Default – Above Header Ads

Antara MLM dan Skim Piramid

Sejak kebelakangan ini nampaknya ramai pembaca coin.my yang tertarik dengan coin-coin atau token kripto berbentuk scam ni. Ada yang mempertahankan matawang kripto mereka, ada yang menuduh coin.my memfitnah mereka, padahal semua kandungan artikel yang pernah dikeluarkan oleh coin.my adalah fakta. Sama ada mereka dalam penafian atau menyimpan harapan setinggi gunung untuk kekal dengan kripto mereka.

Tetapi itu bukan point artikel kali ini.

Sesuatu yang penulis rasa menarik dan seringkali di sebut-sebut oleh komuniti coin.my adalah tentang MLM atau skim piramid. MLM atau skim piramid tidaklah berkait secara langsung kepada matawang digital, tetapi kedua-duanya selalu dikaitkan dengan penipuan atau scam. Dan walaupun sebelum kripto wujud pun, sudah banyak penipuan atau scam berlaku, nampaknya scam melalui token digital lebih mudah buat penipu kerana ciri-cirinya.

Tetapi adakah semua model perniagaan berdasarkan MLM adalah skim piramid? Adakah kedua-duanya sama? Betul ke MLM tu sesuatu yang perlu dijauhi kerana konotasi negatifnya?

Penulis akan cuba merungkai semua ini dan juga bagaimana teknologi blockchain digunakan sebagai alat untuk menjadikan scam seperti ini dijalankan dengan lebih senang dan mensasarkan lebih ramai orang.

Apa itu MLM?

MLM atau multi-level marketing adalah satu model perniagaan yang telah wujud sejak lama lagi. Ia juga dipanggil sebagai network marketing atau referral marketing. Ia adalah salah satu strategi pemasaran untuk penjualan produk atau perkhidmatan di mana untung dari MLM datang daripada pengedar atau distributor yang menjual produk atau perkhidmatan syarikat itu kepada orang lain.

Dan pendapatan pengedar pula hanya dua: melalui sistem komisen yang berbentuk seperti piramid dan juga daripada penjualan produk syarikat itu. Piramid inilah yang merujuk kepada multi-level, di mana syarikat menggalakkan pengedar untuk merekrut pengedar lain dengan membayar pengedar itu sebahagian daripada hasil penjualan rekrut baru. Rekrut ini dipanggil sebagai downline. Bahagian atas piramid pula dikenali sebagai upline.

Pemasaran MLM, tidak seperti perniagaan lain, menggunakan pengedar untuk mengiklan dan menjual produk kepada pelanggan. Tetapi siapa yang ingin mendeposit wang mereka sendiri untuk membeli produk dan menjualnya kepada pelanggan, betul tak? Jadi, sebagai insentif, jika mereka berjaya merekrut pengedar lain dalam rantaian pengedaran mereka, mereka akan dibayar komisen.

Inilah yang dikatakan pendapatan pasif: merekrut bilangan pengedar yang banyak dan mendapat sebahagian daripada hasil penjualan mereka sebagai komisen. Senangnya hidup, kan?

Jadi, adakah itu penipuan?

Sudah tentu tidak. Banyak syarikat yang menggunakan model MLM masih kekal sehingga hari ini. Contohnya, Amway, Tupperware, Herbalife, Avon, Mary Kay dan macam-macam lagi. Malah, MLM dianggap sebagai satu institusi di Amerika Syarikat. Di sana, pengedar atau penjual produk dipanggil Independent Business Owner (IBO) atau pemilik perniagaan persendirian. Bunyi sangat profesional, tidak hairanlah jika ramai yang menyertai syarikat-syarikat ini terutama golongan yang berpendapatan rendah atau suri rumah.

Sebenarnya, yang dianggap sebagai scam adalah skim piramid. Apa bezanya?

Bezanya adalah satu ada produk satu lagi hanya menjual network semata-mata. Dalam erti kata lain, skim piramid menawarkan pendapatan pasif hanya dengan merekrut downline dan tiada produk yang dijual kepada sesiapa. Ia hanya program yang menjanjikan komisen jika anda berjaya merekrut orang baru dan anda akan mendapat sebahagian daripada kos startup kit atau yuran keahlian yang perlu dibayar.

Bagi rekrut baru, skim piramid ini menjanjikan pulangan tidak realistik setiap hari atau setiap bulan. Tujuan skim piramid ini adalah untuk mengutip deposit daripada peserta, membayar sebahagian kepada upline sebagai bukti ia perniagaan yang sah dan selebihnya masuk ke dalam poket pencipta skim itu.

Gambar di bawah adalah perbezaan antara MLM dan skim piramid.

Tahukah anda sudah lebih $100 juta yang hilang kerana scam kripto dalam masa dua tahun sahaja?

Ingat lagi BitConnect? Bitgrail atau Centratech atau Plexcoin? Ketiga-tiga kes dianggap antara scam terbesar dalam sejarah kripto yang menyebabkan kerugian sampai berbilion dollar.

Faktor utama untuk menjayakan satu scam adalah menjanjikan pulangan berlipat kali ganda kepada pengguna kerana inilah yang akan menarik pengguna masuk. Siapa tidak mahu cepat kaya dan pendapatan pasif tanpa perlu berusaha, betul tak? Tetapi dalam dunia kripto, satu lagi elemen lain yang digunakan adalah kekurangan atau ketiadaan pemahaman mengenai teknologi blockchain atau matawang kripto.

Selalunya kita akan takut apa yang kita tidak faham atau tidak tahu, bukan? Tetapi generasi kini lebih takut kepada FOMO atau fear of missing out, iaitu ketakutan bahawa mereka akan terlepas sesuatu yang orang lain dalam generasi mereka telah sertai. Peer pressure ini ditambah lagi dengan janji manis penipu dan juga hype teknologi blockchain dan matawang digital tanpa ilmu yang betul menyebabkan golongan ini paling senang ditipu.

Yuran masuk mahal? Logik, kerana teknologi yang baru pasti berkos tinggi.

Perlu bayar yuran keahlian? Memanglah, untuk memastikan komuniti ini rapat dan tertutup.

Pulangan berlipat kali ganda selepas setahun? Sudah tentu kerana teknologi ini perlu dijalankan dahulu sebelum boleh mendapat hasil.

Token tiada fungsi lain dan boleh didagangkan selepas setahun? Itulah matawang kripto. (?)

Dan yang paling penting, “penggunaan teknologi blockchain bukti bisnes ni sah dan tidak menipu.”

Hakikatnya, banyak tanda yang anda boleh nampak dalam scam sama ada ia berbentuk skim piramid atau program lain yang menjanjikan pulangan yang tidak realisitik. Bacalah artikel coin.my tentang bagaimana untuk kenal pasti scam kripto dan juga ciri-ciri scam kripto.

“Orang bijak adalah orang yang menyedari kesalahannya, berani mengakuinya, mahu memperbaikinya dan mahu belajar darinya.”

Jadilah orang yang bijak.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.