarasan sistem pembayaran dan juga infrastruktur negara itu yang mesra teknologi.

Ini berlainan dengan negara India yang mempunyai cita-cita untuk bergerak ke arah cashless society untuk membasmi jenayah dan ekonomi pasaran hitam yang berleluasa di negara itu. Pada bulan November 2016, bank pusat India telah melarang penggunaan nota rupée 1000 dan 500 yang telah membuang hampir 85% daripada bekalan wang tunai dalam negara itu.

Selain daripada itu, polisi kewangan juga boleh menjadi faktor peralihan kepada ekonomi cashless. Contohnya penetapan kadar faedah negatif yang semakin meningkat seperti di negara Eropah, Belanda, Switzerland, Sweden dan Jepun. Dalam polisi ini, bank pusat akan mengenakan faedah kepada pendeposit untuk menyimpan wang di bank, dan bukannya menerima faedah atas deposit. Polisi ini bertujuan untuk memberi insentif kepada bank komersial untuk meminjamkan wang dan individu atau perniagaan melabur, meminjamkan atau membelanjakan wang daripada membayar yuran untuk menyimpannya di bank.

Namun begitu, risikonya adalah kadar faedah negatif yang terlalu tinggi yang ditetapkan bank pusat akan menyebabkan ianya terlalu mahal untuk menyimpan wang dalam bank, dan akan mencetuskan pengeluaran wang secara besar-besaran. Akibatnya, kapital yang signifikan akan keluar dari sektor perbankan.

Secara teori, wang digital atau elektronik boleh membuang risiko ini memandangkan wang yang tiada bentuk fizikal tidak boleh dikeluarkan. Jadi, menjadi cashless boleh memberi sedikit kebebasan kepada bank pusat untuk memikirkan polisi lain selain daripada kadar faedah negatif ataupun quantitative easing untuk menyelesaikan masalah deflasi atau krisis ekonomi.

Adakah “cashless” lebih baik?

Kedua-dua negara India dan Sweden adalah contoh evolusi ke arah cashless society kerana faktor yang berbeza. Tetapi satu perkara yang pasti adalah wang digital yang menggantikan wang tunai datang dengan pelbagai kelebihan dan juga kekurangan.

Sememangnya perkembangan teknologi telah menyumbang kepada kemudahan dan kesenangan dalam pelbagai aspek kehidupan kita. Kita tidak perlu lagi membawa wang tunai yang banyak ke hulu dan ke hilir. Jika kad kredit atau debit kita dicuri, kita hanya perlu membuat panggilan kepada bank untuk membekukannya. Selain itu, aktiviti jenayah seperti lari cukai, penggubahan wang haram dan pembiayaan pengganas boleh dihalang kerana pergerakan wang digital yang boleh dijejak.

Jika melihat point-point di atas, nampak seperti menjadi cashless lebih baikbetul? Namun begitu, ramai yang menganggap wang digital yang melambangkan matawang fiat tidak begitu membawa kebaikan.

Matawang kripto sebagai alternatif

Disitulah matawang kripto datang menjadi hero. Disebabkan ciri-cirinya seperti desentralisasi, ketelusan, proses pengesahan yang efisyen dan macam-macam lagi, ia dianggap alternatif yang lebih baik daripada matawang digital yang sekadar melambangkan matawang fiat. Kita sudah sedia tahu kelebihan desentralisasi dan juga rekod lejar yang teragih. Bukan sahaja privasi setiap pengguna terjaga, malah kawalan wang itu juga dikembalikan kepada pengguna dan bukannya dipegang oleh bank-bank.

Bagaimana sektor perbankan boleh menggabungkan cita-cita menjadi cashless society dengan penggunaan matawang kripto? Itulah persoalan yang perlu dijawab dalam tahun-tahun akan datang, melihat kepada penerimaan matawang kripto yang semakin meningkat.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads